Hari ini jika kita lihat, ramai ahli politik yang semakin hari semakin menipis nilai integriti yang ada dalam diri mereka yang sebenarnya telah merugikan sebuah negara.
Imam Mawardi memberikan enam sendi utama untuk mendirikan sebuah negara yang aman dan harmoni.
- Menjadikan agama sebagai pedoman
- Pemimpin yang bijak dan memiliki autoriti
- Keadilan yang menyeluruh yang membuahkan kedamaian
- Keamanan semesta yang menjadikan kedamaian batin
- Kesuburan tanah yang berkesinambungan
- Orang bebas membina cita-cita mereka
Semua enam sendi ini tidak boleh tidak memerlukan pemimpin dan rakyat yang mempunyai integriti yang tinggi untuk menjadikan sebuah negara itu ditadbir dengan baik dan semua orang merasai keamanan dan keharmonian.
Di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti bermaksud kejujuran dan ketulusan atau keadaan sempurna dan utuh atau mempertahankan nama baik mereka daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Daripada definisi integriti ini kita dapat memahami bahawa integriti adalah satu sifat yang perlu dimiliki oleh semua orang tanpa mengira agama dan kaum. Sifat ini adalah tentang sebuah kebenaran yang perlu dididik dan disemai ke dalam setiap jiwa-jiwa manusia demi supaya tidak berlaku ketirisan dalam apa-apa jua keadaan.
Dalil Agama
Untuk menyokong dengan lebih tuntas tentang sifat integriti ini, dalil-dalil agama perlu diketengahkan kerana agama ini adalah satu keyakinan yang akhirnya menjadi dorongan untuk seseorang melakukan sesuatu.
Dalam agama Kristian ada menyebut tentang nilai integriti ini yang mana jika tiada nilai ini akan membawa kehancuran buat mereka. Di dalam Proverbs 11:3 ada menyebut:
Integriti orang jujur membimbing mereka, tetapi orang yang tidak percaya dihancurkan oleh kepalsuan mereka.
Di dalam agama Hindu pula, nilai integriti ini kitab boleh faham apabila dalam Mahabharata ada menyebut tentang nilai kebenaran dan kepalsuan yang boleh difahami tentang nilai integriti:
Di mana ada kebenaran, di situ terdapat Dharma, di mana ada Dharma, ada cahaya; dan di mana ada cahaya, ada kebahagiaan. Sebaliknya, di mana terdapat kepalsuan, terdapat Adharma; di mana ada Adharma, ada kegelapan; dan di mana ada kegelapan, ada kesedihan.
Dalam Islam, terdapat banyak dalil-dalil agama bercerita tentang amanah, berkata benar, bersifat tulus dan jujur dan tidak menyeleweng.
Dari Abu Hurairah, bahwa Nabi SAW bersabda:
“Tanda-tanda orang munafik adatiga: jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari, dan jika diberiamanah ia berkhianat”
(Sahih Bukhari no. 33)
Juga firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Ini semua adalah bukti bahawa setiap agama sangat menitikberatkan tentang nilai integriti dan nilai ini adalah nilai yang sejagat di mana orang yang tidak beragama pun perlu bersetuju nilai integriti ini adalah nilai yang sangat penting untuk diaplikasikan di dalam setiap lapisan masyarat demi menjadikan negara Malaysia yang kita cintai ini sentiasa maju dan aman.
Integriti Dalam Sejarah
Ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah muslimin, beliau ada menyebut ketika memberi ucapan kepada semua orang dan sangat signifikan tentang nilai integriti yang kita perjuangkan. Setelah memuji Allah, beliau berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pemimpin atas kalian, padahal aku bukanlah yang terbaik. Jika aku berbuat kebaikan, bantulah aku dan jika aku berbuat keburukan, luruskanlah aku. Kejujuran itu adalah amanah sedang dusta adalah satu pengkhianatan. Orang yang lemah di antara kalian adalah kuat di sisiku hingga aku dapat mengembalikan haknya kepadanya. Sebaliknya, orang yang kuat di antara kalian adalah lemah hingga aku mengambil yang merupakan kewajipam baginya. Taatilah aku sepanjang aku mentaati Allah dan Rasulnya. Tetapi jika aku bermaksiat kepada Allah dan Rasulnya. Tidak ada kewajipan atas kalian terhadapku.”
Beginilah tegasnya Abu Bakar tentang nilai integriti ini sehigga menjadikan nilai ini sebagai perkara utama yang beliau ucapkan di hadapan kaum muslimin. Apabila nilai ini telah wujud pada seorang pemimpin, rakyatlah yang akan merasai keamanannya.
Kemudian kita sering mendengar bahwa kekalahan tentera Melaka kepada Portugis adalah kerana kelemahan pertahanan serta penggunaan senjata yang ketinggalan dengan Portugis. Tanggapan ini adalah tanggapan yang salah sama sekali, sejarah telah merekodkan bahawa orang Melayu ketika itu telah menggunakan senapang yang hebat dan mempunyai tentera bergajah yang mampu mengalahkan tentera Portugis
Akan tetapi, apalah ertinya mempunyai kecanggihan andai tiada integriti pada rakyatnya. Berdasarkan catatan Portugis, angkatan tentera tewas kepada Portugis kerana pengkianatan pembesar-pembesar Melaka sendiri. Inilah punca dan sebab utama mengapa Melaka yang gah bangunan dan teknologinya jatuh ke tangan Portugis dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1511.
Penutup
Integriti adalah nilai yang semua manusia sepakat akan kepentingannya tidak kira agama, kaum dan bangsa. Nilai ini apabila tidak disemai sebaiknya pasti akan merosakkan bangsa dan negara lebih-lebih lagi apabila orang yang memimpin negara itu sendiri integritinya diragui.
Kita dapat lihat hari ini integriti yang hilang dalam kalangan pemimpin negara. Isu rasuah dianggap kecil walhal itu adalah isu yang sangat besar dalam arena politik. Sehingga rakyat pandang sebelah mata perkara ini kerana menganggap isu ini adalah isu picisan.
Kita juga melihat bagaimana ahli politik hari ini banyak bermain isu-isu perkauman sehingga merobek keamanan negara. Ini adalah integriti yang hilang dalam ahli politik di Malaysia. Mereka ini tidak lagi mahu membangunkan negara, lebih kepada meraih undi dan simpati.
Selain itu, wujud juga segelintir pimpinan negara yang tidak boleh dikritik seolah-olah segala perbuatan yang mereka lakukan adalah benar belaka. Ini juga adalah nilai integriti yang semakin menipis dalam kalangan ahli politik.
Hal ini akhirnya memberi kesan yang buruk pada rakyat seluruhnya. Kehilangan nilai integriti dalam kalangan pemimpin dan ahli politik akan menyebabkan rakyat yang miskin terus ditindas kerana duit telah diseleweng. Wujudnya jurang antara kaum kerana isu perkauman terus dimainkan. Kemudian, akan wujudnya pentaksub parti yang tidak mampu membezakan antara kaca dan permata.
Hilangnya integriti dalam sebuah negara telah merugikan ummat manusia. Tidak boleh tidak nilai integriti ini perlu dididik sejak di bangku sekolah lagi, supaya masa depan negara ini terjamin.
Tentang Penulis
Irham Masiri adalah siswa Universiti Malaya dalam jurusan Usuluddin Sejarah dan Tamadun Islam. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.