Kestabilan Politik Bukan Keadilan Mutlak

Kalau kita lewati ruang media sosial atau sekadar bersembang kosong di kedai mamak, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memang tidak lekang dari menjadi topik bualan hangat. Masing-masing ada komentar yang nak diberikan. Mana tidaknya, semua parti politik pun tengah hangat bergerak berjumpa akar umbi – ada yang berkongsi idea, ada juga sekadar menjaja propaganda. Tapi satu propaganda yang menarik perhatian aku disebabkan kedangkalan kekuatan intelektualnya ialah propaganda kestabilan politik.

Ada satu parti politik tua itu yang tak habis-habis menjual idea kestabilan politik. Dari siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sudah berlangsung, sehinggalah ke PRU15 yang bakal tiba. Seolahnya kestabilan politik adalah jalan keluar mutlak kepada semua permasalahan yang kita hadapi hari ini. Sudahlah sifatnya hipokrit – menjaja kestabilan politik dalam keadaan dia sendiri bergaduh sesama sendiri dan rakan komponen.

Aku orang yang percaya bahawa falsafah utama dan matlamat mutlak kewujudan sesebuah negara adalah supaya kita dapat memberikan keadilan kepada rakyat. Keadilan ini hadir dalam bentuk yang pelbagai – pembelaan hak, agihan kekayaan sama rata, suara diangkat, limitasi terhadap tirani dalam semua bentuknya, keadilan dalam peluang dan hasil, dan memberi ruang pengundian sama rata dalam pilihan raya (dengan cara tidak membuat pilihan raya ketika bencana alam berlaku). Yang aku senaraikan sini hanyalah sebahagian kecil sahaja. Tapi dari senarai pendek ini pun sudah jelas bahawa kestabilan semata-mata tidak mampu untuk memberikan keadilan kepada rakyat.

Sebenarnya kestabilan yang boleh membawa kepada keadilan ini tidak lebih dari hanya satu ilusi. Satu pembohongan semata-mata. Propaganda yang biasa digunakan fasis, tirani dan penguasa jadong untuk menipu rakyat.

Dalam era 1960-an, seorang pelajar dari Harvard Law School memberi satu ucapan di hadapan alumni dan ibu bapa:

“Jalan-jalan kita dipenuhi kekacauan. Universiti dipenuhi dengan mahasiswa yang memberontak dan merusuh. Komunis sedang berusaha untuk menghancurkan negara kita. Rusia sedang mengugut kita dengan kekuatannya. Dan republik sedang dalam bahaya. Ya! Bahaya dari dalam dan luar. Kita perlukan undang-undang dan tatanan (kestabilan)! Tanpa undang-undang dan tatanan, bangsa kita takkan mampu bertahan.”

Bertepuklah sekalian dewan ketika itu – terpana dengan ilusi kestabilan yang dibawa tatanan. Sehinggalah pelajar tersebut memaklumkan bahawa ayat tersebut sebenarnya ungkapan oleh Adolf Hitler pada 1932. Diktator celaka itu dibenci dan dicemuh oleh warga Amerika Syarikat, namun tidak disangka mereka boleh pula bertepuk tangan mendengar ucapannya.

Tatanan, kestabilan tanpa pengamatan kritikal ini hanyalah alat orang yang gila kuasa. Apa jaminan yang kestabilan ini akan membawa kepada keadilan kepada rakyat? Gertrude Scholtz-Klink, ketua Biro Wanita kerajaan Nazi, juga menjaja polisi anti-Yahudi sebagai satu bentuk kestabilan masyakarat – iaitu dengan mengikut undang-undang secara membabi buta. Kalau tak beri ruang kepada kestabilan ini, pasti huru-hara negaranya. Persoalannya, adakah bentuk kestabilan yang sebegini adil buat rakyat negera tersebut? Kita hidup 80 tahun setelah kewujudan kerajaan Nazi pimpinan Hitler – dan penilaian retrospektif kita menunjukkan bahawa itu satu bentuk kezaliman.

Huru-hara pula yang terkadangnya boleh memberikan keadilan lebih dari kestabilan. Kalau pemerintah itu orang yang jadong, rakyat berhak turun ke jalan raya menunjuk perasaan. Kalau dalam kerajaan Hitler dulu, kita ada mahasiswa Hans Scholl dan Sophie Scholl – dua beradik yang berani. Mereka menentang kerajaan Hitler yang membawa kepada huru-hara. Tapi huru-hara mereka itu adil dan satu jalan menuju keadilan. Penentangan memang sifatnya huru-hara dan bingar. Tapi segala kekacauan itu adalah tuntutan kepada keadilan – keadilan yang tidak dapat diberikan oleh kestabilan.

Banyak soalan yang kita kena tanya kepada diri kita. Kestabilan yang dicanang juga sebenarnya untuk siapa? Adakah untuk rakyat atau elit penguasa? Adakah rakyat akan berada dalam keadaan stabil kalau pilihan raya diadakan dalam musim bencana alam? Adakah kehidupan rakyat akan stabil kalau diperintah penguasa yang tidak segan silu mengambil rasuah? Adakah rakyat akan stabil kalau suaranya asyik dibungkam bila menuntut keadilan?

Kalau melihat kepada persoalan yang aku utarakan, aku akan kata penguasa yang stabil. Stabil untuk mengambil rasuah lagi setelah kes digugurkan; stabil kerusinya tanpa goyang kalau rakyat tidak dapat peluang mengundi ketika waktu bencana alam; stabil dia di puncak kekuasaan kalau semua rakyat yang menentangnya dipanggil polis, didakwa di mahkamah dan dihumban ke dalam lokap.

Kita kena terus ingat bahawa tujuan utama kita adalah keadilan. Kestabilan atau kekacauan hanyalah jalan menuju keadilan. Kalau sekarang pun kita boleh menilai yang kestabilan jajaan parti tua tidak dapat memberikan kita keadilan, kenapa kita kena percaya kepadanya?

Syed Hussein Alatas, pemikir sosial yang ulung juga menggesa kita untuk memahami satu perkara – nilai yang dipegang penguasa dan rakyat itu tidak sama dan tidak akan pernah sama. Kestabilan dalam fikiran pemerintah itu bukan untuk dan tidak sama sifatnya dengan kestabilan rakyat. Dikotominya jelas. Jangan tertipu dengan ilusi orang jadong.

Jalan mendapatkan keadilan tidak selalunya stabil, dan jalan yang stabil tidak semestinya membawa kepada keadilan.

Komen