Kalau Hang Tuah Hidup Parlimen Tentu Bersidang Secepat Mungkin

Bukan Hang Tuah sebenar.

Entah mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti fobia untuk membuka parlimen. Suara rakyat mendesak parlimen dibuka, kian lama kian lantang. Anak muda sanggup melakukan demonstrasi dan berbuka puasa di hadapan parlimen yang sudah lama tidak dimasuki Pak Menteri dan Yang Berhormat.

Politik tidak buka parlimen ini sudah sampai kemuncaknya apabila Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu berpandangan kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yasin perlu membuka parlimen secepat mungkin. Ini adalah jawaban yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.

Namun, kerajaan PN pilih untuk ‘bersilat’ dengan memberi keterangan yang larasnya tidak masuk akal. Mereka mendefinisikan ‘secepat mungkin’ itu adalah pada bulan September atau Oktober tahun ini. Ada pula yang tiba-tiba, tanpa ada angin dan ribut, menyalahkan pembangkang dengan mendakwa tekanan membuka parlimen untuk mengambil kuasa Putrajaya.

Segelintir Ahli politik dan rakyat pula mendakwa kerajaan PN sudah menderhaka kerana tidak akur dengan pandangan YDPA dan Raja-Raja Melayu untuk membuka semula persidangan parlimen.

Ironinya, sikap kerjaan PN yang suka mendabik dada, menggelarkan diri mereka pejuang Islam dan institusi Melayu selama ini, sanggup meminggirkan pandangan YDPA dan Raja-Raja Melayu.

Soal patuh dan taat kepada pemerintah bukanlah sesuatu nilai yang asing dalam masyarakat Melayu. Hang Tuah, seperti yang kita sedia maklum adalah seorang pahlawan yang menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan Melaka.

Hang Tuah sanggup menjunjung kasih titah Sultan Mansur Syah untuk bertarung dengan Hang Jebat yang telah menconteng arang di muka baginda dan seluruh rakyat Melaka atas perbuatan gilanya.  Meskipun terdapat pelbagai pandangan yang menyatakan taat setia Hang Tuah itu membuta tuli, namun konteks pemerintahan waktu itu berpaksikan kepada sultan.

Tindakan Hang Tuah sekurang-kurangnya adalah untuk menghalang Hang Jebat daripada membuat amukan gila yang boleh mengorbankan lebih ramai rakyat Kesultanan Melaka dan mengembalikan imej pemerintahan Sultan Mansur Shah yang dicemari fitnah para pembesar untuk menjatuhkan pentadbiran baginda.

Jika Hang Tuah masih hidup, tentu parlimen akan dibuka secepat mungkin atas titah YDPA. Mungkin Hang Tuah akan mendesak Mahiaddin patuh kepada permintaan Sultan dan membuka semula parlimen bagi membincangkan masalah rakyat yang kian terhimpit akibat Covid-19 dan bebanan ekonomi.

Adakah Mahiaddin berani ‘bersilat’ dengan seorang Laksamana Melaka yang taat kepada perintah raja dan cinta akan tanah airnya untuk melengahkan persidangan parlimen?

Ada juga berpandangan Hang Tuan tidak boleh melakukannya kerana Malaysia mengamalkan Raja Berperlembagaan berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang perlu mendapatkan nasihat Perdana Menteri dalam membuat keputusan. Di sini, ia kelihatan Mahiaddin akan menang bersilat dengan Hang Tuah.

Tetapi ia tidak semudah itu. Sebagai seorang Laksamana Melaka yang mahir dalam pelbagai bahasa pada zaman Lingua Franca dan pandai selok-belok pentadbiran, tidak mungkin Hang Tuah gagal memahami keperluan sebuah pentadbiran yang baik untuk rakyat dan negara.

Atas asas itu juga, Hang Tuah akan mempertahankan kedaulatan negara, menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sebagai tiang utama negara.

Maka Hang Tuah akan bertanya kepada kerajaan Mahiaddin, apakah menutup parlimen itu satu kebaikan buat kehidupan rakyat? Apakah makna undang-undang dilaksanakan tetapi rakyat yang terbeban? Apakah rasional meminggirkan pandangan YDPA dan Raja-Raja Melayu sekiranya ia baik untuk rakyat?

Persoalan ini tidak cukup. Kalau Hang Tuah membaca statistik kes positif dan kadar jangkitan Covid-19 yang masih mengganas, tentunya beliau akan mempersoalkan langkah sumbang kerajaan PN  sehingga tewas kepada pandemik dan telah mengorbankan beribu nyawa rakyat.

Hang Tuah mungkin akan memberitahu Mahiaddin “Masuklah ke gelanggan parlimen, betulkan langkah sumbang melawan pandemik dan bekerjasama untuk menambah baik kesejahteraan rakyat”.

Memang benar, Hang Tuan sudah tiada. Cuma, nilai yang ditonjolkan oleh Laksamana Melaka ini boleh menjadi pengajaran buat pemimpin hari ini.

‘Hang Tuah’ sebenar untuk zaman sekarang adalah rakyat. Desakan suara rakyat telah menjadi asbab YDPA dan  Raja-Raja Melayu bermesyuarat untuk mengawal keadaan huru-hara kerajaan PN hari ini. Pandemik telah menyedarkan sebilangan masyarakat akan kepentingan demokrasi berparlimen dalam kehidupan mereka yang sebelum ini menjadi topik ‘sendu’ untuk dibincangkan, khususnya anak muda.

Ramai juga sedar, proses demokrasi hari ini melangkaui peti undi dan ia memerlukan penyertaan aktif dalam memperkukuh sistem demokrasi negara agar ia benar-benar berfungsi untuk rakyat. Sebahagian besar rakyat tidak kira persatuan, NGO, dan individu turun ke lapangan membantu golongan rentan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Malangnya, kerajaan PN yang mempunyai pelbagai peruntukan dan kemudahan tidak mampu membantu rakyat dengan segera dan tepat pada masanya. Itu pun, masih ada segelintir pemimpin PN yang menuding jari kepada rakyat.

Nampaknya, kerajaan PN dan Mahiaddin sudah mati langkah. Pentadbiran mereka yang lemah telah membuka ruang kepada pandemik untuk menyerang ekonomi dan kesejahteraan negara. Daripada bersikap angkuh dan meneruskan langkah sumbang, adalah lebih baik kerajaan PN mengakui kelemahan dan membuka parlimen demi menyelamatkan nyawa rakyat daripada wabak Covid-19.

Komen