Di dalam sukan bola sepak, halangan berbentuk bentesan kepada buku lali lawan atau pun bahasa pasarnya cah keting adalah satu kesalahan “straight red card” kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk kepada pihak lawan. Cah keting ini adalah satu tindakan terakhir untuk menghalang lawan yang handal menggelecek bola dari menjaringkan gol atau mencipta peluang untuk jaringan gol.
Di dalam politik, istilah cah keting pula selalu digunakan apabila satu pihak “membunuh” gerakan pihak lawan dengan kaedah yang keji. Cah keting selalu terjadi apabila musim pemilihan parti politik, di mana isu-isu seperti isu peribadi selalunya digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan pihak lawan.
Cah keting ini selalu dikaitkan dengan sifat pengecut dan dayus seseorang kerana ia adalah cara untuk meraih kemenangan dengan cara yang kotor dan tidak melibatkan pertandingan yang adil.
Hari ini, kerajaan Perikatan Nasional telah melakukan satu “gerakan” cah keting kepada rakyat Malaysia terutamanya kepada mereka yang berusia 18 tahun, yang sedang menunggu pelaksanaan Rang Undang-Undang Undi 18 yang telah diluluskan pada Julai 2019 dengan mendapat sokongan lebih dari 2/3 ahli Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya dalam kenyataan mereka pada 25 Mac 2021 menyatakan perlaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik hanya dapat dilaksanakan pada September 2022, iaitu tersasar dari jangkaan awal iaitu pada Julai 2021. SPR menyatakan hal ini adalah kerana secara umumnya negara masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19. Ini adalah alasan yang paling tidak munasabah dan mainan wayang kerajaan PN, bagi pendapat peribadi saya. Tiada sebab yang rasional yang boleh mengaitkan penangguhan perlaksanaan RUU Undi 18 dengan PKP.
Kerajaan PN sebenarnya hanya memerlukan sedikit “political will” yang tinggi bagi melaksanakan hal ini. Namun itulah kelemahan kerajaan PN. Political will yang ada pada mereka adalah apabila mereka mencatur coup d’etat yang dikenali dengan nama Langkah Sheraton, mencatur kejatuhan kerajaan negeri-negeri sehingga berlakunya Pilihan Raya Negeri Sabah yang kemudiannya telah mengakibatkan peningkatan kes COVID-19 sehingga berlaku PKP 2.0 yang hampir melumpuhkan ekonomi negara dan yang pasti menambah derita rakyat, mengagihkan jawatan GLC antara mereka dan yang paling utama mengadakan darurat.
Jika usaha dan political will tersebut digunakan untuk perlaksanaan RUU Undi 18 ini juga beberapa perkara lain seperti perbentangan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, pengagihan bakul makanan ke saluran dan penerima yang betul, penyusunan SOP yang lebih teratur dan masuk akal, keadaan mungkin lebih baik buat rakyat.
Apa yang menghairankan, mengapa kerajaan PN begitu takut dengan undi dari anak muda belia sehingga terpaksa melakukan cah keting? Jika kita imbas hampir keseluruhan ahli parlimen yang berada bersama kerajaan PN telah mengundi untuk menyokong RUU Undi 18 ini. Namun hampir keseluruhan dari mereka juga seakan-akan menentang pelaksanaan RUU Undi 18 ini. Ini adalah satu penghinaan ke atas sistem legislatif negara dan juga Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Penghinaan kepada undi dan mandat yang diberikan rakyat kepada ahli parlimen kerajaan PN ini. Sampai bila mereka akan terus-terusan memijak undi dan mandat yang diberikan oleh rakyat melalui satu proses demokrasi yang dihormati?
Kerajaan PN harus berani, seberani ketika mereka menebuk atap dan menjemput diri mereka melalui pintu belakang demokrasi. Perbuatan cah keting ini cukup sahaja melambangkan betapa dayus, keji dan pengecutnya kerajaan PN dan betapa kerajaan ini memperbodohkan kuasa rakyat. Jika seorang yang berusia 18 tahun boleh berkahwin, boleh didakwa di mahkamah, boleh dikompaun sebanyak RM 10,000, boleh menyertai anggota keselamatan, boleh memandu dan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan setelah menjelang usia 18 tahun, kenapa mereka tidak boleh mengundi dan memilih masa depan mereka melalui proses demokrasi? Kenapa perlu dirompak hak demokrasi mereka setelah diberikan pada Julai 2019 lalu? Ini adalah kegagalan kerajaan PN dan juga refleksi sebenar kerajaan cah keting ini – hanya ingin memuaskan diri dengan kuasa, bukan untuk memartabatkan rakyat seperti yang dikatakan mereka.

Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.