Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengumumkan akan memulakan gerak kerja bagi penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Ini berikutan berlakunya penurunan kadar kesuburan di kalangan rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu yang boleh menjejaskan kadar pertumbuhan populasi negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pusat tersebut akan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini serta latihan kepakaran di Malaysia.
“Diikuti tiga orang anak pada tahun 2000, 2.1 orang anak pada tahun 2010 dan terkini hanya 1.6 orang anak pada tahun 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pusat Subfertiliti Negara yang dicadangkan akan dibina di Shah Alam dan bakal menjadi pusat setempat pertama negara yang menawarkan rawatan kesuburan untuk rakyat Malaysia.
Pusat tersebut dijangka akan beroperasi pada tahun 2029 dan berkemungkinan besar pusat yang sama akan dibina di lokasi lain di seluruh negara jika ada permintaan yang tinggi untuk proses rawatan kesuburan serta khidmat kaunseling.