KETAHUI ID DIGITAL NASIONAL

Semenjak semalam topik identiti digital menjadi bualan hangat di kalangan warganet susulan pecahnya berita Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama di Malaysia mempunyai identiti digital.

Sudah diketahui umum, PMX memang bersungguh mempelopori agenda ID Digital Nasional (IDN) dan telah pun meluluskan peruntukan segera RM80 juta ke arah usaha tersebut.

Peruntukan tersebut disalurkan ke agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Berhad untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan kerajaan.

Namun apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan identiti digital?

ID Digital Nasional (IDN) adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’ dan ‘What You Know’.

Ia mempunyai ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik yang membolehkan rakyat mempunyai pengenalan diri digital yang unik.

IDN adalah satu platform yang selamat, terjamin dan terlindung untuk pengesahan identiti individu apabila melakukan transaksi digital, bayangkan ia seperti mempunyai satu MyKad secara maya.

IDN akan terpakai untuk kegunaan semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap bagi membolehkan mereka berurusan dengan sektor kerajaan mahupun swasta.

Namun IDN ini tidak akan menggantikan MyKad sepenuhnya tetapi menjadi satu ciri tambahan pengesahan identiti secara atas talian dan jarak jauh.

Cakap-cakap mengenai IDN akan membocorkan data peribadi, cip akan diimplan dalam tubuh dan individu akan mudah diawasi oleh kerajaan adalah satu dakwaan yang sebenarnya tidak berasas.

Komen