USAI Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita telah dihidangkan dengan satu senario yang tidak pernah berlaku dalam aturan demokrasi negara selama ini. Buat pertama kalinya Malaysia telah berdepan dengan situasi parlimen tergantung atau istilah Inggerisnya, hung parliament.
Parlimen tergantung adalah keadaan di mana tidak ada mana-mana parti politik, mahu pun blok atau gabungan parti-parti politik, yang beroleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Angka keramat 112 yang perlu dicapai tidak berjaya diperolehi baik oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau pun Barisan Nasional (BN) yang merupakan tiga blok politik utama ketika PRU15. Ianya tidak seperti dalam pilihan raya umum yang lalu, seperti pada tahun 2018 ketika dimenangi PH atau dalam edisi sebelumnya yang dimonopoli BN.
Apabila tiada majoriti mudah diperolehi, parlimen tergantung. Dalam keadaan parlimen tergantung, satu cara lain perlu diusahakan bagi membolehkan sebuah kerajaan ditubuhkan. Di negara-negara demokrasi lain yang jauh lebih matang berbanding Malaysia, situasi ini diselesaikan dengan cara penubuhan kerajaan minoriti atau pun kerajaan gabungan.
Kerajaan Minoriti
Kerajaan minoriti merujuk kepada kerajaan yang ditubuhkan tanpa mendapat majoriti di parlimen. Lazimnya pembentukan kerajaan minoriti dikuasai oleh parti yang mendapat jumlah kerusi terbesar walaupun tidak melepasi majoriti mudah. Sebuah kerajaan minoriti mungkin mendapat sokongan keyakinan dan perbekalan (confidence and supply) dari parti-parti lain ataupun tidak. Sesuai dengan namanya minoriti, sebarang usul di parlimen berdepan risiko ditolak oleh pihak lawan. Kerajaan minoriti juga dilihat tidak stabil dan terdedah pada ancaman usul undi tidak percaya.
Namun ia tidak menghalang kerajaan minoriti dari ditubuhkan dan berfungsi seadanya. Di negara yang demokrasinya jauh lebih matang, kerajaan minoriti dapat bertahan dengan baik. Pada masa kini wujud kerajaan minoriti di Kanada, Norway, Sweden, Sepanyol dan sebagainya.
PH juga boleh menubuhkan kerajaan minoriti usai PRU15 jika ia mahu, tetapi persoalan yang timbul adalah sejauh manakah kerajaan minoriti PH ini dapat bertahan? Hakikatnya di Malaysia demokrasi kita masih anak. Walaupun kita melaksanakan pilihan raya sejak Merdeka, tetapi negara ini belum pernah berdepan dengan situasi pertukaran kerajaan melalui pilihan raya, hinggalah pada tahun 2018.
Namun kita telah menyaksikan bagaimana kerajaan PH yang dibentuk selepas PRU14 akhirnya ditumbangkan melalui percaturan politik yang dinamakan Langkah Sheraton. Gerakan politik sebegini adalah isyarat bagaimana demokrasi kita belum matang sepenuhnya kerana pertukaran kerajaan dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan perlu disekat. Hasil dari Langkah Sheraton wujudlah kerajaan gabungan PN-BN yang mentadbir sehingga parlimen dibubarkan untuk PRU15.
Bayangkan jika PH meneruskan usaha penubuhan kerajaan minoriti dengan hanya 82 kerusi parlimen hari ini, adakah kita bakal berdepan dengan percaturan politik ala Langkah Sheraton sekali lagi?
Kerajaan Gabungan
Kerajaan gabungan (coalition government) pula adalah satu bentuk kerajaan yang ditubuhkan dari pelbagai parti politik, dengan tujuan mencapai majoriti yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Bentuk kerajaan ini sudah menjadi amalan di negara demokrasi matang seperti United Kingdom, Australia, Jepun, New Zealand, Kanada dan jiran terdekat kita Indonesia. Khusus Indonesia, kerajaan gabungan telah menjadi kelaziman sejak berakhirnya era Orde Baru di bawah Suharto dan tercetusnya Reformasi. Sehingga kini, kerajaan Indonesia yang wujud merupakan kerajaan gabungan dari tujuh parti dengan PDI-Perjuangan menjadi parti dominan dalam kerajaan.
Malaysia sendiri sebenarnya boleh dianggap memiliki kerajaan gabungan sejak Merdeka. Parti Perikatan (dan kemudiannya Barisan Nasional) yang memenangi majoriti pada pilihan raya umum pertama sebenarnya merupakan gabungan dari tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC. Kita tidak melihatnya sebagai gabungan secara jelas kerana ketiga-tiga parti ini bertanding di bawah satu nama dan logo.
Begitulah juga yang berlaku ketika era kerajaan BN selama berdekad lamanya. BN pada satu masa merupakan gabungan yang terdiri dari 14 parti politik, justeru kerajaan BN boleh juga dianggap sebagai kerajaan gabungan. Model yang sama juga boleh diandaikan pada kerajaan PH pasca PRU14, yang merupakan gabungan dari empat buah parti politik. Cuma seperti yang diperjelaskan awal tadi, ia tidak dilihat sebagai kerajaan gabungan seperti di negara lain kerana parti-parti ini bertanding di bawah satu nama am dan logo yang sama.
Hanya selepas Langkah Sheraton, maka kita mula melihat wujudnya kerajaan gabungan pada skala yang sama seperti di negara lain. Gabungan PN dan BN boleh dikatakan merupakan kerajaan gabungan pertama dalam konsep yang sebenar apabila dua blok politik bergabung bagi membentuk sebuah kerajaan, disertai dengan blok Borneo seperti GPS dan GRS.
Model kerajaan yang ada hari ini di bawah pimpinan Anwar Ibrahim juga adalah satu bentuk kerajaan gabungan, terdiri dari PH, BN, GPS, GRS dan beberapa parti politik kecil lain. Kerajaan gabungan ini jauh lebih stabil dan kukuh berbanding penubuhan kerajaan minoriti, kerana ia menguasai 148 kerusi dalam Dewan Rakyat dan mencapai majoriti dua per tiga sama seperti ketika era pentadbiran BN dahulu.
Gabungan Atau Perpaduan?
Satu perkara yang timbul sejak tertubuhnya kerajaan ialah istilah ‘kerajaan perpaduan’ yang kerap diulang oleh pelbagai pihak. Lalu adakah kerajaan yang ada sekarang sebuah kerajaan perpaduan atau ia lebih tepat dirujuk kerajaan gabungan?
Kerajaan perpaduan (unity government) adalah lebih tepat digunakan apabila sebuah kerajaan dibentuk dengan melibatkan semua parti politik yang ada. Dalam erti kata lainnya, sebuah kerajaan perpaduan adalah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang di parlimen.
Kerajaan perpaduan terhasil dalam keadaan genting, sebagai contoh apabila sebuah negara sedang menghadapi peperangan atau krisis bencana. Sebagai tanda kesatuan dan solidariti, kesemua parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang bergabung untuk bekerjasama dalam mengemudi negara keluar dari peperangan atau krisis yang berlaku. Kerajaan United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua adalah satu contoh sebuah kerajaan perpaduan apabila Perdana Menteri, Winston Churchill menubuhkan kerajaan yang melibatkan pihak pembangkang di dalamnya.
Maka dalam konteks Malaysia sekarang, adalah lebih tepat istilah kerajaan gabungan digunakan. Namun mungkin mengambil saranan dari Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja, menggunakan istilah kerajaan perpaduan dilihat memberikan imej yang lebih positif kepada umum. Ia juga mungkin bertitik tolak dari titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan semua parti politik menghentikan pergeseran dan duduk bersama dalam membina semula negara selepas bergelut dengan krisis politik dan pandemik Covid-19 sejak sekian lama.
Demikianlah kerajaan yang kita miliki hari ini.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.