Khatijah Sidek: Wanita Pelakar Kemerdekaan

TIDAKLAH dapat dibayangkan sedalam mana tusukan saat nama tidak dikenang sebagai pelakar kemerdekaan. Berpuluh tahun mengecap nikmat merdeka, kita digula-gulakan kalau Malaya dibebaskan dengan kebijaksanaan dan bukannya titik-titik darah. Seolah-olah takungan darah pendekar dan pejuang tempur tidak bermakna. Dan puluhan tahun itu, siapakah pejuang yang berdiri di sebalik tabir kebijaksanaan? Di pentas merdeka, kita saksikan Abdul Rahman. Dalam dokumen-dokumen sejarah kita singkap Abdul Razak. Di skrin pergolakan parti kita tonton Onn Jaafar. Dan dalam lembar sejarah kiri, kita melihat Ahmad Boestamam dan Burhanuddin al-Helmi. Di celah-celah lelaki-lelaki ini, terlihatkah seorang perempuan – Khatijah Sidek?

Hakikatnya, ketika esei ini dikarang, se-esei sedang menanti-nanti untuk dihantarkan ke laman yang sudi menyiarkan. Namun, kata teman, saat nama Khatijah Sidek kedengaran janggal, adilkah dirinya tidak diperkenalkan terlebih dahulu? Khatijah ialah perempuan yang mendahului zaman. Saat yang lain sedang bermimpi-mimpi dalam pelukan selimut, Khatijah sudah menyarung seragam perajurit dan memulakan latihan. Sewaktu yang lain menyegarkan wajah dengan wudhu’, Khatijah terlebih dahulu menyapa Raqib dan Atid di pengakhiran. Jiwanya mekar ditaburi baja semangat pembebasan. Seorang gadis dengan semangat anti-penjajahan ini celik mata di Indonesia sebelum ke Tanah Melayu atas jemputan pemuda Malaya.

Dengan fikiran yang jernih, tujuan Khatijah ke Malaya cuma satu : merisik khabar – menjalin hubungan dengan teman-teman perempuan dan teman seperjuangan. Dalam perjuangan kemerdekaan, Khatijah berpegang teguh pada kesetiaan rumpun bangsa Melayu di Nusantara. Khatijah tidak berkata dua saat dijemput ke Tanah Melayu. Hadir dengan semangat kemerdekaan bersama jiwanya yang radikal, Khatijah berucap kalau seluruh lapisan masyarakat mesti bersatu dan berani melafazkan kalimat merdeka. Segenap manusia yang menghirup nafas di Malaya, mesti dengan sepenuh perasaan mengimpikan pembebasan dari orang putih. Perjalanan politik Khatijah bermula apabila diperkenalkan dengan pucuk pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf) dan Kesatuan Melayu Johor.

Semestinya, dengan semangat bineka tunggal ika (kesatuan dalam kepelbagaian), hati Khatijah terpaut pada pertubuhan nasionalis kiri, PKMM dan API. Dan saat kedua-dua parti ini tumpas pada awal tindakan darurat pemerintah Inggeris (1948-60), Khatijah diazab sebagai tahanan politik tanpa bicara antara 1948 hingga 1950 di Penjara Outram Road, Singapura. Dituduh sebagai komunis seterusnya bersubahat untuk menjatuhkan Inggeris di Singapura, menyeludup emas dan senjata ke Indonesia. Sayapnya dikuak semula tatkala kesemua tuduhan-tuduhan ini tak dapat dibuktikan namun diharamkan jejak ke Singapura sehingga 10 tahun lamanya.

Khatijah kemudiaannya bersama UMNO atas sokongan Ibu Zain. Bibirnya yang tak pernah lekang dengan zikir merdeka lantang mengkritik pimpinan UMNO yang menurutnya lemah dan penakut. Tidak berani melaung merdeka sebaliknya menjadi sebuah parti bayi. Khatijah menjadi penggerak kemerdekaan. Baginya, saat Merdeka diucapkan seperti mer-de-he-ka, ia belum cukup keras menandakan orang-orang Malaya mahu menghapuskan penjajahan. Apabila orang-orang belum disedarkan dengan pembebasan bererti orang-orang Malaya belum cukup siap membersihkan tapak kaki orang putih di Tanah Melayu. Kesedaran mentah ini mesti dimatangkan dengan ilmu dan pengetahuan.

Justeru, Khatijah berhujah kalau perjuangan parti tak akan berjaya tanpa sokongan masyarakat terbanyak. Apatah lagi, mereka di kampung-kampung dan di desa. Khatijah yang tidak disenangi pemimpin-pemimpin UMNO itu bertindak sebagai Ketua Penerangan Kaum Ibu. Menjadi aktivis kemerdekaan, Khatijah ke kampung-kampung bersyarah dengan kaum ibu kalau kemerdekaan mesti dicapai. Ini bukan masanya menonton cereka di panggung. Ini bukan lagi masanya untuk tunduk dengan pendidikan mesra jajahan. Ini bukan lagi masanya untuk menukar lidah menjadi lidah Inggeris. Merdeka mesti dituntut. Dan pembebasan mesti dikejar. Khatijah berbakti penuh kepada UMNO dengan mendekati rakyat dan menjelaskan peranan UMNO dalam menuntut kemerdekaan negara. Saat membaca penglibatan Khatijah dengan parti konservatif ini, saya percaya, dalam pelukan parti yang mana pun, Khatijah ialah Khatijah. Merdeka ialah merdeka – dan dengan jalan apa pun, Khatijah akan menuntutnya.

Kemampuannya sebagai propagandis kemerdekaan sememangnya satu pelaburan yang menguntungkan buat parti yang dilahirkan oleh seorang bapa yang akhirnya meninggalkan. Khatijah bukan sahaja menjangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat biasa, kredibilitinya juga berjaya membenamkan idea komunis. Khatijahlah yang bersungguh-sungguh mengangkat wanita UMNO sama berdiri duduknya dengan Kaum Bapa dan Pemuda. Dalam penjara feudalisme dan elitis, Khatijah ialah seorang pejuang perempuan yang mencairkan jeriji besi memecahkan sepenuhnya tembok feudal yang berdiri teguh. Pada 1950-an, gerakan wanita UMNO menjadi sebuah gerakan yang membumi. Berjabat tangan dan santun kepada rakyat.

Dibesarkan dalam adat dan budaya perpatih, Khatijah tidak tunduk melihat kedudukan perempuan dalam parti disisihkan. Khatijah dengan terbuka berkeras kalau hak wanita dalam parti mesti disamatarafkan sekali gus menuntut hak wanita untuk mengundi. Sudah pasti, jiwa patriarki apatah lagi dalam sebuah parti kanan ini menentang sepenuhnya. Namun, Khatijah percaya, tak ada kemerdekaan tanpa campur tangan kaum ibu. Ketika pucuk pimpinan bersifat lelaki, Khatijah mencadangkan agar ditubuhkan Kesatuan Wanita. Sebuah gerakan progresif yang baginya sangat penting kerana sikap tidak tegas dan tidak acuh pemimpin lelaki terhadap hak dan sumbangan wanita dalam kehidupan sosial serta politik tanah air. Khatijah akur tatkala ia ditentang oleh Ibu Zain dan memintanya bersabar meneruskan perjuangan UMNO.

Khatijah diusir dari rumah agam UMNO meskipun dialah yang bertanggungjawab menyuburkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat. Khatijah dibenam UMNO meskipun dialah yang menarik tangan-tangan ibu-ibu di desa untuk keluar mengundi demi sebuah kemerdekaan. Khatijah lalu disorongkan kerusi empuk Parti Islam Se-Malaya (PAS) oleh Dr Burhanuddin al-Helmi pada Oktober 1958.  Namun, siapakah dalam kalangan insan konservatif yang mahu menerima kuntum bunga yang radikal? Ia mekar dan wangi namun berwarna pudar kata mereka. Walau sentuhannya mengangkat PAS di Terengganu dan Kelantan pada tahun 1959, Khatijah akhirnya ikut pergi dari parti hijau putih itu pada 1969, saat Dr Burhanuddin dan Ustaz Zulkifli Mohammad tak lagi bersama.

Dirinya yang sering dibuang-buang ini menulis sebuah memoir tanpa bercakap tentang sesal. Namun, dalam setiap roh yang terbuang, pasti ada kekecewaan yang tak dapat ditahankan. Khatijah mengangkat pimpinan wanita di Malaya sekali gus memanggil kaum ibu di desa untuk sama-sama mengecap kebebasan. Namun, dalam catatan lampau, siapakah antara kita yang kenal akan Che Khadijah Mohd Sidek?

Komen