Kemiskinan Jiwa Kita

Beberapa minggu lepas, seorang artis jazz popular telah mempersoalkan kenaikan harga barang yang semakin menekan rakyat. Kenyataan artis yang agak berusia itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada segenap masyarakat, tak terkecuali ahli-ahli politik yang berucap dalam persidangan mega parti politik terkuat di negara ini. Sebelum saya mengutip komentar pemain politik yang memberi reaksi, terdapat netizen yang memberi komentar; tiket konsert artis jazz tersebut mencecah ratusan ringgit, mengapa dia perlu risau tentang kenaikan harga barang? Pastinya dia mampu untuk berbelanja semahunya. Komentar tersebut mendapat “restu” daripada salah seorang politikus dengan berkata, kalau benar-benar ikhlas turunlah padang, jangan hanya tahu “tekan-tekan” semata-mata.

Mata Terbuka, Hati Terkebil-Kebil

Jika saya mengambil hujah “harga konsert” yang melambangkan pendapatan artis tersebut, ini bermakna orang yang berkemampuan atau berada tidak boleh mengeluh tentang kos sara hidup yang semakin tinggi. Saya fikir “logik” seperti ini tidak boleh diterima, memandangkan golongan Top 20% juga merupakan rakyat Malaysia, suara rakyat harus diteliti tanpa melihat kelas sosial mereka. Kemudian saya juga terfikir, berapa ramai individu daripada kelompok yang miskin mempunyai populariti seperti artis tadi? Bahkan masih ada rakyat yang tidak mampu untuk membeli telefon pintar, apatah lagi mempersoalkan kegusaran mereka di media sosial.

Populariti datang dengan tanggungjawab yang besar, saya percaya artis tersebut tidaklah terlalu terkesan dengan kenaikan harga barang dan kurangnya peluang pekerjaan, tapi lebih melihat kepada tekanan yang sedang dihadapi oleh kebanyakan marhaen. Bagi saya, ia merupakan tanggungjawab sosial artis tersebut supaya isu kos sara hidup dan pekerjaan lebih dibincangkan berbanding cerita usang untuk menjatuhkan seteru politik. Berapa ramai artis yang berani berkata sesuatu yang benar dengan meletakkan kariernya sebagai taruhan?

Kemiskinan Jiwa

Apabila kita meneliti jawapan kedua pula, kita akan menyedari ia merupakan cara tipikal kebanyakan kita melihat isu dan masalah. Kita gemar untuk membincangkan siapa yang memberi pandangan berbanding melihat isu/masalah apa yang disampaikan. Sewajar pemain politik itu tidak menyerang peribadi artis, tetapi menjawab persoalan-persoalan yang diberikan. Mustahil sesuatu masalah akan selesai sekiranya setiap kali kita diberitahu tentang masalah, kita menyerang mereka yang memperlihatkan masalah tersebut.

Menafikan masalah dengan cuba mengubah isu merupakan satu kemiskinan jiwa, sesuatu yang pernah disebutkan oleh pendeta agung Melayu, Za’ba. Hanya kerana seseorang itu tidak merasakan tekanan seperti golongan miskin, tidak bermakna tekanan-tekanan tersebut tidak wujud, menafikan masalah tidak pernah menyelesaikan masalah. Jurang yang besar di antara mereka yang bergelar politikus atau orang-orang penting dalam decision making dengan kelompok miskin menyebabkan sering kali ungkapan – “saya faham perasaan anda semua” tidak bermaksud sedemikian.

Senang Bersama, Susah Bersama

Sesekali saya agak emotional apabila membicarakan isu “kebersamaan” dalam menghadapi krisis ekonomi atau pemotongan bajet negara. Selalunya saya melihat apabila berlaku “penjimatan” dalam bajet negara, ia kerap mengambil sesuatu daripada rakyat. Sebagai contoh, penarikan subsidi, pemotongan bajet pendidikan tinggi atau pemotongan perbelanjaan kesihatan. Ketika langkah-langkah “penjimatan” ini diambil, ramai yang mempersoalkan bagaimana perbelanjaan kritikal boleh dipotong, lebih-lebih lagi setelah GST diperkenalkan? Bukankah kita telah mengutip jumlah wang yang banyak daripada GST?

Bajet 2018 yang baharu dibentangkan kelihatan lebih seimbang dan kemas memandangkan PRU diramalkan berlaku pada tahun hadapan, selalunya belanjawan PRU akan dipastikan dapat memikat hati rakyat. Sekiranya benar ekonomi kita sedang berada dalam krisis (walaupun laporan Bank Negara menyatakan ekonomi negara berkembang) sehingga memerlukan “penjimatan drastik”, saya fikir kita patut bermula dengan perbelanjaan untuk membiayai ahli-ahli politik negara.

Wajar jika elaun dan kemudahan mereka yang dirasakan tidak kritikal turut dipotong. Bagi saya ia merupakan langkah simbolik untuk menyampaikan mesej we share the pain together, tidaklah hanya rakyat yang merasakan tekanan semata-mata.

Krisis Kos Saraf Hidup Dan Peluang Pekerjaan Adalah Benar

Kita tidak boleh menafikan kita sedang menghadapi krisis peningkatan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan untuk graduan. Kita tidak boleh menafikan masalah ini semakin menekan rakyat, terutamanya untuk rakyat yang miskin. Jangan hanya kerana ingin melihat bos kita tersenyum lebar, kita menafikan semua ini dengan memberikan jenaka yang hambar. Campaklah masalah-masalah ini kepada pemimpin-pemimpin kanan pemerintah, sekiranya mereka mengambil perhatian dan cuba mengatasi masalah ini, pastinya keyakinan rakyat akan semakin bertambah.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Malaysia Tamat Tempoh)

Komen