Jual Rumah Ke China Dan Hong Kong – Apa Perlu Kita Fahami?

Malaysia sebenarnya sudah lama menjual rumah kepada warga asing. Rata-rata jualan rumah ini berlaku melalui dua cara, jualan terus atau jualan melalui program Malaysia My Second Home (MM2H). Keterbukaan kerajaan dalam hal ini membolehkan warga asing membeli rumah di Malaysia sejak sekian lama.

Namun penjualan rumah kepada warga asing ini bukanlah berlaku dengan sewenangnya. Ada kadar harga minimum yang ditetapkan untuk warga asing membeli rumah dan kadar ini tertakluk mengikut negeri (kerana dalam negara persekutuan, tanah adalah milik negeri dan kerajaan persekutuan pula hanya berkuasa ke atas tanah di tiga wilayah miliknya).

Sebagai contoh, di Selangor kadar harga minimum rumah yang boleh dibeli warga asing adalah RM2 juta atau RM1 juta mengikut zon. Di Perlis atau Sarawak pula, harga minimum yang ditetapkan adalah RM500,000 sahaja. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, hanya rumah bernilai lebih RM1 juta sahaja layak dibeli oleh warga asing.

Pun begitu, warga asing yang berminat membeli rumah di Malaysia juga mempunyai pilihan lain iaitu dengan cara membeli di bawah program MM2H. Melalui MM2H, kadar harga minimum rumah yang boleh dibeli warga asing adalah lebih rendah. Namun ia masih tertakluk mengikut negeri. Sebagai contoh di Perak, warga asing boleh membeli rumah berharga minimum RM350,000 melalui MM2H berbanding RM1 juta jika tanpa MM2H. Tetapi di Selangor, kadar harga minimum tidak berubah baik melalui MM2H atau tidak. Sekali lagi, peraturan ini berubah mengikut ketetapan kerajaan negeri.

Walaupun warga asing boleh membeli rumah pada harga lebih rendah melalui program MM2H, masih ada beberapa syarat yang perlu mereka penuhi untuk layak menyertai program MM2H. Antaranya, wajib ada bukti pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan dan aset cair sebanyak RM500,000 (RM350,000 untuk pemohon berusia lebih 50 tahun). Pemohon MM2H yang lulus juga dikehendaki membuka akaun simpanan tetap di bank tempatan berjumlah RM300,000 (RM150,000 untuk pemohon berusia 50 tahun). Penuhi semua syarat oni, barulah layak sertai MM2H dan dapat visa 10 tahun.

Harus diingat juga, selain kadar harga minimum yang ditetapkan, ada beberapa syarat lain untuk sesebuah rumah boleh dijual kepada warga asing. Antaranya adalah rumah tersebut tidak boleh dibina di atas Tanah Rizab Melayu, bukan rumah kos rendah atau sederhana seperti ditetapkan oleh kerajaan negeri dan bukan rumah yang tertakluk di bawah kuota Bumiputera.

Beralih kepada cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu menjual rumah mewah kepada pembeli dari China dan Hong Kong, kita kena faham jika rancangan itu mengikut garis panduan sedia ada yang ditetapkan, tidak ada salahnya. Baik melalui jualan secara terus atau di bawah program MM2H.

Kita juga wajib faham, rumah mewah atau kos tinggi yang tidak terjual ini bukannya semua baru siap semalam atau sebulan sudah. Ada yang sudah siap lama sebelum PRU14 dan tidak terjual sehingga kini. Pemaju yang bina rumah pun pinjam duit bank dan berisiko tidak dapat membayar pinjaman jika rumah tersebut gagal dijual.

Jadi jika kita yang berada dalam kasut YB Zuraida, apakah tindakan kita? Nak bantu pemaju jual rumah dengan mengadakan promosi dan kempen atau nak buat bodoh semata? Atau nak paksa pemaju jual pada harga lebih murah dan berdepan risiko kerugian serta kegagalan membayar pinjaman bank? Adakah menghukum pemaju yang ghairah membina rumah mewah selama ini sesuatu yang patut dilakukan oleh seorang menteri?

Ya, aku yakin sebagai golongan marhaen ramai antara kita yang lagi suka tengok pemaju melingkup sebagai hukuman kerana suka sangat buat dan jual rumah harga Yahudi Zionis. Barulah betul lawan kapitalisme, kan?

Malangnya, pemaju kapitalis ini juga sebahagian dari ekonomi negara. Lingkup mereka bermakna lingkuplah juga syarikat tempat ribuan rakyat Malaysia makan gaji. Lingkup mereka juga bermakna lingkup jugalah bank yang memberikan pinjaman kepada pemaju dan secara tidak langsung menjejaskan ribuan pekerja bank yang makan gaji tadi. Dan kita belum lagi bercakap hal pembekal bahan binaan, kontraktor binaan dan entah apa lagi yang ada dalam ekosistem industri perumahan.

Seorang menteri seperti Zuraida, dia perlu buat kerja untuk selesaikan masalah ini. Bukan dengan menghukum tapi dengan membetulkan kesilapan lalu. Aku tahu ramai yang memekik suruh kerajaan sekat pemaju dari asyik membina rumah mewah. Ada benarnya dan aku berharap kerajaan hari ini belajar dari kesilapan kerajaan dahulu yang memberikan kebebasan penuh kepada pemaju untuk membina rumah mewah sewenangnya sehingga melebihi permintaan. Tapi macam aku cakap tadi, sebelum kita betulkan sistem ini kita perlu selesaikan masalah terdahulu yang membelenggu sistem.

Namun walaupun sudah dijelaskan aku yakin masih ramai yang tak puas hati, kenapa mesti warga China dan Hong Kong? Orang Arab tak ada ke, kan lagi bagus jual pada warga asing yang seagama dengan ketuanan Melayu Islam? Adakah ini semua agenda DAP untuk menjual negara?

Aku rasa jawapan untuk persoalan ini terkandung pada data peserta MM2H sejak dari 2012 hingga 2018. Aku tak ada data pembeli rumah warga asing secara keseluruhan, jadi kita guna data MM2H. Dan ikut rekod sejak 2002 hingga 2018, warga asing dari China adalah yang paling ramai menyertai MM2H dengan jumlah 12,881 peserta. Hong Kong pula pada kedudukan ke-9 paling ramai, 1,087 peserta. Dalam 10 negara dengan peserta MM2H paling ramai, tidak ada satu pun negara Arab tersenarai. Yang paling hampir dengan Timur Tengah pun sebenarnya Iran (1,399 peserta), dan mereka bukan Arab tapi Parsi dan rata-rata adalah Syiah. Antara negara lain peserta MM2H tertinggi adalah Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Bangladesh (ya, jangan ingat semua Bangladesh miskin-miskin).

Pak Arab yang kau berharap nak sertai MM2H dan beli rumah mewah di keliling KLCC, kirim salam sajalah. Mereka bukan kaya pun sebenarnya, ekonomi negara mereka sekadar berharap pada minyak dan gas. Kalau betul kaya pun mereka lebih suka beli rumah di Eropah, ada salji, ada kasino dan tak ada rempit. Yang datang Malaysia kebanyakan jenis Arab buat hal, pandu kereta sampai langgar orang dan sebagainya.

Tapi apa faedahnya pada negara MM2H ini? Rumah mewah habis kena bolot dengan warga asing dan mereka sedap-sedap duduk Malaysia macam negara sendiri. Dah lah orang China pula tu, kata kau yang masih tak puas hati.

Aku sandarkan jawapan faedah MM2H ini kepada penjelasan yang pernah diberikan oleh mantan Menteri Pelancongan era kerajaan dahulu, Nazri Aziz. Katanya dalam satu temubual akhbar pada tahun 2017, sumbangan program MM2H kepada ekonomi Malaysia adalah sebanyak RM12.8 bilion. Kutipan yuran visa sahaja mencecah RM52 juta, simpanan tetap sebanyak RM4.9 bilion, pembelian kenderaan berjumlah RM148 juta dan perbelanjaan poket bulanan setiap peserta adalah RM10,000. Itu belum masuk lagi dengan pembelian rumah mewah berjumlah RM4.9 bilion.

Ya, rumah mewah berjumlah RM4.9 bilion terjual melalui program MM2H. Itu belum masuk lagi dengan jualan terus kepada warga asing. Dan inilah yang Zuraida selaku menteri perumahan perlu selesaikan terlebih dahulu, memastikan rumah mewah yang tidak laku dapat dijual kepada warga asing. Solusi paling berkesan pastilah tumpu jualan kepada kelompok pembeli utama iaitu warga China, bukan Pak Arab yang entah berapa kerat je pernah sertai MM2H dan pastinya bukan kita rakyat Malaysia yang rata-rata tidak mampu.

Tapi kita berharap, selepas selesai isu lambakan rumah mewah tidak terjual ini, KPKT selaku kementerian yang bertanggungjawab dan kerajaan PH akan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan polisi perumahan yang lebih memihak kepada keperluan rakyat Malaysia. Bukannya kepada pemaju dan sebagainya.

Kerana pada penghujung hari keperluan perumahan rakyat Malaysia adalah jauh lebih penting kerana kita tidak mahu menjadi sebuah negara yang ghairah membina rumah mewah untuk dijual kepada warga asing sedangkan rakyat sendiri menjadi gelandangan.

Komen