Illi Najwa Dan Mengenang Kembali Mohan, Michael Dan Maximus

Perlembagaan Malaysia:
Perkara 3 – Agama bagi Persekutuan
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Perkara 11 – Kebebasan beragama
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Satu berita panas yang melanda Malaysia baru-baru ini adalah kisah perkahwinan seorang gadis Malaysia, Illi Najwa dan pasangannya, Manpreet Singh Pawar dari India.

Pada awalnya, kisah perkahwinan mereka mendapat liputan yang positif kerana Manpreet Singh Pawar adalah kapten pasukan hoki kebangsaan India. Detik perkenalan dan percintaan mereka selama 9 tahun yang akhirnya berakhir di jinjang pelamin menjadi kisah fantasi dan romantik yang menarik minat pembaca di India dan juga Malaysia.

Tetapi, liputan positif itu kemudiannya bertukar menjadi negatif apabila timbul rakaman video perkahwinan mereka di India yang dijalankan dalam adat dan upacara keagamaan Sikh. Lalu timbul persoalan hangat di Malaysia tentang status agama Illi Najwa dan lebih teruk ia dipolitikkan lagi setelah Illi Najwa didapati merupakan anak saudara kepada Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique. Perbandingan dibuat antara Illi Najwa dan kisah Sajat di Mekah, dengan cubaan mengheret Menteri Agama serta pemimpin PAS di dalam kerajaan untuk bersuara selantang mereka bersuara di zaman Pakatan Harapan.

Di Malaysia, isu melibatkan agama Islam dan kebebasan beragama tidak pernah putus dari kontroversi. Ia bukan baru tercetus dalam kisah perkahwinan Illi Najwa, malahan berentetan sejak dari kisah Natrah atau Maria Hertogh pada tahun 1950. Konsensus yang diguna pakai di Malaysia ialah sesiapa sahaja yang lahir Islam, atau lahir bukan Islam tetapi kemudian memeluk Islam; akan kekal sebagai seorang Islam sehingga mati.

Saya pernah menulis akan hal ini lebih 10 tahun yang lalu pada 6 Julai 2009 dan ia dibukukan dalam buku berjudul Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua:

Mohan, Michael Dan Maximus

I
Tidak ramai yang kenal siapa itu Mohan Singh. Aku pun sama, hinggalah minggu lepas bila aku terbaca kisah beliau di akhbar.

Mohan Singh a/l Janot Singh semasa hidupnya bekerja sebagai pengarah seni. Salah satu filem terakhir beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah Talentime karya Yasmin Ahmad.

Pada 25 Mei 2009 Mohan maut akibat serangan jantung di dalam apartment miliknya di Damansara Damai. Mayatnya kemudian di bawa ke Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di bilik mayat bukan Islam dan hingga saat ini ianya masih di sana.

Ya sudah lebih satu bulan mayat Mohan tidak diuruskan sewajarnya.

Niat ahli keluarga Mohan untuk menuntut mayat beliau bagi upacara pembakaran mengikut kepercayaan Sikh bagaimana pun terbantut apabila pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendakwa Mohan sebenarnya seorang penganut agama Islam.

Maka bermulalah satu lagi episode ‘The Body Snatcher’.

Mengikut saksi-saksi yang terlibat, mereka mendakwa Mohan Singh telah memeluk Islam pada tahun 1992 di Pulau Pinang dan menukar namanya kepada Mohammad Hazzerry Shah Mohan Abdullah.

Pelik bin ajaib, Mohan Singh bagaimana pun berkahwin dengan wanita bukan Islam pada tahun 1997 sebelum kemudiannya bercerai pada tahun 2002. Hasil perkahwinan tersebut Mohan dikurniakan seorang anak perempuan yang mengikut sijil kelahirannya jelas menyatakan nama Punjabi dan Sikh sebagai agama si bapa.

Mohan juga pernah kehilangan Mykad pada Oktober 2008 dan ia kemudiannya digantikan dengan Mykad baru yang masih menggunakan nama Mohan Singh dan tidak mempunyai perkataan ‘Islam’ tertera pada kad tersebut.

Ahli keluarga Mohan juga turut mendakwa bahawa Mohan kerap berkunjung ke Gurdwara sepanjang hidupnya dan melakukan upacara-upacara keagamaan Sikh.

Hujah MAIS mengenai bukti pertukaran agama Mohan kepada Islam terletak pada salinan sijil memeluk Islam yang ada pada simpanan mereka. Hanif Khatri Abdulla, peguam yang mewakili MAIS berkata bahawa kewujudan sijil memeluk Islam tersebut adalah bukti konklusif bahawa Mohan ialah seorang Muslim.

“Ia bukan satu persoalan penting bagaimana atau di mana sijil tersebut ditemui. Ia juga bukan satu persoalan penting sama ada pihak yang menuntut sedar atau tidak akan pertukaran agama tersebut. Apa yang penting ialah sijil itu wujud.”

Dan awan mendung berarak lalu saat mayat Mohan Singh dibiarkan mereput di Hospital Sungai Buloh.

II
Ramai yang kenal siapa itu Michael Jackson. Aku pun sama, semenjak pandai membaca dan berjoget bila dengar muzik.

Michael Jackson semasa hidupnya cukup diketahui ramai apa kerjanya. Cuma yang agak meragukan orang ramai ialah apa agama anutan Michael Jackson. Macamlah ianya terlalu penting.

Lantas bila abang Michael, Jermaine Jackson mendakwa bahawa adiknya telah memeluk Islam maka hampir seluruh dunia Islam menghela nafas lega.

Lebih-lebih lagi yang di Malaysia. Bukan senang mahu dapat King of Pop dari kalangan umat Islam. Elvis Presley bukan Islam, semua ahli The Beatles juga bukan Islam.

Hanya Cat Stevens atau Yusof Islam saja penyanyi antarabangsa tersohor yang Islam. Selain dari Mawi barangkali, yang lebih kepada penyanyi Felda tersohor.

Kemudian Michael Jackson menemui ajalnya. Selepas seminggu lebih mayatnya belum diuruskan sewajarnya, tersebar pula berita bahawa Michael Jackson bakal dikebumikan di Taman Peringatan Forest Lawn di dalam keranda bersadur emas yang bernilai USD25,000.

Setakat ini belum ada insiden ‘The Body Snatcher’ lagi di Los Angeles sana.

Tapi Taman Peringatan Forest Lawn bukanlah kawasan perkuburan Islam. Dan pengebumian Michael Jackson yang pastinya akan lengkap dengan pakaian sut mewah dan disemadikan di dalam keranda bersadur emas 14K yang berharga USD25,000 langsung tidak menyerupai upacara pengebumian Islam.

Hanif Khatri Abdulla dan MAIS, tidak mahu pergi ke Los Angeles sana dan berebut mayat Michael Jackson kah?

III
Aku tidak pasti berapa ramai pula manusia yang kenal Lucius Maximus. Aku pun selalu tertanya-tanya, siapa Lucius Maximus?

Lucius Maximus semasa hidupnya kadang kala menulis blog. Tidak, dia belum mampus lagi saat artikel ini ditulis.

Oleh kerana Lucius menulis dalam bahasa Melayu maka ramai orang dengan mudah membuat kesimpulan Lucius ini berbangsa Melayu. Dan dek kerana di Malaysia ini setiap lelaki dan perempuan yang termaktub dalam sijil kelahirannya sebagai Melayu secara automatik juga menjadi Islam, maka Lucius Maximus disyaki Islam. Berdasarkan hujah tersebut dan bukti-bukti lain seperti kisah-kisah hari raya atau sembahyang Jumaat yang pernah ditulis di blog beliau.

Tapi nama Lucius Maximus bukan nama lazim seorang Islam. Yang kurang membaca akan mendakwa nama tersebut berasal dari nama seorang paderi Rom di Mesir dulu. Yang membaca lebih sedikit tahu yang di Mesir itu satu masa dulu ialah seorang gabenor Rom dan dia bukanlah beragama Kristian.

Apa pun mengikut kata Lucius Maximus nama beliau tidak ada sangkut paut dengan mamat Rom dari Mesir yang sudah lama mampus itu.

Tapi itu tidak menghalang segelintir pembaca untuk bertanya Islamkah Lucius Maximus?

Kita juga akan bertanya Islamkah Mohan Singh? Betul ke Michael Jackson itu Islam? Lina Joy, Islamkah dia? Mahathir Mohamed pula, Islam atau tidak? Neil Armstrong? Mike Tyson? Puteri Diana? Astora Jabat? Nabil? Optimus Prime?

Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran yang dibangga-banggakan dunia Islam termasuk yang di Malaysia, Islamkah dia? Kerana kalau mengikut acuan Islam Malaysia, mazhab Syiah itu sudah ibarat menjadi ajaran sesat, boleh dikira murtad. Dan Mahmoud Ahmadinejad itu bermazhabkan Syiah.

Senang cerita, sembang pasal apa agama si polan ini dan si polan itu, sampai kiamat pun tidak akan habis.

Kembali kepada Illi Najwa, kisah beliau hampir menyamai apa yang dilalui oleh individu seperti Natrah, Mohan Singh, Lina Joy, Revathi Massosai, Nonya Tahir dan ramai lagi. Mereka lahir Islam, atau lahir bukan Islam tetapi kemudiannya memeluk agama Islam; namun tidak mempunyai kebebasan beragama. Dalam erti kata lain, di Malaysia jika anda lahir Islam atau masuk Islam, sudah tiada lagi jalan untuk keluar dari Islam.

Dalam kes Illi Najwa, persoalan sama ada beliau Islam atau tidak masih belum terjawab dengan jelas, juga menjadi pertikaian adalah kenapa seorang gadis Melayu beragama Islam melangsungkan perkahwinan dalam adat dan upacara keagamaan Sikh serta menukar namanya. Kesemua isu ini tidak akan wujud sebenarnya jika tiada sekatan agama yang melarang orang Islam untuk menukar agamanya.

Ia membawa kembali kepada perdebatan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan jaminan kebebasan beragama seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan Malaysia.

Komen