Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia termasuk di negara kita. Bilangan penyokong dan peminat bola sepak boleh dikatakan bertambah pada setiap hari dan kita boleh lihat pelbagai gelagat para peminat fanatik bola sepak tempatan ketika pasukan negara mahupun negeri dan kelab mereka beraksi. Jadi adalah suatu yang cukup menyedihkan apabila kancah bola sepak tempatan dilaporkan sudah mula terpalit dan tercemar dengan insiden perkauman atau rasisme. Ironinya bola sepak melangkaui agama, bangsa, negara dan juga warna kulit, jadi kenapa isu seperti ini boleh mewarnai bola sepak di negara kita?
Dunia bola sepak tanah air dikejutkan apabila baru-baru ini jurulatih Liga Super Selangor, B. Sathianathan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Sathia terpaksa dan nekad untuk mengambil tindakan seperti ini kerana dilaporkan semakin kerap dihina dan diugut dalam media sosial oleh netizen. Misalnya, selepas perlawanan antara Selangor dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini para peminat yang tidak berpuas hati mula mengeluarkan pelbagai kenyataan berbentuk penghinaan dan berbaur perkauman. Antaranya, netizen dikatakan menyalahkan Sathia kerana menurunkan pemain ‘keling’. Ada juga yang dikatakan memakinya menggunakan perkataan ‘anjing dan keling’. Malah lebih dasyat lagi apabila Sathia turut dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Jelas ini tindakan yang cukup melampaui batas dan tidak boleh diterima sama sekali. Penulis secara peribadi amat terkejut dengan sikap dan tingkah laku para peminat seperti ini.
Ironinya adat bermain bola sepak mahupun apa jua sukan sekalipun, menang atau kalah adalah sesuatu yang sangat lumrah, tidak mungkin kita akan menang selama-lamanya atau dalam setiap permainan. Malah kemenangan pula sangat berhubungkait dengan gabungan taktikal jurulatih dan sejauhmana para pemain dapat menterjemahkannya di atas padang. Justeru menyalahkan jurulatih semata-mata serta mempertikai tindakan jurulatih menurunkan seseorang pemain itu adalah sangat tidak adil dan wajar. Malah dalam konteks pemain berbilang agama dan bangsa ini, jangan lupa sejarah kegemilangan bola sepak negara ini pernah dilakar oleh pemain-pemain bukan melayu yang cukup hebat dan terus disanjung sehingga kini seperti, Santokh Singh, Soh Chin Aun, James Wong, R. Arumugam, M. Chandran dan ramai lagi. Jadi penulis cukup kecewa apabila boleh ada peminat yang berfikiran begitu kolot dan sempit sehingga mengaitkan perkauman dengan bola sepak di negara kita.
Hakikatnya, sukan bola sepak membabitkan aspek seni dan kemahiran yang mampu memukau hati jutaan peminat, dan percayalah para peminat sejati tidak pernah melihat kaum, agama atau warna kulit pemain yang memperagakan seni dan kemahiran yang hebat itu. Semua akan memberikan sokongan yang padu asalkan para pemain dapat bermain dengan cantik, boleh menjaringkan gol, serta menyumbang kepada kemenangan pasukan. Dalam konteks ini harus diingat bola sepak adalah sukan yang membabitkan kerja berpasukan. Sehebat mana seorang pemain itu sekalipun jika tidak mendapat bantuan dari rakan sepasukan yang lain, tidak mungkin pasukan tersebut mampu meraih kemenangan.
Satu perkara yang sangat unik tentang bidang sukan terutamanya bola sepak ialah, ianya boleh menjadi platform yang terbaik untuk memupuk dan memperkukuh perpaduan antara kaum di negara kita. Buktinya setiap kali pasukan kebangsaan beraksi pasti kita dapat melihat gelagat dan reaksi bersemangat para peminat tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit yang dengan bangganya memakai baju yang sama, mengibarkan Jalur Gemilang, sama-sama berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat serta sentiasa memberikan sokongan dan motivasi kepada pemain. Mereka tidak menyokong atau melihat pemain sebagai individu sebaliknya menyokong keseluruhan pasukan sebagai pasukan kebangsaan.
Oleh itu perbuatan mencemari bola sepak dengan unsur perkauman amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali. Kita berharap pihak berkuasa akan memandang serius isu ini kerana khuatir jika dibiarkan akan merebak dan menjadi satu wabak yang sukar dikawal kelak. Oleh itu, siasat hingga ke akar umbi dan bawa dalang yang memulakan isu ini ke muka pengadilan dengan segera. Kita risau jika keadaan berterusan ianya boleh menghancurkan sukan bola sepak itu sendiri.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua peminat bola sepak untuk menjaga dan memelihara kesucian dan kehebatan sukan bola sepak ini. Kawal emosi dan perasaan, jangan mudah mencetuskan provokasi terutamanya membabitkan perkauman. Menang atau kalah adalah perkara biasa, sebagai peminat setia kita perlu membuktikan kesetiaan kita dengan terus memberi dorongan dan sokongan kepada jurulatih dan pemain baik ketika menang mahupun ketika kalah. Jangan hanya tahu sokong ketika menang, tetapi mengeji dan marah bila kalah. Itu bukan ciri dan kualiti peminat yang profesional dan setia. Dalam konteks ini, penulis ingin mengesyorkan agar kita ambil saja semangat fanatik para peminat pasukan Liverpool yang begitu setia menyokong selama hampir 30 tahun walaupun prestasi terumbang ambing serta gagal meraih kemenangan liga dan akhirnya musim ini mereka berada di ambang kejuaraan. Sudah tentu situasi ini cukup manis kepada semua peminat setia Liverpool kerana segala penantian mereka akhirnya bakal berakhir tidak lama lagi.
Semoga Sathia dan para pemainnya akan cekal dan tidak berputus asa berhadapan dengan musuh dalam selimut seperti ini. Teruslah menghiburkan kami dengan seni bola sepak yang memukau, pedulikan segelintir yang tidak bertanggungjawab. Kita merayu agar para peminat dan netizen janganlah terus mencemarkan bola sepak dengan unsur perkauman seperti ini. Katakan tidak kepada rasisme dalam sukan, majulah sukan untuk negara.

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).