Kemelut Persekolahan Di Malaysia

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Disember 2020, sebab semangat nak masukkan anak sulung saya ke Darjah 1, saya tanpa berlengah dan berfikir mendalam terus beli barangan keperluan untuk anak sekolah.

Empat pasang pakaian seragam sekolah, dua pasang kasut hitam, seutas tali pinggang dan sebuah beg sekolah semua dah siap dan bersedia untuk digunakan bila anak masuk sekolah nanti. Tak cukup dengan itu, saya bersedia juga dengan dua unit face shield demi menyahut norma baharu persekolahan.

Alih-alih, dengan lagi berapa hari nak masuk sekolah Menteri Kanan Pendidikan umum tangguh dulu. Kita mula dengan kelas online katanya.

Sepatutnya saya maki beliau. Sebab hal sekolah atau tidak ni cerdik pandai pendidikan dah bercakap sejak tahun lepas lagi. Semua pakar pendidikan duk tanya apa langkah strategi KPM, kot-kot sekolah kena tutup sebab COVID-19 masih bermaharajalela.

Tapi tak perlulah saya maki, walaupun dah empat pasang pakaian seragam sekolah saya beli.

Yang lebih layak nak maki Radzi anak Jidin ni patutnya akak yang saya jumpa masa beli buku sekolah tempoh hari. Yang ada tiga anak sekolah berkongsi handphone mak untuk belajar online.

Ataupun ibu bapa yang dari golongan B40, yang sebab nak bersiap untuk anak sekolah terpaksa bergolok gadai beli kelengkapan sekolah dan sekarang melopong bila menteri cakap tunggu jap.

Juga yang lebih layak maki ialah ibu bapa yang baru lepas hantar anak pulang ke sekolah asrama hari yang sama menteri kanan cakap sekolah tangguh dulu, siapa dah hantar anak terpulang nak biar anak merempat kat asrama atau boleh je ambil bila-bila masa.

Apa dia ingat mak pak yang hantar anak ke asrama ni semua naik Vellfire siap ada drebar sendiri dan jauh sekolah asrama dari rumah hanya 10KM?

Mereka semua lebih layak maki Radzi anak Jidin berbanding saya. Saya, walaupun dah beli empat pasang pakaian seragam masih lagi cukup makan minum dan lepaslah bayar bil dan hutang kereta.

Tapi bila fikir balik, betapa dulu orang duk meratib bantai Maszlee Malik siang malam masa dia jadi Menteri Pendidikan, dan sudahnya kita diberi ganti dalam bentuk Radzi Jidin…

Tidak dapat tidak saya pun rasa nak maki juga.

“Dari Ketereh ke Putrajaya melalui Sungai Besi – Trolak – Melbourne – Sintok – Canberra – Sydney – Hobart” konon, tapi rupanya jenis menteri minta maki 24 jam.

Hari ini, selepas Radzi ‘study sentimental, result heavy metal’ Jidin buat pengumuman mengejut semalam, saya antara bapa paling tenang pada hari Sabtu ini.

Sebab apa? Sebab semua saya dah sedia sejak bulan lepas lagi.

Tapi itu tak bermakna saya boleh bertenang dan tidak maki Radzi Jidin dan KPM.

Sebab pengumuman mengejut semalam, banyak persoalan dan permasalahan yang timbul sama macam yang berlaku bulan lepas bila sekolah tidak jadi dibuka.

Kalau bulan lepas, saya tulis tentang bagaimana ibu bapa B40 yang sudah membelanjakan duit beli kelengkapan sekolah akhirnya melopong bila menteri cakap sekolah tidak jadi buka dan kita akan buat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bayangkan mereka sudah berhabis duit beli kelengkapan sekolah, kini terpaksa korek tabung pula untuk beli peranti untuk anak belajar. Ada pula yang dikhabarkan terpaksa berhutang dengan Ahlong.

Sekarang, selepas Radzi Jidin umum sekolah akan dibuka 1 Mac untuk Tahap 1 dan 8 Mac untuk Tahap 2, saya terfikir bagaimana agaknya perasaan ibu bapa B40 yang sudah membelanjakan wang untuk membeli peranti, sedangkan fasa PdPR berjalan boleh dikatakan tidak sampai pun 2 bulan.

Mereka mungkin sudah beli kelengkapan sekolah bulan lepas dan kemudian perlu korek tabung atau pinjam Ahlong untuk beli peranti demi PdPR, ataupun jika tidak terbeli kelengkapan sekolah sebelum ini, mungkin duit sudah habis untuk peranti dan kini berdepan situasi korek tabung atau pinjam Ahlong semata-mata untuk membeli kelengkapan sekolah pula.

Dan itu baru untuk ibu bapa kategori B40, atau sebahagian M40.

Kita juga jangan lupa bahawa kerana pelaksanaan PdPR, dan kerana janji pinjaman 150,000 komputer riba oleh kerajaan hanya tinggal janji, puluhan badan NGO, individu dermawan seperti Ebit Lew dan wakil rakyat pembangkang seperti Syed Saddiq, Steven Sim atau Nor Amin Ahmad telah membuat kutipan derma dan kerja amal cuba membekalkan peranti kepada mereka yang memerlukan. Adakah kini usaha mereka dan kutipan derma tersebut akan tersia begitu sahaja apabila PdPR ditamatkan jauh lebih awal?

Kemudian, satu persoalan paling penting yang perlu kita tanya juga ialah apa nasib Didik TV? Baru beberapa hari pengambil alihan NTV7 dibuat untuk dijadikan Didik TV dengan segala content di dalamnya dibuat tergesa-gesa, kini secara tiba-tiba masa depan Didik TV nampak kelam. Kenapa kelam? Habis jika sekolah sudah dibuka dan pelajar semua bersekolah seperti biasa, siapa yang mahu duduk di rumah tonton Didik TV tadi?

Saya rasa hal-hal ini yang menjadi persoalan besar kenapa kerajaan tiba-tiba mahu buka sekolah pada 1 dan 8 Mac, ketika tiada tanda-tanda jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan. Hal ibu bapa yang sudah habis duit beli peranti dan kini terpaksa kelam kabut beli kelengkapan sekolah, hal pinjaman 150,000 komputer riba yang senyap sahaja, hal usaha pelbagai pihak membekalkan peranti yang dipandang sepi oleh kerajaan dan hal Didik TV yang baru bermula tapi sekarang kita sendiri tidak tahu apa kesudahannya.

“Hari tu kau bising sekolah tutup, ni sekolah nak buka kau bising pula?”

Saya tak mahu bising sebenarnya. Sebab macam saya cakap, bulan lepas bila sekolah tak jadi buka walaupun saya dah belanja banyak beli kelengkapan, saya tiada masalah. Nak PdPR? Bring it on. Di rumah saya ada dua komputer riba dan banyak telefon yang boleh digunakan untuk PdPR, lengkap dengan pakej Wifi. Sekarang kalau sekolah nak buka kembali, saya okey juga sebab saya sudah beli segala kelengkapan sejak tahun lepas dan hari ini saya hanya duduk di rumah tak perlu bersesak depan Smiggle sana.

Namun saya kena bising sebab tak semua pelajar sekolah senasib dengan anak saya. Yang lain di luar sana, mereka mungkin datang dari keluarga yang kurang berada, yang ibu bapa sudah berhabis duit beli peranti dan kini terpaksa pula cari duit beli kelengkapan sekolah.

Tapi itulah, kita dikurniakan menteri yang ‘study sentimental result heavy metal’ sampai terbawa kepada ‘kerja sentimental pengumuman heavy mental’.

Ya, saya tukar metal kepada mental.

Komen