27 Ogos 2021 merupakan satu detik bersejarah terbaru bagi Malaysia di mana hari ini secara rasminya YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinet terbaharu kerajaan Malaysia bagi memimpin dalam mendepani beberapa kemelut utama negara seperti isu ekonomi dan juga kesihatan. Harapan seluruh rakyat Malaysia terhadap pengumuman kabinet ini besar dimana kita mengharapkan muka-muka yang lebih berkompetensi diketengahkan bagi memastikan Malaysia dapat mengatasi isu-isu dan kemelut di negara ini dengan baik.
Perasaan Bercampur Baur Sejurus Pengumuman Barisan Jemaah Menteri
Dalam jam 11.00 pagi satu persatu barisan jemaah menteri mula diumumkan dimana seluruh rakyat Malaysia menantikan tokoh-tokoh yang bakal diketengahkan oleh YAB perdana menteri. Sejurus nama pertama diumumkan iaitu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diangkat sebagai Menteri Kanan juga merangkap sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ianya telah menimbulkan pelbagai persoalan yang melibatkan kredibiliti beliau sebagai seorang menteri. Hal ini adalah kerana rekod prestasi lampau beliau sebagai menteri di kementerian yang sama menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan ketika pandemik Covid-19 ini berlaku. Dengan perlantikan beliau untuk kali kedua ianya menimbulkan keraguan dikalangan rakyat Malaysia sejauh manakah beliau mampu menepis serta mengubah situasi yang berlaku pada ketika ini di dalam kementerian yang sama, adakah konsep serupa akan dibawa ataupun pembaharuan akan dilakukan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga merupakan anak kepada mantan perdana menteri Malaysia yang ketiga iaitu allahyarham Tun Hussein Onn diangkat sebagai Menteri Kanan kedua yang mana beliau juga memegang portfolio selaku Menteri Pertahanan. Berbeza situasi dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dimana Datuk Seri Hishamuddin lebih mendapat reaksi positif dikalangan masyarakat dimana ketika era kerajaan Perikatan Nasional dibawah kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin beliau dilihat menjalankan tugasnya dengan baik dan cemerlang. Antara kejayaan beliau selaku menteri luar negeri pada ketika itu adalah berjaya mendapatkan bekalan vaksin tambahan daripada beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, China dan juga Jepun. Selain itu, beliau juga berjaya meyakinkan beberapa buah negara seperti India dan China untuk kembali mendapatkan bekalan minyak sawit mentah Malaysia sekaligus meningkatkan semula harga pasaran komoditi tersebut setelah berlaku penurunan yang mendadak sekitar tahun 2018 hingga 2019 akibat tindakan boikot daripada Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain seperti India. Namun dalam pada reaksi positif itu, kembalinya beliau ke Kementerian Pertahanan selepas kali terakhir berkhidmat di kementerian yang sama sekitar tahun 2018, ianya telah menerbitkan kembali persoalan berkenaan dengan pembelian helikopter jenis MD 530G yang mengambil masa yang agak lama untuk diterima oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Seterusnya pengumuman barisan jemaah menteri yang lain dilihat merupakan muka-muka lama yang pernah menjawat jawatan sebagai menteri sama ada ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), mahupun Perikatan Nasional (PN). Dalam keadaan isu ekonomi dan kesihatan yang meruncing ketika ini, ada yang berpendapat perlantikan barisan jemaah menteri yang berpengalaman diperlukan bagi memastikan kemelut-kemelut utama ini dapat diatasi dan diselesaikan dengan segera. Tidak kurang juga pandangan yang mengatakan muka-muka baharu perlu ditonjolkan untuk memberi idea-idea yang lebih segar kepada kepimpinan negara dalam mendepani isu-isu ini.
Nama Pemimpin Politik Berkompeten Dan Reputasi Tinggi Tidak Muncul Dalam Senarai Kementerian
Di sebalik pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, ramai di kalangan rakyat Malaysia menantikan beberapa nama tokoh yang sesuai untuk diangkat sebagai barisan jemaah menteri kali ini antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Shahril Hamdan dan Khairil Nizam Khiruddin, serta Ahmad Fadhli Shaari. Namun nama-nama pemimpin politik ini tidak diangkat sekaligus mendatangkan seribu rasa kecewa di kalangan rakyat. Lebih mengecewakan nama-nama menteri yang kurang memberi impak berkesan sebelum ini seperti Wan Ahmad Fayhsal atau Muslimin Yahya diangkat semula ke barisan jemaah menteri kali ini.
100 Hari Penanda Aras Pertama Kepada Kredibiliti Menteri Yang Dilantik
YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menetapkan tempoh 100 hari pertama sebagai satu bentuk penanda aras bagi menilai prestasi awal setiap kementerian. Oleh itu, di sebalik kekecewaan dan pelbagai perasaan lain yang timbul di kalangan rakyat Malaysia, kita harus melihat tempoh masa ke depan atau lebih tepatnya 100 hari ke depan untuk membuat penilaian awal sejauh manakah kredibiliti yang ditonjolkan oleh ahli-ahli yang berhormat di setiap kementerian. Tempoh 100 hari pertama ini merupakan satu detik penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat serta meletakkan Malaysia kembali berada di landasan sebenar.
Akhir kalam, tahniah diucapkan kepada barisan kementerian yang dilantik. Semoga perlantikan ini memberi 1,001 hikmah di sebalik apa yang berlaku pada ketika ini.
Selamat menjalankan tugas dengan baik dan amanah.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Ifirdaus Ithanin dan pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.