Sudah tiga kali PKP dilaksanakan oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membendung penularan wabak, termasuk darurat yang kononnya untuk menjaga ‘kesihatan’ rakyat, akhirnya membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal apabila kes pandemik masih tidak reda.
Jika dalam bola sepak, seorang pemain yang membuat kesalahan atau terjahan keras berkali-kali akan dilayangkan ‘kad merah’. Maka, kerajaan Muhyiddin Yassin layak mendapat kad merah daripada rakyat kerana sering melakukan kesalahan yang sama berulang kali hingga terjahan flip-flop mereka dalam pengurusan krisis hanya menyakitkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
Terjahan keras kerajaan PN amat teruk sekali. Sistem demokrasi di Malaysia lumpuh sepanjang krisis pandemik. Parlimen dipinggirkan untuk menyemak ketelusan keputusan dibuat kerajaan. Banyak pula kerenah birokrasi dalam melaksanakan Undi 18. Mereka yang mengkritik tadbir urus kerajaan pula dicari sehingga lubang cacing.
Para pelajar dari sekolah rendah sehingga mahasiswa universiti turut terkesan dengan terjahan keras PN. Prosedur operasi standard (SOP) pendidikan yang sering bertukar pada saat akhir cukup menyusahkan. Bantuan komputer riba dijanjikan PN masih lagi tidak kelihatan.
Boleh dikatakan kesalahan kerajaan PN ini boleh membuatkan kecederaan teruk sehingga rakyat sudah penat dan patah hati untuk berhadapan dengan sikap buruk pemimpin kerajaan yang menjadi punca COVID-19 kian menjadi-jadi.
Hakikatnya, rakyat cukup faham kepentingan melaksanakan PKP untuk mengekang COVID-19. Namun, apa yang membuatkan mereka marah adalah sikap dua darjat kerajaan yang banyak menghukum rakyat. Pemimpin atasan dan selebriti pula seolah-olah kebal boleh ke sana ke sini jika melanggar SOP. Situasi negara sudah tenat. Semakin ramai menteri yang hilang rasa peduli terhadap pandangan rakyat berbanding membuat percaturan politik bagi meneruskan hayat PN di Putrajaya.
Siapa yang lebih terkesan dengan kelemahan pentadbiran sebegini kalau bukan rakyat sendiri?
Agak janggal untuk kerajaan PN menggunakan alasan jika PKP 3.0 tidak dilaksanakan, situasi pandemik Malaysia akan menjadi bertambah buruk seperti India dengan peningkatan 10,000 kes sehari.Soalnya, mengapa tidak dilakukan perancangan kesihatan dan analisis awal agar kes pandemik di Malaysia terkawal? Mengapa tidak menjadikan negara yang berjaya mengawal pandemik seperti New Zealand dan Taiwan sebagai contoh untuk mengatasi COVID-19?
Jawapannya mudah, kerana kerajaan PN dan seluruh jenteranya bersikap angkuh dan keras kepala. Sikap berlagak kerajaan PN yang kononnya mengetahui semua perkara terbaik buat rakyat akhirnya telah meranapkan peluang menambah baik ekonomi rakyat selepas PKP 1.0 dan 2.0. Bahkan, darurat yang berobjektif usaha mengekang penularan wabak ternyata gagal selepas kes positif COVID-19 menjadi lebih kritikal hari ini.
PKP 3.0 akan menyaksikan rakyat terpaksa survive dan bertahan sedaya mungkin. Kerajaan PN dikhabarkan tidak cukup wang untuk membantu rakyat. Kadar pengangguran, gaji dipotong dan kerugian peniaga kecil nampaknya akan menjadi isu besar semula apabila PKP 3.0 dilaksanakan kerana segala bantuan mahupun moratorium belum diumumkan lagi.
Kali ini, pengumuman PKP 3.0 untuk seluruh negara hanya melalui hantaran ‘PDF’ bukan lagi perutusan khas Perdana Menteri di kaca TV. Mungkin, kerana takut akan kemarahan rakyat, pengumuman penting seperti ini bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan buat Muhyiddin Yassin, khususnya menjelang lebaran tidak lama lagi.
Sepatutnya, apabila kerajaan PN dikenakan ‘kad merah’, mereka perlu keluar dari Putrajaya atau digantung perkhidmatannya. Tetapi, akibat COVID-19 dan kuasa yang begitu luas diberikan kepada Muhyiddin Yassin, pasukan PN didakwa menukar peraturan sesuka hati untuk memastikan mereka terus kekal dan terus menekan kehidupan rakyat.
Penyakit kronik PN ini tidak boleh divaksin lagi. Rakyat memerlukan sebuah kepimpinan yang benar-benar berfungsi, menggunakan sains dan fakta untuk memastikan kehidupan rakyat dan keadaan ekonomi negara kembali pulih serta berdaya tahan. Semua pihak sudah tidak berdaya lagi menampung kelemahan pentadbiran PN yang hanya menemui kegagalan sepanjang masa.
Lebih baik PN mula menunjukkan komitmen sebagai kerajaan bertanggungjawab dengan membenarkan parlimen bersidang demi membahaskan isu-isu rakyat dan perancangan kesihatan yang lebih baik untuk kepentingan negara.
Sikap angkuh dan keras kepala PN hanya akan meletakkan negara berhadapan musibah yang lebih besar. Jika PN meminggirkan suara rakyat sekalipun, sekurang-kurangnya rujuklah pandangan pakar kesihatan, pemegang taruh dan ahli parlimen untuk membetulkan kesalahan yang amat kronik ini.
Persoalannya, berapa lama lagi rakyat boleh bertahan dengan terjahan keras kerajaan PN?

Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.