Kerasulan Pengkarya

Pada pertengahan tahun 2019, saya pertama kali membelek set album Hikayat Gundik Berirama sebaik pulang daripada mengutipnya di pejabat pos. Sambil mengangguk kepala mengikut rentak lagu, saya menemukan senarai penghargaan pada helaian kad yang terkandung dalam set tersebut. Nama yang terpapar di awal senarai adalah Yang Maha Mencurahkan Inspirasi. Reaksi saya pada masa itu terkejut. Walaupun menyedari kugiran The Venopian Solitude dianggotai ahli Muslim Melayu, saya tidak menjangkakan mereka memasukkan Tuhan dalam senarai penghargaan. Bagi diri saya yang masih kurang makan asin itu, perbuatan tersebut menonjolkan peribadi agak Islamik dan bercanggah dengan estetika kumpulan muzik yang menggunakan perkataan “gundik”, “pelacur”, dan “bontot” dalam karya mereka.

Detik itu menjadi titik permulaan saya mengenali sifat spiritual dalam kalangan anak-anak seni, terutamanya dalam genre indie. Saya menganggap diri saya juga anak seni kerana giat menulis lagu dan puisi ketika perintah berkurung pada awal pandemik, sehingga menyimpang dari niat asal untuk menyambung pelajaran dalam bidang matematik. Kini, saya merupakan pelajar jurusan sastera Bahasa Inggeris dengan pengkhususan penulisan kreatif kerana berminat untuk terus meneroka bidang kesusasteraan.

Sepanjang pengalaman berkarya, saya asyik tertanya, apakah beza ilham dan wahyu? Kalau ikut The Venopian Solitude, ilham datang daripada Tuhan, tetapi bukankah wahyu pun begitu? Wahyu adalah pemberian Tuhan kepada rasul untuk disampaikan kepada umatnya dalam bentuk yang sungguh puitis, manakala ilham adalah inspirasi milik Tuhan yang menggerakkan pengkarya untuk berkarya cantik-cantik. Bukankah kedua-duanya hal yang datang daripada Tuhan untuk menghasilkan keindahan buat suatu audiens?

Dalam Risalat al-Tauhid, Syeikh Muhammad Abduh berpendirian bahawa perbezaan ketara antara ilham dan wahyu adalah kepastian. Menurut beliau, apabila seseorang rasul menerima wahyu, baginda mengetahui dengan penuh kepastian bahawa wahyu itu datang daripada Tuhan. Sebaliknya, apabila seseorang pengkarya mendapat ilham, fenomena itu lebih bersifat samar-samar dan asal usul ilham itu tidak dapat dikesaninya. Namun begitu, saya amat meragui perbezaan ini.

Selaku pengkarya seperti The Venopian Solitude, saya meyakini kepercayaan bahawa ilham itu dengan pastinya datang daripada Tuhan. Selari dengan ajaran Islam, akal adalah anugerah tertinggi daripada Tuhan buat manusia kerana berdaya untuk merentas dari alam materi ke alam ghaib, membuahkan fikiran dan pendapat berdasarkan hasil pemerhatian di dunia nyata. Inilah hujah yang sentiasa dikemukakan oleh para filsuf untuk mempertahankan praktis kerasionalan dalam agama. Akal adalah gerbang di sempadan antara perkara yang diketahui dan tidak diketahui. Disebabkan Tuhan Maha Mengetahui, segala perkara diketahui-Nya, termasuk ilham yang meresap ke dalam minda pengkarya. Hal ini tidak akan berlaku tanpa izin-Nya, maka boleh kita kata yang ilham datang daripada-Nya.

Dalam sajak Lines Written a Few Miles above Tintern Abbey, William Wordsworth, pelopor gerakan Romantisisme, menyampaikan kepada pembaca tentang kesatuan (baca: ketauhidan) yang terdapat pada alam semula jadi. Beliau membincangkan ketenteraman yang lahir daripada perbuatannya mengasingkan diri daripada keresahan pekan, berisolasi di tengah-tengah kediaman flora dan fauna untuk merenung perihal kewujudan. Amalan ini telah bantu mengembalikan kemanusiaannya yang kian hilang akibat perindustrian di pekan yang merendahkan darjat manusia menjadi penghasil produk untuk mengaut untung semata. Dalam ketenangan yang memberi ruang untuk meditasi, beliau tergerak untuk berkarya dengan tujuan mengongsikan pengajaran universal bersama orang lain.

Pengalaman Wordsworth mengingatkan saya kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda nabi juga banyak mengasingkan diri daripada kemungkaran Arab Quraisy, berkhalwat di Gua Hira untuk merenung erti kehidupan yang lebih bermakna daripada kejahilan masyarakatnya yang tidak berperikemanusiaan kerana mengamalkan perkara keji seperti menanam bayi perempuan, menindas golongan miskin, dan berperang sesama sendiri demi memperolehi kekuasaan. Hasil renungan ini, baginda nabi dapat memelihara kesuciannya dan menerima kerasulan yang bermula dengan penurunan wahyu pertama pada usia 40 tahun di ruang isolasinya. Setelah itu, baginda nabi melakukan kerja dakwah bagi menyampaikan pengajaran universal al-Quran kepada seluruh manusia.

Saya perasan, reaksi Wordsworth dan baginda nabi terhadap keadaan material di sekeliling yang menyebabkan masing-masing menerima ilham atau wahyu lebih kurang sama. Tetapi, adakah ini bermaksud Wordsworth seorang rasul dan berada di kedudukan sama dengan baginda nabi? Tentulah tidak. Nabi Muhammad SAW merupakan penutup kepada kesinambungan nabi-nabi seperti yang ternyata dalam surah al-Ahzab ayat 40. Tiada seorang di dunia ini yang menerima wahyu selepas kemangkatan baginda nabi. Pada masa yang sama, seperti firman Tuhan dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, umat Nabi Muhammad SAW merupakan umat terbaik (khaira ummah). Hal ini kerana kita menggalas tanggungjawab para rasul untuk mengajak ke kebaikan dan melarang daripada kemungkaran, tidak seperti umat-umat yang terdahulu.

Pada pandangan saya, pengkarya dianugerahkan ilham kerana menggalas tanggungjawab yang kita semua warisi daripada para rasul. Seorang pengkarya bukan berkarya untuk meluahkan perasaan sahaja, bahkan memainkan peranan menyedarkan orang tentang isu-isu semasa. Dalam proses berkarya, dia akan mengambil pengajaran universal daripada pengalaman hidupnya, lalu menghasilkan suatu karya yang mengandungi pengajaran ini secara berkias mahupun harfiah. Setelah itu, karya tersebut, tidak kira sajak, novel, lukisan, tarian, muzik, atau filem, akan dibentangkan kepada masyarakat untuk dihadam, dengan harapan, mereka dapat memahami pengajaran yang ingin disampaikan sambil menghayati keindahan susun atur pengkarya, sama seperti harapan yang pembaca al-Quran dapat memahami maknanya sambil menghayati keindahan susunan kalamullah.

Akhir kata, pengkarya berperanan meneruskan legasi rasul-rasul untuk melahirkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh al-Quran yang menyebut bahawa kita sebagai umat terbaik perlu menyambung kerja rasul dengan mengajak orang ke kebaikan di samping melarang daripada kemungkaran. Karya merupakan wadah untuk berdakwah. Namun, dakwah ini tidak terbatas kepada hal-hal keagamaan dan spiritual. Pengkarya boleh berdakwah dengan menyebarkan pengajaran-pengajaran lain yang juga bersifat baik. Meskipun menggalas peranan rasul, ini tidak bermaksud yang pengkarya semulia rasul, lagi-lagi Nabi Muhammad SAW. Cuma, baginda nabi merupakan teladan yang patut dicontohinya. Karyanya juga, walau dianggap karya agung, tidak akan pernah seagung kewahyuan al-Quran. Kemampuan berkarya hanyalah rahmat daripada Tuhan agar dapat mengekspresi kreativiti dengan cara yang memanfaatkan seluruh umat sambil menerima berkat-Nya. Maka, dengan kesedaran yang berkarya itu mempunyai unsur kerasulan, berdampinglah dengan Tuhan dalam berkarya, dan sebarkan pengajaran daripada hidup anda supaya semua orang dapat menghampiri kebenaran.

Wallahu A’lam.

Komen