Kedatangan Masyarakat Minangkabau Ke Negeri Sembilan

Pendahuluan

Tidak lengkap rasanya sejarah Negeri Sembilan jika tiada sebarang penjelasan yang khusus mengenai Minangkabau. Etnik Minangkabau telah mengubah Negeri Sembilan daripada hanya terdiri daripada negeri – negeri kecil kepada satu negeri yang besar. Orang Minangkabau telah memberikan banyak sumbangan bukan sahaja dalam membentuk negeri tetapi juga keseimbangan di dalam struktur penduduk Negeri Sembilan. Tanpa orang Minangkabau ini juga boleh dikatakan Negeri Sembilan akan mempunyai satu sejarah yang kurang menarik. Minangkabau seperti satu elemen yang membangkitkan kembali sejarah Negeri Sembilan yang pada awalnya hanya terdiri daripada Sungai Ujong dan Klang sahaja. Namun penjelasan ini tidak bermakna penolakan terhadap sumbangan orang Negeri Sembilan Asli. Ianya hanyalah untuk menjelaskan bertapa peri pentingnya Minangkabau dalam sejarah Negeri Sembilan. Keunikan masyarakat Minangkabau ini akan dijelaskan lagi di dalam bahagian ini. Soal mengenai penghijrahan Minangkabau akan menjadi fokus utama. Hal ini kerana, penghijrahan mereka adalah antara penghijrahan terpenting serta mempengaruhi Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.

Pergerakan Masyarakat Minangkabau

Jika diselidik orang Minangkabau tergolong di antara etnik yang banyak melakukan pergerakan. Pergerakan bermaksud berlakunya perpindahan atau penghijrahan. Tidak kira sama ada secara paksa atau secara semula jadi. Pergerakan ini berkait rapat dengan konsep budaya yang dibawa oleh orang Minangkabau iaitu konsep ‘merantau’. Konsep ini pada awalnya bukanlah satu budaya yang diterapkan atau diwajibkan. Tetapi ianya lebih kepada perbuatan melarikan diri pada awalnya. Makna ‘merantau’ di sini ialah berjalan, belayar atau mengembara mencari penghidupan dan lain – lain. Mengapa pada awalnya dikatakan melarikan diri adalah kerana berlakunya huru – hara di Minangkabau. Huru – hara ini juga menjadi faktor pendorong berlakunya budaya merantau. Tetapi lama kelamaan merantau telah dijadikan budaya oleh kerana ramai yang bergerak keluar daripada Minangkabau. Perbuatan merantau juga lama kelamaan bukan lagi disebabkan melarikan diri tetapi juga atas faktor ekonomi. Mereka merantau dengan melihat potensi ekonomi yang boleh didapati di tempat mereka tinggal kemudian hari. Fenomena sosial ini terus mengalir dalam darah daging masyarakat Minangkabau sehingga wujudnya penempatan Minangkabau di Negeri Sembilan.

Menurut pengkaji – pengkaji yang mengkaji sejarah Minangkabau tiada tarikh mahupun tahun yang tepat mengenai penghijrahan Minangkabau ke Negeri Sembilan. Hanya catatan – catatan kecil yang menyatakan mengenai kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Kedatangan orang Minangkabau pada awalnya adalah melalui Siak yang dikatakan berlaku pada abad ke – 12. Pergerakan ini merupakan pergerakan terawal yang mempunyai catatan mengenai orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Tetapi di Siak orang Minangkabau hanya bersifat sementara dan mereka tidak membina sebarang penempatan di situ. Hal ini bertepatan dengan teori yang dikemukakan oleh Norhalim Ibrahim mengenai dua tahap orang Minangkabau yang berhijrah. Beliau mengatakan tahap pertama, orang Minangkabau bergerak dalam lingkungan abad ke – 12 sehingga abad ke – 15. Tahap pertama ini berhijrah tetapi hanya bersifat sementara. Bagi membuktikan perkara ini, penghijrahan orang Minangkabau sebenarnya mempunyai lima gelombang. Gelombang pertama ada menceritakan mengenai penghijrahan orang Minangkabau yang terawal.

Gelombang pertama membawa satu rombongan yang diketuai oleh Datok Raja dengan isterinya (Tuo Sari). Tiada sebarang catatan yang mengesahkan mengenai asal usul Datok Raja dan isterinya. Namun, apa yang pasti mereka ini adalah rombongan terawal yang datang daripada Minangkabau. Sebelum mereka ke Negeri Sembilan, mereka dikatakan telah singgah terlebih dahulu di Siak. Bermakna di sini, benarlah pendudukan pertama di Siak tetapi ianya hanya singgah ataupun bersifat sementara. Perjalanan mereka diteruskan dengan melalui Selat Melaka kemudiannya Johor. Selepas melalui Johor, mereka memasuk Naning dan Rembau. Mereka menetap di situ tempat yang bernama Londar Naga atau namanya sekarang Kampung Galau. Kebanyakan rujukan atau kajian mengenai penghijrahan terawal orang Minangkabau akan dikaitkan dengan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini kerana, berkemungkinan jumlah penghijrahan orang Minangkabau antara abad ke – 15 hingga ke – 16 lebih ketara. Namun begitu, tidak bermakna penghijrahan sebelumnya tidak diambil kira. Ianya kerana perlunya mencari pencetus kepada berlakunya penghijrahan orang Minangkabau. Kebenaran mengenai gelombang pertama sememangnya mencetuskan sedikit kemusykilan tetapi catatan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Gelombang pertama tidak terhenti disitu sahaja apabila berlakuya gelombang kedua perpindahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Perpindahan ini turut dipimpin oleh seseorang daripada keluarga Datok Bandaro Penghulu Alam dari Sungai Tarab. Gelombang kedua ini berlakunya perpindahan orang Minangkabau daripada kelompok Luhak Tanah Datar. Rombongan ini telah menetap di sebuah tempat yang terkenal dengan Kampung Seri Layang.

Seterusnya gelombang ketiga muncul dan dapat dikenalpasti asal usul mereka. Gelombang ketiga ini dikatakan datangnya daripada Batusangkar. Gelombang ketiga ini melihatkan penghijrahan yang melibatkan keluarga Datuk Makudum Sati di Sumanik. Penghijrahan ini kemudiannya disertai oleh dua orang bersaudara iaitu Sutan Sumanik dan Johan Kebesaran. Rombongan ketiga seperti juga rombongan pertama mereka singgah ke Siak terlebih dahulu. Meneruskan perjalanan mereka dengan melalui Melaka dan Rembau. Gelombang ini akhirnya membuka satu perkampungan yang bernama Tanjung Alam. Nama Tanjung Alam kemudiannya berganti kepada Gunung Pasir daerah yang dikatakan merupakan antara wilayah Negeri Sembilan terawal.

Rombongan keempat atau gelombang keempat pula dikatakan datang daripada Payakumbuh. Paya Kumbuh merupakan antara salah satu tempat asal usul orang Minangkabau. Rombongan ini turut diketuai oleh Datuk iaitu Datuk Putih. Rombongan ini menempatkan diri mereka di perkampungan Sutan Sumanik yang sudah berhijrah pada gelombang ketiga. Datuk Putih merupakan seorang pawang atau bomoh yang terkenal dengan ilmu kebatinannya. Nama Seri Menanti tempat yang menjadi bandar DiRaja Negeri Sembilan sekarang adalah hasil daripada buah fikirannya.

Gelombang selanjutnya boleh dikatakan sebagai gelombang terakhir sebelum berlakunya kembali penghijrahan orang Minangkabau. Rombongan ini datang daripada puak Luhak Limapuluh Kota. Mereka ini berasal daripada Batuhampar dan pengikut – pengikutnya tidak terdiri daripada orang Batuhampar sahaja. Ianya diketuai oleh Datuk Lelo Bolang asalnya Batuhampar itu sendiri. rombongan ini turut dikatakan tidak bergabung dengan saudaranya, malahan mereka membuka pemukiman sendiri di Kampung Tigo Nenek. Datuk Lelo Bolang dan pengikutnya disebutkan sebagai orang Minang pertama yang tiba di Negeri Sembilan dan menetap di Rembau sekitar tahun 1467.

Berdasarkan gelombang kedatangan orang Minangkabau yagn telah dijelaskan di atas terdapat percanggahan fakta mengenai tarikh atau tahun sebenar. Penjelasan awal telah diberikan dimana sememangnya tiada sebarang bukti mahupun fakta yang mampu memberikan tahun atau tarikh sebenar kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Namun, catatan paling awal adalah abad ke – 12 yang mana pendapatnya datang daripada kebanyakan pengkaji. Kekurangan data – data mengenai penghijrahan orang Minangkabau menyukarkan lagi proses mencari tarikh sebenar. Hanya maklumat yang lebih jelas mengenai penghijrahan orang Minangkabau diperolehi semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bukan sahaja daripada catatan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka tetapi juga catatan daripada penjajah seperti Portugis dan Belanda. Semasa zaman ini lebih jelas keterlihatan penghijrahan orang Minangkabau bukan sahaja ke Negeri Sembilan tetapi juga Melaka. Gelombang – gelombang tadi telah menjadi bukti berlakunya penhijrahan orang Minangkabau seawal abad ke – 12 dan 13. Gelombang ini juga boleh dikatakan sebagai pemangkin kepada penghijrahan orang Minangkabau seterusnya. Di mana penghijrahan selepas ini adalah lebih bersifat besar – besaran.

Teori kedatangan orang Minangkabau pada abad ke – 12 turut disokong oleh T.J. Newbold. Cuma versi untuk T.J. Newbold adalah berlainan dengan versi yang menceritakan mengenai lima gelombang kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Jika mengikut versi lima gelombang, rombongan pertama yang mendarat di Tanah Melayu telah singgah ke Siak terlebih dahulu sebelum membuka penempatan di Negeri Sembilan. Versi T.J. Newbold pula mengatakan kumpulan pertama yang datang ke Tanah Melayu telah melalui Sungai Melaka. Menurut D.G.E Hall, penghijrah pada abad ke – 12 ini terdiri daripada “pelarian” dalam sistem sosial orang Minangkabau. Kumpulan ini diketuai oleh Tu Pattair yang kemudian membawa kumpulan ini tiba ke satu tempat dipanggil Tabo (Tabuh Naning). Tu Pattair kemudiannya telah berkahwin dengan masyarakat setempat iaitu gadis Jakun orang Asli Negeri Sembilan. Perkahwinan itu membawa kepada pembukaan pertama perkampungan orang Minangkabau di Negeri Sembilan.

Tahun yang sering dikatakan oleh pengkaji mengenai kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan adalah pada ketika munculnya Kesultanan Melayu Melaka. Teori ini merupakan antara teori yang paling banyak dimunculkan dalam idea – idea pengkaji sejarah. Tambahan pula, dengan bukti – bukti yang didapati lebih menunjukkan berlakunya penghijrahan dalam abad ke – 14 sehingga ke – 15. Buyong Adil menegaskan bahawa berlakunya penghijrahan pada abad ke – 15 berdasarkan bukti yang dijumpai olehnya. Sebuah Makam di Sungai Udang, Linggi milik Sheikh Ahmad. Makam tersebut dikatakan milik orang Minangkabau kerana bentuk dan tulisan pada batu nisan di makam tersebut sama dengan batu bersurat di Batusangkar dan Pagar Ruyong di Sumatera. Sheikh Ahmad telah dikatakan menjadi perintis kepada penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan dengan melalui Melaka. Tahun pada batu nisan tersebut turut mengesahkan bahawa berlakunya penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Tahun 1467 tertera di batu nisan tahun kematiannya yang turut merupakan ketika itu era pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka. Nama pada Sheikh Ahmad ada menimbulkan sedikit keraguan mengenai asal usulnya. Hal ini disebabkan nama “Sheikh” sepatutnya berketurunan Arab. Tetapi melihat kepada tahun kematiannya Sheikh Ahmad telah tiba ke Negeri Sembilan sebelum tahun 1467 lagi.

Teori Buyong Adil mengatakan orang Minangkabau datang semasa Kesultanan Melayu Melaka berbeza pula dengan teori Khoo Kay Kim. Khoo Kay Kim berpendapat orang Minangkabau telah berhijrah lebih awal daripada apa yang diperkatakan oleh Buyong Adil. Orang Minangkabau melakukan penghijrahan sejak awal kemunculan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Pembukaan Kota Melaka menyaksikan terjadinya penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Penghijrahan semasa kemunculan Kesultanan Melayu Melaka dikatakan berlaku secara berperingkat – peringkat. Ianya seperti gelombang yang dijelaskan tadi. Laluan yang digunakan oleh mereka adalah melalui Sungai Linggi dan juga anak – anak sungai lain di persisiran Selat Melaka. Hal ini dapat dibuktikan dengan mengambil keterangan daripada Alfonso De Albuquerque. Penguasa Portugis ini telah megesahkan bahawa terdapatnya orang Minang di pelabuhan Melaka. Hal ini bermakna, orang Minangkabau sudah ada di Melaka sebelum Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511.

R.J. Wilkinson turut mempunyai pendapatnya yang tersendiri apabila mengutarakan teori kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan adalah selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Dalam beberapa tahun selepas 1511 barulah berlakunya penghijrahan orang Minangkabau menurut R.J. Wilkinson. Pendapat ini juga dipersetujui oleh J.M. Gullick dan R.O. Winstedt yang mana dua orang ini antara pengkaji yang banyak mengkaji mengenai sejarah Negeri Sembilan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sejarah kedatangan masyarakat Minangkabau ke Negeri Sembilan masih lagi samar – samar. Fakta – fakta yang diberikan mungkin masih lagi dipersoalkan kesahihannya. Sejarah Negeri Sembilan itu sendiri tidak begitu diberikan fokus pada abad ke -14 sehingga ke -16, sedangkan pada abad tersebut dikatakan sudah bermula pergerakan masyarakat Minangkabau. Kajian mengenai Minangkabau sememangnya banyak namun kajian yang terperinci bagaimana masyarakat Minangkabau menjadi salah satu masyarakat utama di Negeri Sembilan masih kurang. Diharapkan penulisan artikel ini dapat membantu dalam menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah kedatangan masyarakat Minangkabau ke Negeri Sembilan.

Tentang Penulis

Meor Mohamad Nazhan adalah siswa Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Sosial (Sejarah). Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen