Kematangan Demokrasi Di Perak

Dalam tempoh satu minggu selepas Ahmad Faizal Azumu (Peja) disingkirkan dari jawatan Menteri Besar melalui undi tidak percaya, krisis politik Perak akhirnya diselesaikan dengan pelantikan Menteri Besar baharu dan Belanjawan Perak 2021 diluluskan dengan sebulat suara oleh 59 ADUN.

Bagaimana Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak boleh bertindak menyingkirkan seorang Menteri Besar dan meluluskan belanjawan secara sebulat suara dalam tempoh hanya satu minggu adalah bukti kematangan demokrasi di Perak berpandukan dari nasihat dan hasrat pihak istana selaras dengan amalan demokrasi berpalimen dan raja berperlembagaan.

Menyorot kembali apa yang berlaku sejak seminggu sudah, Peja terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar setelah 25 ADUN UMNO dan 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) mengundi tidak percaya ke atas kepimpinan beliau. Kita semua tahu, Peja yang menjadi Menteri Besar sejak era kerajaan PH hinggalah ke kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya memegang kuasa dengan sokongan yang tipis. Parti Peja sendiri, BERSATU hanya memiliki lima ADUN dan sekutu mereka PAS pula hanya tiga. Ia sangat sedikit dan terlalu jauh dari majoriti mudah 30 yang diperlukan di dalam DUN Perak.

Jelas, pemerintahan Peja selama ini adalah atas ihsan parti komponen PH yang lain ketika era PH dan atas belas UMNO ketika waktu PN. Ia adalah pemerintahan yang rapuh dan boleh ditumbangkan pada bila-bila masa.

Sememangnya di negeri Perak, imbangan kuasa politik adalah terlalu kompleks. Tidak ada parti tunggal yang boleh mencapai majoriti mudah 30 kerusi DUN melainkan dengan bergabung bersama parti lain. UMNO sendiri hanya menguasai 25 kerusi DUN dan walaupun mereka adalah blok terbesar, masih juga perlu menagih sokongan parti lain untuk membentuk kerajaan. Mereka juga perlukan sokongan luar untuk menyingkirkan Peja dan meletakkan ADUN dari UMNO sebagai Menteri Besar baharu.

Di pihak PH, undi tidak percaya ke atas Peja adalah bukan lagi persoalan kalau, tetapi bila. Dan bila ianya berlaku semestilah ADUN PH sebulat suara mengundi tidak percaya. Pengkhianatan Peja ke atas PH adalah jelas dan nyata. Peja juga satu-satunya Menteri Besar yang kekal selepas Langkah Sheraton dan rampasan kerajaan di peringkat negeri, tidak seperti di Kedah, Melaka atau Johor. Maka dendam ADUN PH ke atas Peja bukan lagi rahsia.

Bersandarkan kepada situasi inilah yang mencetuskan ‘kerjasama’ antara UMNO dan PH untuk membenam Peja. UMNO mahukan jawatan Menteri Besar, tetapi ianya tidak akan berlaku jika usul undi tidak percaya ke atas Peja gagal. Ia juga tidak akan berlaku jika setelah Peja disingkirkan, UMNO tidak mempunyai sokongan yang cukup dari ADUN untuk membentuk kerajaan baharu dan meletakkan Menteri Besar dari parti UMNO.

Lantaran itu UMNO memerlukan PH. Dan sekalipun jika PH memang menunggu masa untuk menyingkirkan Peja, ia tidak bermakna mereka akan melakukannya tanpa sebarang syarat atau timbal balik.

Hari ini, dengan Belanjawan Perak 2021 diluluskan sebulat suara kita semua sudah jelas apa syarat dan timbal balik tersebut. Menteri Besar Perak yang baharu dari UMNO, Saarani Mohamad dalam pembentangan belanjawan pada hari Rabu, 16 Disember 2020 mengumumkan beberapa perkara penting yang dianggap suatu pembaharuan dalam mematangkan demokrasi di Perak:

  1. Peruntukan berjumlah RM200,000 untuk setiap 59 ADUN tanpa mengira perbezaan kerajaan atau pembangkang.
  2. Penglibatan ADUN pembangkang di dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
  3. Pengiktirafan ke atas ketua pembangkang DUN Perak dengan pemberian gaji, elaun, emolumen dan penyediaan fasiliti yang sesuai.
  4. Persetujuan untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dari kalangan ADUN pembangkang.

Kesemua empat perkara di atas tercapai melalui confidence and supply agreement (CSA) antara kerajaan PN pimpinan UMNO dan blok pembangkang PH. CSA adalah penyelesaian menang-menang antara kedua pihak dan merupakan jalan terbaik ketika negeri Perak dilanda pandemik COVID-19 dan ancaman kemelesetan ekonomi sebagai kesan sampingan. Dengan adanya CSA, kerajaan Perak hari ini di bawah pimpinan Menteri Besar baharu adalah lebih stabil dan efisien dalam menjaga kebajikan rakyat negeri Perak.

Contoh paling mudah adalah peruntukan RM200,000 untuk setiap ADUN yang boleh digunakan bagi membantu rakyat di kawasan DUN masing-masing. Tiada lagi diskriminasi atau ketidakadilan dalam agihan peruntukan seperti sebelum ini.

Reformasi institusi yang berlaku di Perak ini hasil dari CSA yang termeterai adalah bukti kematangan demokrasi dan meletakkan Perak sebagai contoh politik yang sihat dan mengutamakan rakyat. Ia juga sepatutnya menjadi case study yang baik bagi memahami bagaimana ia boleh dilakukan di peringkat persekutuan di dalam Dewan Rakyat, sekaligus membuka lembaran baru yang boleh menyelesaikan polemik politik yang sekian lama membelenggu negara.

Dan apa yang lebih penting, kerjasama antara kerajaan dan pembangkan melalui CSA di negeri Perak adalah selaras dengan titah Paduka Seri Sultan Perak iaitu:

‘Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh ADUN PERIKATAN NASIONAL atau PAKATAN HARAPAN, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama. Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan ILAHI; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni. Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu. Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan ILAHI, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud.’

Komen