Sejujurnya saya tidak kenal siapa Iswardy Morni dan tidak pernah mengikuti beliau. Hanya bila pecah berita tentng beliau akan ditangkap atas pertuduhan menghina Yang Di Pertuan Agong (YDPA), barulah saya mengetahui nama Iswardy Morni dan apa yang telah dituturkan beliau hingga menjadi buruan polis.
Apa yang dibangkitkan oleh Iswardy Morni dalam video beliau adalah persoalan mudah. Iswardy melontarkan persoalan kepada YDPA dengan merayu campur tangan istana dalam krisis kesihatan yang melanda Malaysia kini. Suara Iswardy walaupun keluar dari mulutnya sendiri ia bagaimanapun boleh diterjemahkan suara rakyat terbawah. Rakyat yang tertekan akibat krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang menyusul tapi pada masa yang sama sudah hilang keyakinan atau berhenti berharap pada kerajaan yang memerintah.
Apabila tiada lagi harapan yang boleh diletakkan pada kerajaan, maka rakyat akan mencari alternatif lain untuk menyampaikan luahan hati mereka. Lazimnya pilihan selepas kerajaan adalah untuk berharap pada pihak pembangkang. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalakan di Malaysia, rasa tidak puas hati rakyat yang disalurkan kepada pihak pembangkang boleh dibawa ke parlimen untuk dibahaskan. Pihak pembangkang boleh menekan kerajaan dalam Dewan Rakyat untuk mendengar keluh kesah rakyat dan menjadi sebahagian dari instrumen semak dan imbang bagi memastikan kerajaan mendahulukan rakyat.
Namun, dengan penguatkuasaan Darurat fungsi parlimen telah digantung. Dewan Rakyat tidak lagi bersidang dan pihak pembangkang tidak berpeluang untuk memperbahaskan situasi pandemik dalam negara serta keperitan rakyat terbawah. Tidak ada ruang untuk pembangkang mewakili suara rakyat dan menekan kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib rakyat.
Jelas, rakyat telah kehilangan satu pilihan. Dan dalam keadaan terdesak ini kita melihat kepada institusi Raja Berperlembagaan yang juga merupakan salah satu dari sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia. Ia adalah satu-satunya pilihan yang ada apabila parlimen digantung dan pembangkang sendiri tidak boleh menekan kerajaan seperti sepatutnya.
Justeru pilihan akhir buat rakyat adalah untuk menyuarakan keresahan mereka kepada YDPA selaku ketua negara. Apatah lagi dengan proklamasi Darurat dan parlimen yang digantung, YDPA dilihat sebagai pilihan terbaik untuk rakyat mengadu dan mengharapkan tekanan atau teguran dapat disampaikan kepada kerajaan yang sepertinya sudah pekak tuli kepada keluhan rakyat.
Harus diakui situasi pandemik Covid-19 di Malaysia semakin meruncing. Jika kita lihat pada angka-angka yang ada, lebih banyak kes dan lebih banyak kematian berlaku dalam tahun 2021 berbanding tahun 2020. Ia jelas menunjukkan selepas setahun bertarung melawan Covid-19, keadaan adalah jauh lebih teruk berbanding di peringkat awal dahulu. Ia manifestasi bahawa kerajaan sedia ada gagal dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Memburukkan lagi krisis kesihatan ini adalah krisis ekonomi yang turut berlaku. Keadaan yang tidak menentu, pelaksanaan PKP, PKPP, PKPBatau PKPD yang mengelirukan dan kini disertai pula dengan istilah Total Lockdown telah menjejaskan banyak perniagaan dan pekerjaan rakyat. Penyudahnya rakyat bukan sahaja berdepan ancaman kesihatan, tetapi juga ancaman ekonomi yang menjadikan kesusahan hidup rakyat semakin berlipat ganda.
Di sinilah individu seperti Iswardy Morni memilih untuk bersuara. Dan ketiadaan parlimen serta kelumpuhan pembangkang untuk melakukan semak dan imbang memaksa Iswardy seperti kebanyakan rakyat lain, memilih untuk mengadu kepada YDPA. Apa yang disampaikan Iswardy bukanlah kritikan atau penghinaan, tapi lebih bersifat teguran dan tagihan perhatian agar pintu istana dibuka dan institusi raja bertindak untuk menegur kerajaan yang buta dan pekak tuli.
Mungkin, ada kelemahan dalam cara Iswardy meluahkan kekecewaannya. Mungkin, ada tutur kata yang melampau dari mulut beliau hingga ia digelar tidak sopan atau tidak beradab. Tetapi perlu juga ia dinilai dari konteks situasi semasa.
Situasi yang telah dijelaskan sebelum ini iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang mengancam rakyat terbawah. Rakyat kini tertekan, hidup diancam virus Covid-19, mahu vaksin tetapi giliran masih juga belum tiba, mahu bekerja terpaksa merisikokan diri bertarung nyawa dalam pandemik, mahu diam di rumah siapa pula yang mahu mengisi perut kosong?
Rasanya, sejak Merdeka belum pernah rakyat berdepan situasi getir begini.
Maka di saat kerajaan sudah buta dan pekak sedang pembangkang lumpuh kerana tiada parlimen, satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk mengetuk pintu istana dan mengadu kepada raja.
Tapi tidak ramai rakyat yang berani mengetuk pintu istana dan bersuara. Kecuali Iswardy Morni.
Namun, ketika Iswardy berani bersuara dia pula dicekup dan dipasung. Beliau akhirnya dituduh menghina hanya kerana beliau berani bersuara.
Maka kini rakyat kembali bertanya, pada siapakah kami boleh mengadu nasib?
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.