Keterjaminan Air Tawar Sendi Kehidupan Generasi Mendatang

Bumi tanpa lautan
Akan kehausan
Pasti lambat laun hilang
Duniaku yang malang

Bait-bait lirik lagu Hijau dendangan Zainal Abidin ini menggambarkan kepentingan air yang merupakan anugerah daripada Tuhan Yang Maha Esa yang mesti dihargai. Khazanah alam ini memainkan peranan yang utama dalam memudahkan pelbagai urusan kehidupan manusia di samping makhluk-makhluk-Nya yang lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Di tanah air kita yang tercinta ini, terdapat pelbagai sumber air tawar yang boleh didapati seperti tasik, sungai, terusan, tali air dan air paip yang dirawat. Dari sudut perundangan negara, kuasa pengurusan bekalan air dikawal selia oleh Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang merupakan salah satu undang-undang Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Menurut Seksyen 3(1) Akta ini, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif ke atas segala perkara yang berkaitan sistem dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Tuntasnya, pengurusan kualiti dan kuantiti air tawar yang berkesan serta terlus mampu menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia di samping menyediakan bekalan yang secukupnya untuk kegunaan generasi yang mendatang.

Pertama sekali, manfaat pengekalan dan penambahbaikan kualiti bekalan air tawar adalah bagi memastikan kesihatan rakyat terutamanya golongan kanak-kanak terjamin. Hal ini adalah kerana kelompok inilah yang sedang menempuh perjalanan hidup yang masih panjang dan keperluan asas yakni bekalan air yang bersih mestilah dijaga demi kemaslahatan mereka. Jika perkara ini diabaikan, air yang tercemar sudah tentu mendatangkan bermacam-macam penyakit yang tidak diundang. Terdapat beberapa jenis penyakit bawaan air yang mampu mengancam nyawa orang yang tersayang seperti kolera, demam kepialu, meningitis, cirit birit, polio dan lain-lain. Oleh sebab itu, kita mestilah menghindarkan diri daripada menggunakan bekalan air yang telah tercemar agar dapat mengelakkan penyakit-penyakit ini daripada menjangkiti tubuh badan kita. Seterusnya, pihak-pihak berkuasa yang menguruskan bekalan air mentah di Malaysia seperti Syarikat Bekalan Air Selangor, Syarikat Air Negeri Sembilan, Syarikat Air Darul Aman, Jabatan Bekalan Air Sabah dan pihak berkuasa berkaitan di negeri-negeri lain hendaklah berusaha untuk memastikan sistem perkhidmatan dan perbekalan air yang bersih dikendalikan dan disalurkan sebaik yang mungkin. Natijahnya, amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh mereka sudah pasti akan membawa banyak manfaat kepada para pengguna dengan pemerolehan bekalan air mentah yang bersih.

Di samping itu, pengawalseliaan jumlah bekalan air tawar adalah penting bagi menampung keperluan harian masyarakat setempat. Perkara ini adalah kerana air yang disalurkan kepada para pengguna selalunya dimanfaatkan untuk urusan domestik seperti mandi, mencuci pakaian, beribadat dan sebagainya. Keperluan asas yang menjadi tunjang kehidupan seharian mereka inilah yang mesti dipenuhi agar kesejahteraan mereka tidak terjejas. Namun begitu, setiap anggota masyarakat juga mestilah memanfaatkan kemudahan ini dengan cermat di samping mengurangkan pembaziran atau sebaiknya, mengelakkan terus daripada melakukannya. Apabila senario seperti ini berlaku, bekalan air mentah akan berkurangan dari hari ke hari sekiranya hal ini dipandang enteng. Selain itu, tindakan yang biasa diambil oleh syarikat-syarikat pengurusan bekalan air adalah dengan membuat catuan air apabila perlu bagi mengawal selia kuantiti air yang disalurkan kepada para pengguna. Metode-metode ini wajar dilaksanakan bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan air yang sudah tentu akan menyusahkan masyarakat dan kegiatan perindustrian serta komersil akan turut terjejas. Tuntasnya, masyarakat awam juga haruslah turut memainkan peranan yang sewajarnya dengan menggunakan bekalan air dengan cermat dalam segala urusan harian dan tidak hanya melakukannya secara sambalewa bagai melepaskan batuk di tangga.

Tambahan pula, terdapat beberapa langkah pragmatik yang harus dilaksanakan bagi memelihara kualiti dan kuantiti air tawar di negara kita. Perkara ini dapat kita lakukan dengan cara menggunakan bahan pencuci mesra alam untuk membasuh pakaian dan alat perkakas dapur. Selain itu, para petani juga wajarlah mengurangkan atau mengelakkan terus penggunaan baja kimia dan menggantikannya dengan baja organik untuk tujuan pertanian semisal penanaman padi. Manfaat apabila kedua-dua langkah ini dilakukan adalah dapat mengelakkan air yang bercampur dengan bahan tersebut mengalir ke sungai sama ada melalui longkang mahupun dalam tanah yang sudah pasti akan mencemarkannya. Seterusnya, sekiranya kita mendapati sesuatu aktiviti pencemaran air atau pembuangan haram sedang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, perkara tersebut mestilah dilaporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar dengan kadar yang segera. Hal ini adalah kerana jabatan kerajaan ini berupaya untuk menguruskan kes-kes aduan yang dilaporkan kepadanya di samping mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dalam segala hal pemeliharaan alam sekeliling termasuklah sumber air mengikut lunas undang-undang tempatan. Kesimpulannya, langkah-langkah seperti ini boleh kita lakukan atas keupayaan sebagai orang awam yang mencintai alam sekitar dan bertanggungjawab terhadap sumber air negara.

Pihak kerajaan juga hendaklah menjalankan tugas dengan lebih proaktif dan tegas dalam usaha untuk mengekalkan dan menjaga jumlah dan kualiti bekalan air tawar di tanah air kita. Antara langkah yang mesti dilakukan olehnya untuk memastikan kelestariannya adalah dengan meluluskan atau meminda apa-apa undang-undang Persekutuan yang berkaitan dengan pengurusan dan penguatkuasaan berkenaan perkhidmatan bekalan air Malaysia. Menurut salah satu peruntukan dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Persekutuan, kuasa untuk menyelia sumber dan bekalan air tawar terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tambahan pula, terdapat satu lagi Akta yang telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia yakni Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selain daripada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 seperti yang dinyatakan sebelum ini. Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 jelas menyekat sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan pencemaran perairan daratan yang didefinisikan sebagai apa-apa takungan, kolam, tasik, sungai, anak sungai, parit, mata air, telaga mahupun tali air menurut Seksyen 2 Akta yang sama. Hal ini adalah penting kerana air sungai dan tasik juga dianggap sebagai sumber air tawar di samping air paip yang sering kita gunakan dalam kehidupan seharian. Tuntasnya, peruntukan-peruntukan ini merupakan manifestasi usaha kerajaan yang bertanggungjawab untuk memastikan bekalan air tawar di negara kita terpelihara daripada sebarang pencemaran.

Secara holistik dapat dikatakan bahawa penjagaan kualiti dan kuantiti air tawar adalah mustahak bagi memberi jaminan terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia masa kini. Hal ini adalah mustahak kerana air merupakan khazanah alam yang tidak ternilai harganya dan amanah sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini telah disandarkan pada bahu kita semua untuk menjaga dan memelihara segala nikmat sumber alam yang dikurniakan oleh-Nya. Apabila kita berusaha untuk melunaskan amanah ini sebaik mungkin, secara tidak langsung peranan yang kita mainkan inilah yang menjadi tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT atas nikmat dan pemberian-Nya. Tambahan pula, sebagai rakyat Malaysia, kita sesungguhnya sangat beruntung kerana tanah air kita yang tercinta ini mempunyai bermacam-macam sumber air tawar seperti sungai, tasik, tali air dan telaga selain daripada bekalan air terawat yang sering kita gunakan dalam kehidupan seharian. Kesimpulannya, sumber air tawar juga merupakan keperluan hidup utama bagi seluruh insan yang mesti dipenuhi dan dilestarikan agar kehidupan mereka tidak terjejas di samping dijadikan bekalan untuk manfaat generasi mendatang.

Tentang Penulis

Ahmad Amsyar adalah siswa Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Undang-undang. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen