Khatijah Sidek, Perempuan Dan Keperempuanan

MENJADI perempuan adalah titik pertama perlawanan. Sewaktu tubuh ialah dosa dan fitnah yang berjalan, perempuan sudah ditakdir Tuhan untuk terus melawan. Perlawanan tak akan selesai. Sampai bila-bila pun, ia tak akan pernah selesai. Dan sewaktu Khatijah masih hidup, tiada lain untuknya melainkan melawan demi perempuan. Seorang perempuan yang dihempas kehidupan maha zalim, Khatijah tak mahu sekali-kali menyerah kepada takdir perempuan yang diatur oleh patriarki. Pintu-pintu patriarki yang dipagari kunci misogini dirempuh seorang diri meski kegagalan menolak tubuhnya kembali. Khatijah sudah tiada tetapi perempuan masih perlu bertempur. Di kiri dan kanan perempuan ialah senjata yang mesti dijinjit sepanjang jalan. Di setiap ranjau ialah perempuan yang terpaksa memakai seragam perlawanan demi membunuh patriarki.

Perempuan ialah boneka kecil yang dipaksa tari oleh ibu bapa sebelum berpindah tuan. Dan seringkali, tinggi rendah perempuan diukur melalui “kebolehannya” untuk bersuami. Menurut Khatijah Sidek, perkahwinan dalam masyarakat sudah menjadi perlindungan. Perempuan sering dipandang serong jika tidak berkahwin. Jolokan anak dara tua dan tidak laku tertempel ke tubuh perempuan yang belum berkahwin. Bukan itu sahaja, perempuan yang hidup mandiri, kerap kali dinafikan “tak” dan “tidak”. Suara perempuan tidak punya autoriti melainkan disokong dan dibela oleh sosok laki-laki. Tidak kiralah bapa, suami atau kekasih sekali pun.

Hakikatnya, bukan berkahwin atau tidak yang mahu dikhawatirkan melainkan keinginan dan kehendak masyarakat untuk mengatur hidup seorang perempuan. Ketika perempuan tidak mahu dinikahi, perempuan ialah anak dara tua dan tidak mampu memilih suami. Didatangkanlah calon demi calon, lelaki demi lelaki menghadap bagi menyarungkan cincin ke jari manis. Dikhutbahkanlah segala macam dalil kalau Muhammad tidak akan mengaku umat bagi mereka yang menolak untuk dinikahi. Soalnya, apakah manusia punya tarikh luput? Boleh dilabel yang mana andartu yang mana bukan? Apakah menjadi rukun untuk bernikah? Ketika perempuan memilih untuk bernikah, punya anak dan menjadi suri rumah. Dibisik-bisikkanlah  dari cuping ke cuping kalau menjadi suri rumah ialah kerja maha ringkas dan mudah. Lebih banyak berehat berbanding membanting empat kerat. Lebih banyak tidur berbanding menyusun atur. Lalu, sewaktu perempuan memilih untuk bernikah, punya anak dan bekerja, terlemparlah ke wajah mereka – ibu-ibu yang mempertaruhkan anak-anak demi kepentingan peribadi. Anak-anak terbiar dan terabai sedang si ibu bekerja demi kemewahan. Belum diceritakan kalau perempuan ke tempat kerja demi menyundal dan menggoda laki-laki yang lain. Lalu, saat perempuan memilih untuk tak punya anak – inilah perempuan akhir zaman. Tak ada lain melainkan kesenangan. Tak ada lain melainkan menafikan fitrah perempuan yang diciptakan untuk mengandung dan melahirkan. Tak ada lain. Melainkan. Perempuan ialah kesalahan.

Khatijah Sidek jelas menolak tanggapan patriarki terhadap perempuan. Dan kalau undang-undang manusia memangsakan perempuan, sudah tentu Khatijah ialah perempuan besi di hadapan. Menolak dan menentang. Kalau ditatal skrin telefon. Dirujuk satu persatu ciapan di Twitter, orang-orang mengimbau lampau sebagai hujah sokongan. Dibariskan “nenek moyang kita …..” “Orang dulu-dulu..” di awal kata. Kononnya, orang dahulu hidup serba serbi baik meski adat dan peraturan sering kali memangsakan perempuan. Ya. Kononnya orang dahulu hidup beristeri dua, tetapi bahagia hingga hujung nyawa. Hidup Khatijah menyatakan sebaliknya. Ketika nyawa masih diam di dalam tubuh, Khatijah tidak segan-segan menolak amalan poligami (meski dirinya sendiri hidup sebagai isteri kedua). Menjadikan dirinya sendiri sebagai contoh amal poligami yang tidak adil, Khatijah menolak poligami kerana tiga perkara. Kata Khatijah, poligami yang diamalkan langsung tidak mengikut hukum Al Quran. Yang kedua, nafkah yang terabai dan anak-anak yang menjadi mangsa ketidakcekapan mengurus perkahwinan dengan dua tiga orang isteri. Sudah tentu, penolakan poligami ini bukanlah semata-mata kerana cemburu seorang perempuan atau menolak hukum tuhan, sebaliknya penolakan terhadap cara berpoligami oleh lelaki yang berlagak tahu.

Khatijah juga lantang mengkritik undang-udang penceraian di Malaya. Dalam penceraian, yang jatuh bertimpa-timpa ialah seorang perempuan. Ia tidak berlaku pada zaman dahulu sahaja melainkan berlarutan sehingga ke hari ini. Para ibu turun naik mahkamah demi tuntutan hak selepas bercerai sehingga putus asalah mereka daripada mendapatkan tuntutan. Tak mudah kerana semuanya memerlukan wang. Perlukan masa dan tenaga sedangkan ada kehidupan orang lain yang mesti diuruskan. Ada makanan yang mesti disuapkan. Ada pembelajaran yang mesti dibayarkan.

Nafkah tidak diberi untuk anak-anak apabila suami menceraikan isterinya. Bercerai begitu mudah sekali. Hak pula berat sebelah ; isteri dan anak-anak menjadi mangsa tanpa sebarang jaminan ekonomi. Masalahnya begitu kusut dan sukar, dan kaum wanita terpaksa menghadapi seluruh pihak berkuasa, agama, undang-undang dan ekonomi mengenainya.  Menurut pendapat saya, kesamaan sebenar tidak akan wujud kalau tidak ada asas ekonomi. Tidak ada hak yang sama dalam penceraian  dari segi ekonomi. Isteri dan anak jadi mangsa. Digantung tak bertali.

Oleh sebab itu, Khatijah merasakan mesti diwujudkan kesedaran kepada perempuan kalau lelaki dan suami bukan segalanya. Perempuan mesti boleh berdiri sendiri. Berkahwin atau tidak. Kekal bersama atau berpisah. Perempuan tidak boleh hidup melarat. Ia sudah tentu sukar kerana patriarki bukan baru. Dan misogini bukan cerita semalam. Sehingga 2022, gerakan feminisme dan mengangkat martabat perempuan sering dirempuh badai kebencian. Yang ini haram dan yang itu berdosa besar. Malahan, menuntut keselamatan untuk perempuan juga dianggap bertentangan dengan agama. Agama itu menurut saya – Agama Patriarki. Namun, perlawanan ialah perlawanan. Dan perempuan mesti terus melawan.

Satu hal lagi yang dibimbangkan oleh Khatijah Sidek ialah hak gadis-gadis di kampung-kampung. Di kampung-kampung, pendidikan anak gadis sering terabai. Mereka tidak dihantarkan ke sekolah malahan dipaksa berkahwin seawal umur 13 tahun. Kalau difikirkan, inilah yang dicanang oleh penyokong penuh perkahwinan bawah umur. Nenek moyang kahwin awal dan hidup bahagia sehingga kini. Seolah-olah mereka hidup sezamannya. Seolah-olah semua perempuan ingin kahwin muda dan beranak hingga berbelas-belas bilangannya. Perkahwinan di usia muda pada zaman Khatijah adalah kerana kemiskinan dan pendidikan yang terbatas. Ia bukan tentang kematangan sistem reproduktif atau kematangan cara berfikir. Ia tentang kemiskinan dan hak pendidikan orang perempuan. Ia tentang kehidupan orang perempuan! Sayang, ia masih berlaku hari ini! Masa hadapan yang dicagar-cagar pendidikan yang samar-samar.

Sementara di kampung, gadis tak dapat ke sekolah. Umur mereka 13, mereka dah kahwin : lepas tu timbul masalah rumahtangga dan hidup mereka menderita. Orang tua mereka miskin tak dapat tanggung mereka ; kerana itu mereka terpaksa dikahwinkan ketika masih mentah. Ketika mereka berumur 20 tahun, anak mereka sudah pun ramai. Kesihatan kebanyakan tidak baik dan mereka tak berpeluang berjumpa doktor. Sesetengahnya diceraikan dua tiga kali sebelum umur 20 tahun. dan setelah diceraikan, mereka nak buat apa? Mereka jadi pelayan di kedai kopi. Di sana mereka didatangi pelanggan. Kemudian mereka bertukar menjadi pelacur. Apa yang boleh mereka lakukan?

Kebimbangan dan kritikan Khatijah Sidek masih berlaku sehingga ke hari ini. Stigma perkahwinan, poligami yang tidak adil, hak perempuan selepas penceraian dan perkahwinan kanak-kanak masih berlarutan. Ia digulakan-gulakan dengan dalil yang sudah tentu diajarkan oleh para guru agama yang autokratik. Sudah tentu mereka bermanis bibir dengan dalil misogini sedangkan banyak unjuran yang mengajak kepada keadilan dan kesamarataan gender hari ini. Jika tidak, masakan ada orang bijak pandai mengaku kalau di tangannya ialah kebenaran yang hakiki. Khatijah Sidek meninggalkan pesan kalau wanita atau perempuan perlu sedar akan hak mereka. Dan wanitalah yang perlu memperjuangkannya.

Berjuang demi perempuan dan keperempunanan, Khatijah Sidek juga seorang feminis.

Komen