INTIPATI PIDATO PMX DI SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR OIC

Baru-baru ini telah diadakan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi untuk membincangkan kemelut isu Palestin dan Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir menyertai sidang kemuncak tergempar tersebut untuk menyatakan pendirian negara berkenaan konflik di Gaza.

Pidato disampaikan oleh PMX antaranya mengecam Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa susulan pengeboman ke atas hospital dan rumah ibadat.

PMX juga mengecam elit politik Barat yang dilihat bersikap berat sebelah terhadap Palestin sebaliknya lebih memihak kepada rejim Zionis.

Negara Barat yang kononnya mengamalkan demokrasi dilihat bersikap autokratik bila berdepan dengan demonstrasi pro-Palestin.

PMX memohon agar semua negara OIC menggunakan saluran diplomatik untuk memberikan tekanan ke atas Israel agar gencatan senjata diadakan dan pintu sempadan dibuka untuk bantuan kemanusiaan.

PMX juga menggesa Israel untuk menghentikan pembukaan penempatan haram di Tebing Barat yang merampas hak-hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri.

Pada masa sama, Inisiatif Keamanan Arab yang mendukung solusi dua negara dan pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat mengikut sempadan pra-1967 juga mendapat sokongan dari PMX.

Akhir sekali, PMX menegaskan perlunya kebebasan bersuara bagi menyokong Palestin dilindungi dan gejala Islamofobia ditangani dengan tuntas.

Pidato PMX dengan jelas membuktikan pendirian Malaysia yang kekal teguh bersama perjuangan rakyat Palestin demi mencapai matlamat sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Komen