Bencana banjir berlaku setiap tahun di negara kita apabila tibanya musim monsun dan setiap kali ia terjadi, mangsa banjir akan segera dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
PPS yang dibuka ini kebanyakannya ditempatkan di bangunan sekolah, dewan dan sebagainya dan ianya bersifat sementara.
Maka tidaklah menghairankan jika kelengkapan di PPS adalah terhad dan keselesaan penghuninya juga agak terbatas.
Salah satu kelemahan PPS sebegini adalah ketiadaan pengasingan sepenuhnya di antara penghuni lelaki dan wanita serta kanak-kanak.
Apabila tiada pengasingan sepenuhnya, wujud risiko kejadian tidak diingini berlaku seperti di Terengganu apabila dua kanak-kanak dicabul oleh lelaki dewasa di PPS baru-baru ini.
Mengambil iktibar dari kejadian tersebut dan hakikat bahawa bencana banjir berlaku setiap tahun, Kerajaan Perpaduan MADANI mengambil keputusan untuk membina Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).
PPKB ini bersifat kekal dan mempunyai bangunan tersendiri yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan keselesaan penghuni serta wujudnya pengasingan lelaki dan wanita serta kanak-kanak yang selamat.
Projek rintis untuk PPKB ini akan dimulakan di sembilan buah negeri dengan setiap satu PPKB dibina dengan kos siling sebanyak RM5 juta.
Ia akan menjadi pusat pemindahan ketika bencana banjir melanda dan boleh juga digunakan sebagai pusat aktiviti komuniti di luar musim banjir.
Pembinaan PPKB sebegini adalah yang pertama sejak sekian lama dan merupakan bukti iltizam kerajaan hari ini dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya meraka yang berada di kawasan bencana banjir seperti di Pantai Timur.