Jumaat Yang Menggerunkan Perdana Menteri

Setiap tahun, pembentangan belanjawan negara amat dinanti-nantikan oleh rakyat. Ucapan belanjawan Menteri Kewangan sungguh menyelerakan, ditaburnya segala gula-gula dari segi bantuan sara hidup, program pendidikan dan kesihatan, sehingga peruntukan untuk membangunkan kawasan desa yang bertahun-tahun serba-serbi ketinggalan.

Ucapan belanjawan secara tradisinya akan dibentangkan pada salah satu hari Jumaat di antara bulan Oktober dan November. Ia satu-satunya hari Jumaat yang mempunyai persidangan parlimen dalam setahun dan bermula setengah hari.

Hakikatnya, rakyat akan berada di depan televisyen, menonton ucapan tersebut yang mengambil masa lebih dua jam. Ucapan penuh retorik dengan naratif politik untuk menunjukkan sudut baik kerajaan. Masa ini juga, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memegang beg sulit mengandungi dokumen belanjawan, menuju ke parlimen dengan begitu bangga.

Tetapi, Jumaat, 6 November 2020 tentunya saat yang ditunggu-tunggu rakyat. Tetapi juga, inilah Jumaat yang ‘menggerunkan’ Perdana Menteri kerana ia akan menentukan hayat kerajaannya, sama ada bertahan atau tumbang di parlimen.

Selepas Ucapan Belanjawan 2021 dibentang, Muhyiddin tidak boleh berpatah balik dan melarikan diri daripada tekanan ahli parlimen. Setiap undian begitu penting nilainya buat Muhyiddin dan kerajaan PN tidak boleh tewas.

Serangan Dalaman Ancaman Sebenar

Kecurangan Muhyiddin dan jemaah menterinya mengendalikan gelombang kedua Covid-19 telah membuka mata dan minda rakyat betapa angkuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN). SOP dilanggar sesuka hati pemimpin kerajaan yang ‘kebal’ dengan undang-undang. Mereka juga punca kerajaan Sabah jatuh dan kini merana akibat penularan Covid-19 yang kian membimbangkan.

Maka, Belanjawan 2021 dijadikan platform untuk menghantar mesej penolakan seluruh negara terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Setiap peruntukan bagi 28 kementerian dan empat portfolio di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu diundi oleh ahli parlimen dan ia undi yang akan menentukan masa depan Perdana Menteri. Dengan sokongan majoriti tipis di parlimen, Muhyiddin akan berhadapan dengan pelbagai tekanan untuk meluluskan belanjawan.

Kali ini, pembangkang bukanlah ancaman sebenar, tetapi ahli parlimen Perikatan Nasional yang berkecamuk dan sedang berpecah. Muhyiddin ada sokongan 113 orang ahli parlimen PN jika dibandingkan 109 orang ahli parlimen pembangkang. Jika lima orang daripada wakil rakyat PN tidak hadir atau menolak Belanjawan 2021, maka Muhyiddin hilang kepercayaan parlimen menjadi Perdana Menteri.

Bagi mengelak masalah ini, terdapat menteri bijak pandai ‘membisik’ ke telinga Perdana Menteri untuk memohon kepada Yang Di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Propaganda giat dilakukan untuk mengelirukan rakyat bahawa ini hanya darurat politik, yakni darurat yang tidak pernah wujud dalam perlembagaan persekutuan. Akhirnya, kelicikan jemaah menteri Muhyiddin ditolak pihak Istana yang masih menjunjung semangat demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.

Hubungan Kurang Baik Dengan Parlimen

Menyingkap ketakutan Muhyiddin kepada Belanjawan 2021, pihak pembangkang dan masyarakat sivil memberi buah fikiran agar Muhyiddin melakukan konsensus nasional bersama ahli parlimen pembangkang untuk memastikan Belanjawan 2021 berjaya diluluskan tanpa halangan yang sukar. Sebagai balasannya, Muhyiddin memberi peluang kepada pembangkang mengemukakan cadangan dalam Belanjawan 2021.

Cadangan ini sungguh indah dari sudut konsep, tetapi realiti politik Malaysia tidak sepertimana yang kita duga. Sejak hari pertama Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, ketakutan beliau terhadap parlimen sudah terserlah.

Parlimen telah ‘dipinggirkan’ oleh kerajaan Muhyiddin dalam membahas dan meluluskan pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 kian memuncak dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat. Cadangan untuk mengadakan sidang parlimen secara maya ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Speaker Dewan Rakyat pula ditukar kepada individu yang cenderung memihak kepada kerajaan PN bagi mengelak percaturan politik di parlimen, khususnya undi tidak percaya. Azhar Harun pula secara terang-terangan menjadi Menteri Tambahan ketika membantu Tengku Zafrul ditekan ahli parlimen. Akhirnya, parlimen kembali pada zaman gelapnya sewaktu Barisan Nasional memerintah.

Dengan hubungan Perdana Menteri yang kurang baik dengan institusi parlimen, apakah peluang yang ada bagi ahli parlimen memberi jaminan menyokong Belanjawan 2021?

Perlu Bersikap Negarawan

Menjelang Belanjawan 2021, Muhyiddin perlu bertindak demi kepentingan rakyat, mengendurkan keangkuhan dan menunjukkan sikap seorang negarawan, bekerjasama dengan ahli parlimen pembangkang untuk meluluskan belanjawan yang begitu mustahak. Apa yang penting, belanjawan ini memberi peluang kepada kerajaan PN membuktikan mereka jujur dalam membawa agenda rakyat selepas kecundang dalam menguruskan krisis dan memunjukkan teladan yang buruk kepada rakyat.

Namun, semuanya terletak kepada Perdana Menteri sendiri. Jika gagal meluluskan belanjawan, bukan Perdana Menteri sahaja hilang kuasa, tetapi Malaysia juga berhadapan dengan ‘Government Shutdown’ yang boleh mengganggu ekonomi dan pentadbiran negara.

Situasi politik hari ini telah memberi petanda bahawa zaman Perdana Menteri selesa ketika membentangkan belanjawan negara sudah berakhir. Kematangan demokrasi di negara ini kian ke hadapan dan Perdana Menteri tidak boleh terlepas daripada ujian sokongan di parlimen. Perdana Menteri bukan sahaja perlu menjaga jemaah menteri, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menjaga hubungan dengan parlimen bagi meneruskan mandat memerintah negara.

Komen