Kalau Syed Saddiq Bertanding Di Melaka

DALAM novel saya 1515, yang latarnya Melaka pada tahun 1515, protagonisnya Tun Nyemah Mulya adalah seorang anak muda berusia 15 tahun. Beliau adalah seorang perempuan belia. Bintang muda. Dan kerana beliau muda, Nyemah ada banyak idea dan tenaga. Nyemah memimpin pasukan Melaka melanggar Portugal, dan menang. Tun Nyemah malah membuka jajahan baru di negara tersebut, di benua Eropah.

Malang sekali, Tun Nyemah dikhianati. Bukan oleh orang lain, tetapi kuasawan Melaka sendiri. Jenis-jenis tua kutuk tak sedar diri.

Saya percaya dalam satu pertembungan atau perlawanan, kita memerlukan drama. Bahkan kita memerlukan srikandi atau panglima muda untuk diadukan. Kalau menang maka ya drama politik itu menjadi. Mungkin menjadi-jadi. Akan tetapi kalau tewas, terkorban; ia menjadi lambang yang bernyawa. Semacam satu katalis. Atau pemangkin. Benih muda penting untuk menjadi zat yang melekaskan laju reaksi kimia pada suhu tertentu, meski tidak mengalami perubahan dan pengurangan jumlah.

Untuk episod Melaka menjadi sedap ditonton (baca: tonton, bukan mesti berkhidmat) saya membayangkan ada benih-benih muda ini ditabur atau dipancut disemaikan pada tanah gersang Melaka. Macam darah Nyemah Mulya yang memancut di hujung novel 1515. Ia kemudian menyalakan api, sehingga rakyat Melaka bangkit menolak feudal totok yang menjengkelkan itu.

Untuk itu, saya membayangkan satu lelakon (baca: bukan mesti jadi, memadai dikhayalkan) betapa bintang muda yang turun bertanding di Melaka itu, katakanlah ya, dia melawan Sulaiman Ali di Lendu, atau Ab Rauf Yusoh di sebelah-sebelah Merlimau hala ke Muar. Kalau Muar, kita ada siapa?

Untuk itu, saya meletakkan dalam benak, seraya memejam mata – yang bertanding itu bekas Menteri Belia dan Sukan – ehem ehem tolaklah ke tepi yang beliau ada kes sedang dalam perbicaraan. Sebab satu, belum tentu dia benar bersalah. Kedua, macam yang ada-ada sekarang, sah-sah bersalah pun boleh turun berkempen, dapat pasport ke sana ke mari, malah disambut dengan meriah. Walaupun di sini saya tidak mengatakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan bersalah. Ingat, ini hanya lelakon dalam khayalan saya sahaja.

Saya cuma pengarang kreatif. Orang kata, penulis novel saja. Dan saya, ramai orang kata penulis sendu sahaja. Tak ada menang apa-apa anugerah pun di peringkat rantau ini. Saya main-main ramal saja.

Tapi kalau mahu Pilihan Raya Negeri Melaka ini jadi meriah, memang kena bintang muda yang bersinar diketengahkan. Bintang muda itu mesti mengerlip dan mengerlap. Bayangkan Syed Saddiq.

Orang Melaka pun tak rugi kalau memilih Syed Saddiq. Beliau memang bekerja kuat di Muar. Habis sekian anak muda mendapat alat peranti untuk belajar tatkala PKP lepas. Bukan itu sahaja, habis orang tua di Muar berangan untuk bermenantukan Syed Saddiq. Punya beliau ‘perform’ ada yang ada-ada sampaikan iri hati. Persis novel 1515, cuma Syed Saddiq jantan, dan Nyemah itu perempuan.

Kalau orang Melaka boleh pilih YB yang tak jeran dan berbuih sebut BABI BABI BABI, apa sangatlah orang Melaka buat mengada sekali-sekala memilih Syed Saddiq. Sebagai pengundi di Melaka malah saya mendambakan beliau bertanding di kawasan saya. Sementelah Pilihan Raya Negeri Melaka ini kononnya medan menguji Pilihan Raya Umum ke-15, maka eloklah kita adukan tokoh muda untuk melawan tokoh-tokoh bukit pasir. Saddiq boleh memilih Bukit Piatu, Bukit Sebukor, Bukit Katil, atau Bukit Cina untuk memulai kempen.

Dalam politik, perlawanan harus ada lambang-lambang lelakon. Harus ada drama untuk menjadi sedap-sedapan. Ya, memang harapnya tiada bahana Pilihan Raya Negeri ini menjadi penyebab pula kembalinya melonjak kes Covid-19.

Saya menyebut-nyebutkan ini kerana ada satu rekod yang penting untuk kita rujuk. Berdasarkan rekod, jumlah pengundi baharu setengah tahun kedua 2021 (baca: baharu tidak semestinya pengundi muda, tetapi bisa jadi juga) adalah seperti berikut:

Di bawah Parlimen MASJID TANAH, pemilih baharu adalah berjumlah 51,815 orang. Di ALOR GAJAH pula pengundi baharu adalah 70,303 orang. Manakala di bawah parlimen TANGGA BATU jumlah pengundinya 85,067 orang. Pertambahan besar di parlimen HANG TUAH JAYA dengan angka 90,389 orang. Sementara di bawah parlimen KOTA MELAKA adalah sebanyak 125,526 orang. Terakhir di parlimen JASIN adalah 74,429 pengundi. Meskipun kerusi parlimen tidak dipertandingkan, tetapi perubahan gerak dan undi pemilih Dewan Undangan Negeri di bawah enam kerusi parlimen di atas akan mencorakkan mood ketika Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Dengan andaian pengundi-pengundi di atas adalah – kemungkinan – muda, maka bintang muda yang menawan perlu diketengahkan. Untuk itu, kerana tiada Nyemah Mulya, barangkali kalau Syed Saddiq yang turun bertanding di Melaka, akan merubah rentak Dondang Sayang Melaka.

Orang Melaka cuba bayangkan gandingan Adly dan Saddiq, agak-agak siapa yang berpasir?

Dahulu ada satu halaman dalam majalah Gila-Gila yang dinanti oleh saya, judulnya begini: Adegan Yang Ingin Kita Lihat.

Demikianlah dalam politik, kisah ngeri di Melaka. Yang adegan ingin kita lihat, kalau kita semua tidak mati kerana Covid.

(Novel 1515 boleh didapatkan di Gerak Budaya)

Komen