Kepentingan Golongan M40 Dan Kejatuhan Yang Membimbangkan

Perbincangan mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi tidak lengkap sekiranya kita tidak menyertakan sekali perbincangan mengenai pencapaian dan kedudukan kewangan masyarakat kelas menengah atau middle class society. Sebagai pemacu utama dalam perbelanjaan domestik dan pembangunan negara, golongan ini merupakan kelompok ekonomi yang sangat penting kepada kemapanan ekonomi, politik dan sosial setiap negara di seluruh dunia.

Bagi negara membangun seperti Malaysia, kelompok kelas menengah yang juga dikenali sebagai kumpulan M40 atau kelompok 40% isi rumah yang berpendapatan bulanan diantara RM4,850 hingga RM10,959 (Jabatan Perangkaan Negara Malaysia, 2019) merupakan sumber utama bagi pembangunan ekonomi domestik dan perdagangan antarabangsa.

Laporan Homi Kharas bagi Pusat Pembangunan Organisasi Untuk Kerjasama Dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang bertajuk The Emerging Middle Class in Developing Countries (2010) juga menyebut bahawa golongan kelas menengah merupakan faktor utama berlakunya inovasi dan aktiviti keusahawanan.

Keinginan untuk “merebut” sedikit dari bahagian perbelanjaan yang dilakukan oleh golongan kelas menengah memberi insentif kepada syarikat-syarikat untuk berterusan memperbaiki mutu dan kualiti produk serta perkhidmatan mereka agar kekal relevan di pasaran dan sekaligus sentiasa menjadi pilihan kepada golongan ini.

Tahap pendapatan boleh guna (disposable income) dan kuasa beli (purchasing power) yang tinggi juga memberi peluang kepada golongan ini untuk terus berbelanja dalam bidang seperti pendidikan, kesihatan, kewangan, kebudayaan, hiburan dan pelancongan yang sekaligus memberi manfaat kepada jutaan perniagaan baik yang berskala besar, sederhana atau kecil yang bergantung kepada golongan kelas menengah ini sebagai pelanggan utama perniagaan mereka.

Bukan itu sahaja, golongan kelas menengah yang secara asasnya terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi dan bekerja dalam sektor professional, dengan jayanya telah memposisikan diri mereka sendiri sebagai “influencer” pada budaya politik dan sosial yang lebih matang dan berkualiti.

Hal ini dijelaskan dengan sangat baik oleh Nancy Birdsall dalam tulisannya yang bertajuk Middle Class Heroes: The Best Guarantee of Good Governance kepada majalah Foreign Affairs pada 2016 yang menyatakan bahawa golongan kelas menengah yang besar serta terjamin dari segi kewangan adalah sangat penting sebagai asas kepada pembinaan dan kemapanan negara demokrasi yang efektif.

Beliau menyatakan bahawa golongan kelas menengah bukan sahaja menyumbang secara langsung kepada negara dari segi perbelanjaan kewangan dan bayaran cukai pendapatan, tetapi secara asasnya adalah lebih tegas dalam menuntut peraturan awam yang lebih baik, penguatkuasaan undang-undang yang adil serta pelaksanaan menyeluruh polisi kerajaan yang dapat memberi jaminan tentang kesamarataan peluang bagi setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kehidupan yang lebih bermaruah melalui bakat dan kerja keras.

Mereka memberi kesan yang positif terhadap keputusan dan pentadbiran politik, pembangunan nilai-nilai murni dan pegangan politik serta sosial masyarakat selain membantu meningkatkan kesedaran tentang etika pemikiran, perilaku dan pergaulan masyarakat awam secara keseluruhan.

Namun, kehadiran pandemik kali ini telah memberi cabaran yang amat berat kepada kelompok ini, khususnya dari segi ekonomi. Analisa Pew Research Center yang bertajuk The Pandemic Stalls Growth in the Global Middle Class, Pushes Poverty Up Sharply yang dikeluarkan pada Mac 2021 melaporkan pandemik Covid-19 telah merencatkan peningkatan jumlah golongan kelas menengah yang telah berkembang secara konsisten pada angka 50 juta orang setahun secara purata dari tahun 2011 hingga 2019. Bukan itu sahaja, tahun 2020 menyaksikan kumpulan kelas menengah di peringkat global juga menurun sebanyak 54 juta orang.

Di Malaysia, dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan Negara Malaysia (DOSM) mencatatkan sebanyak 20% isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori isi rumah B40.

Ini bermakna sekurang-kurangnya 20% isi rumah daripada kelompok M40 bukan sahaja mengalami penurunan nilai pendapatan purata tetapi juga penurunan kualiti hidup secara keseluruhan. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap cara kehidupan mereka di masa hadapan, khususnya pengurusan ekonomi keluarga, yakni perihal di mana dan bagaimana pendapatan mereka akan dibelanjakan. Cabaran ini juga akan memberi kesan membimbangkan kepada kemapanan pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Pertama, penurunan pendapatan golongan M40 akan mengakibatkan penurunan kualiti kehidupan bagi sebahagian besar isi rumah di Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang tidak mampu untuk melabur dan membelanjakan wang mereka ke dalam pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga dan kehidupan sosial keluarga yang seimbang.

Apatah lagi dengan keperluan pendidikan yang menjadi semakin mahal, kemampuan rakyat akan menjadi lebih terbatas. Penurunan pendapatan bermakna golongan ini terpaksa mengurangkan perbelanjaan pendidikan anak-anak seperti kelas tuisyen, pembelian buku, alat tulis dan gajet bagi tujuan pembelajaran. Ini akan menyebabkan anak-anak mereka menjadi ketinggalan khususnya dari segi pencapaian akademik.

Dalam masa sama, pendapatan yang berkurang juga akan membataskan kemampuan untuk menyediakan pemakanan yang seimbang kepada ahli keluarga mereka. Ketidakmampuan ini akan mengakibatkan ahli keluarga tidak mendapat nutrisi makanan yang berkualiti yang sekaligus akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan mental dan fizikal setiap ahli keluarga, khususnya anak-anak yang masih kecil.

Bukan itu sahaja, bagi golongan M40 yang sebelumnya menjalani kehidupan dengan selesa, penurunan pendapatan akan memaksa mereka untuk bekerja lebih masa atau bekerja dua pekerjaan dalam satu masa bagi menampung kehidupan atau sekurang-kurangnya mengekalkan gaya hidup lama yang sudah tentu berserta hutang-hutang seperti bayaran ansuran rumah, kereta, pelan insuran dan pelaburan-pelaburan lain.

Keadaan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kehidupan sosial keluarga mereka. Apabila ibu bapa meluangkan lebih banyak masa untuk memenuhi tuntutan kewangan keluarga, maka waktu bersama anak-anak akan berkurang. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka yang akan berpotensi membawa kepada masalah sosial yang lebih teruk.

Kedua, penguncupan pendapatan golongan M40 akan mengakibatkan pembangunan ekonomi negara terencat. Sebagai kumpulan yang menjadi nadi kepada perbelanjaan domestik dan bayaran cukai pendapatan individu, sebarang penurunan dari segi jumlah isi rumah yang memiliki pendapatan yang tinggi dan stabil akan membawa kepada penurunan keseluruhan kutipan cukai serta pembangunan ekonomi negara.

Golongan yang mengalami kejutan ekonomi akibat penurunan pendapatan boleh guna akan cenderung untuk menjadi lebih berhati-hati dalam berbelanja. Perbelanjaan yang menjadi terhad kepada barang-barang keperluan asas sahaja akan mengakibatkan penurunan pendapatan dan keuntungan bagi syarikat dan perniagaan. Penurunan pendapatan dan keuntungan ini kemudiannya akan memberi kesan kepada masalah lain seperti penyusutan kutipan cukai korporat negara.

Dalam masa sama, penurunan kuasa beli rakyat kebanyakan juga akan memberi kesan kepada jumlah permintaan secara keseluruhan. Kelemahan permintaan oleh golongan pembeli utama ini akan memaksa syarikat dan perniagaan untuk mengurangkan pelaburan dalam inovasi dan produktiviti yang kemudiannya akan mewujudkan masalah rantaian lain seperti ketidakseimbangan pasaran tenaga kerja yang akhirnya akan mengakibatkan masalah pengangguran dan penurunan gaji penengah.

Di pihak kerajaan, apabila golongan berpendapatan rendah bertambah, maka semakin besarlah beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam menjamin kebajikan mereka. Kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak peruntukan bagi membantu golongan ini khususnya bantuan sara hidup, subsidi pendidikan dan kesihatan, dan bantuan-bantuan lain. Apabila peruntukan untuk sektor sebegini meningkat, maka berkuranglah peruntukan dalam sektor lain terutama sektor yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi seperti pembinaan bangunan, fasiliti dan infrastruktur pengangkutan awam.

Ketiga, pengurangan kadar purata pendapatan golongan M40 akan membawa kepada peningkatan jurang kekayaan di antara kelompok paling kaya dengan kelompok paling miskin. Apabila jurang kekayaan antara kelas bawahan (B40) dan kelas atasan (T20) yang terdahulunya diimbangi oleh golongan kelas menengah (M40) semakin membesar, ianya akan mewujudkan suasana tidak tenteram dan harmoni dalam masyarakat, baik dari segi ekonomi mahupun dari segi sosial dan politik.

Seperti mana dijelaskan oleh ahli ekonomi, Alberto Chong dan Mark Gradstein dalam jurnal The Review of Economics and Statistics pada tahun 2007, masalah jurang kekayaan akan memberi kesan buruk kepada kualiti birokrasi, kestabilan pemerintahan, dan akauntabiliti demokratik sesebuah kerajaan selain turut membawa kepada masalah kompetensi pentadbiran negara dan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Pendapat ini kemudiannya disokong oleh pensyarah Frederick Solt dalam kajiannya yang bertajuk Economic Inequality and Democratic Political Engagement (2008) yang menyatakan bahawa apabila golongan M40 bergelut dengan masalah penurunan pendapatan, mereka cenderung untuk meluangkan lebih banyak masa memikirkan soal keselamatan pekerjaan dan kelangsungan hidup berbanding melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, kemasyarakatan dan perbincangan politik.

Keadaan ini seterusnya menjadikan golongan ini tidak cakna tentang perkembangan politik semasa dan memudahkan mereka untuk dieksploitasi oleh golongan elit politik. Kelompongan yang ditinggalkan oleh golongan M40 dalam arena perbincangan awam itu diisi dan dimanfaatkan oleh golongan kaya dan elit bagi tujuan mendapatkan lebih kuasa dan pengaruh untuk mempengaruhi proses membuat keputusan, perancangan polisi dan penggubalan dasar yang sudah tentu akan menguntungkan mereka dan kroni.

Sebagai kesimpulan, kerajaan harus bertindak dengan lebih cekap dan pantas untuk mengatasi masalah kesihatan yang disebabkan oleh virus Covid-19 ini dan sekaligus menangani masalah rantaian seperti penurunan pendapatan purata dan gaji penengah, peningkatan kadar pengangguran, pengecilan dan penutupan operasi perniagaan, membuka sekatan aktiviti sosial dan perniagaan serta mengurangkan jumlah rakyat yang berada pada kelompok kelas ekonomi terbawah. Perkara ini sangat penting bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di segenap lapisan adalah terjaga dari setiap dimensi dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lebih mapan.

Komen