Isu benih padi kembali lagi dengan musim penanaman padi yang sedang bermula.
Di Malaysia, pesawah digalakkan untuk menggunakan Benih Padi Sah (BPS) dalam penanaman padi mereka.
Penggunaan BPS adalah perlu bagi memastikan ketulenan genetik dan identiti varieti benih padi yang ditanam.
Masalah ketiadaan bekalan BPS seperti yang berlaku ketika ini, dipercayai berpunca daripada manipulasi pihak pengeluar.
Justeru kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat berusaha memastikan bekalan BPS mencukupi sehingga tarikh akhir musim penanaman.
Antara usaha kerajaan adalah melancarkan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) Zon Utara bermula 7 November bagi memeriksa dan memantau kilang penyediaan benih padi untuk mencegah sebarang manipulasi.
Pada masa sama, kerajaan telah meluluskan 532,325 kampit BPS untuk kegunaan di Kedah dan Perlis bagi mengatasi masalah bekalan BPS.
Harga runcit BPS juga ditetapkan maksimum RM45 untuk setiap kampit 20kg dan mana-mana peruncit yang menjual melebihi harga maksimum akan ditarik lesen penjualan BPS serta-merta.
Secara keseluruhan Malaysia memerlukan 3.6 juta kampit BPS setahun bagi memenuhi permintaan pesawah padi.
Justeru kerajaan bercadang untuk mewujudkan stok BPS sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi isu bekalan sekiranya berlaku lagi.