Selepas beberapa bulan didesak oleh pelbagai pihak, akhirnya kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersetuju untuk membenarkan pengeluaran i-Sinar tanpa sebarang syarat. Ini pun, selepas beberapa insiden berlaku antaranya bom petrol yang dilempar di KWSP Miri oleh pencarum yang tidak berpuas hati dan penutupan KWSP Shah Alam dan George Town kerana penularan Covid-19 di kalangan staf yang bertugas.
Pengeluaran KWSP untuk berdepan pandemik adalah isu hangat. Ramai yang tertekan dengan keadaan ekonomi merudum akibat Covid-19 dan tanpa bantuan yang cukup dari kerajaan, satu-satunya talian hayat yang ada ialah mengeluarkan simpanan KWSP. Kita semua tahu, majoriti rakyat Malaysia dalam lingkungan M40 dan B40 terutamanya tidak mempunyai simpanan kewangan yang cukup. Rakyat kebanyakannya hidup dari satu slip gaji ke satu slip gaji setiap bulan, jauh sekali untuk mempunyai dana kecemasan yang boleh melindungi perbelanjaan enam bulan lamanya.
Justeru, apabila gaji mereka dipotong, perniagaan terjejas atau lebih teruk lagi hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, paling lama mereka mampu bertahan adalah untuk tempoh dua atau tiga bulan. Itu pun setelah terpaksa menangguhkan pembayaran pinjaman dan bil utiliti.
Lalu jalan keluar yang ada ialah dengan beralih ke sumber simpanan lain. Dalam hal ini, KWSP menjadi sasaran utama, kerana ia satu-satunya tabung kewangan yang masih ada untuk majoriti rakyat Malaysia yang bekerja atau pernah bekerja.
Membenarkan pengeluaran KWSP melalui i-Sinar tanpa syarat memang tidak dinafikan telah memberi ‘sinar’ buat rakyat yang sedang dihimpit kesempitan. Tetapi adakah ia juga memberikan ‘sinar’ buat KWSP?
Kita semua maklum tujuan utama KWSP diwujudkan. KWSP ialah simpanan jangka panjang sebagai pendapatan utama apabila pencarum mencapai umur persaraan. Kerana itulah salah satu slogan yang pernah digunakan KWSP ialah ‘simpanan hari tua anda’. Dengan adanya KWSP, setiap pekerja dan majikan diwajibkan mencarum bagi memastikan adanya simpanan kewangan apabila pekerja bersara kelak. Tanpa KWSP, mungkin ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai simpanan kewangan mencukupi untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.
Bagi tujuan mewujudkan simpanan yang cukup selepas persaraan, KWSP menetapkan jumlah sebanyak RM240,000 untuk setiap pencarum menjelang umur 55 tahun.
Namun, mengikut statistik yang ada, seramai 137,000 dari 254,000 pencarum berumur 54 tahun pada tahun 2020 mempunyai simpanan KWSP kurang dari RM50,000, jauh lebih rendah dari sasaran RM240,000 yang ditetapkan untuk bersara dengan selesa. Di kalangan pencarum yang masih aktif, 75% mempunyai simpanan kurang dari RM100,000 dan 58% pula kurang dari RM50,000. Seramai 5.38 juta atau 43% dari jumlah keseluruhan pencarum KWSP hanya mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.
Angka-angka ini adalah amaran awal tentang situasi simpanan kewangan persaraan tenaga kerja Malaysia hari ini. Dalam erti kata lain, tanpa pengeluaran i-Sinar sekalipun kita dapat melihat amaun simpanan KWSP rakyat Malaysia sebenarnya adalah tidak mencukupi bagi menanggung persaraan mereka. Penyudahnya di masa akan datang adalah sama ada mereka yang bakal bersara ini perlu terus bekerja sehingga umur senja atau mengharapkan ihsan ahli keluarga, kerajaan atau badan kebajikan bagi menampung kehidupan hari tua mereka.
Dan sekali lagi ditekankan, situasi kelam ini adalah tanpa mengambil kira pengeluaran i-Sinar.
Bagaimana jika i-Sinar dikeluarkan? Kiraan mudah seperti yang pernah diberikan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Alias adalah untuk seorang pencarum berumur 30 tahun, RM10,000 yang dikeluarkan sekarang akan bernilai tiga kali ganda menjelang umur 60 tahun. Bermakna RM10,000 wang i-Sinar yang kita perolehi hari ini boleh sahaja menjadi kehilangan RM30,000 dalam tempoh 30 tahun lagi.
Tunku Alizakri Alias menjadi antara individu paling dibenci di Malaysia kerana ketegasannya untuk tidak membenarkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat, walaupun ditekan dari segenap penjuru baik oleh pihak kerajaan, rakyat kebanyakan dan tidak ketinggalan juga pemimpin politik seperti Najib Razak. Langkah beliau anti populis dan oleh itu tidak disenangi ramai. Apa lagi selepas individu seperti Najib Razak menggunakan sentimen rakyat dalam kesempitan dan memerlukan tunai segera, dan KWSP dilihat sebagai satu simpanan wang rakyat yang dinafikan haknya kepada rakyat.
Tetapi jika kita menolak segala sentimen dan menggunakan kewarasan fikiran, mungkin kita boleh melihat situasi KWSP dari sudut pandang Tunku Alizakri Alias sendiri. Ketegasan beliau adalah berasas, mengambil kira 5.38 juta pencarum atau 43% mempunyai simpanan KWSP kurang dari RM10,000 di dalam Akaun 1. Atau 75% pencarum mempunyai simpanan kurang RM100,000 di dalam kedua akaun. Atau realiti pahit bahawa 54% pencarum berusia 54 tahun pada tahun 2020 mempunyai simpanan kurang dari RM50,000.
Matlamat KWSP adalah membina persaraan mapan buat semua ahli. Visi mereka adalah membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik dan misi mereka adalah melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Kata kunci yang penting adalah ‘masa depan yang lebih baik’ dan ‘melindungi simpanan ahli’.
Bagi tujuan itu, KWSP perlu melindungi simpanan ahli dan pada masa sama melaburkan simpanan itu supaya memperolehi pulangan setimpal di masa depan.Pelaburan KWSP bersifat jangka panjang dengan dua objektif utama – untuk memelihara dan meningkatkan nilai modal daripada sumbangan ahli; dan untuk mengekalkan pulangan yang stabil dan konsisten jangka panjang dalam batasan risiko yang boleh diterima. Bagi maksud itu, KWSP melabur dalam beberapa instrumen kewangan yang diluluskan termasuk Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Setara; Ekuiti; Pinjaman dan Bon; Instrumen Pasaran Wang; dan Hartanah dan Infrastruktur.
Namun, dengan kelulusan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat, KWSP kini berdepan masalah kecairan bagi memastikan adanya tunai yang cukup untuk memenuhi permintaan pengeluaran i-Sinar. Apa yang mungkin berlaku adalah perubahan strategi pelaburan KWSP, dengan peringkat pertama menjual aset sedia ada bagi memperolehi tunai dan kedua dengan menfokuskan pelaburan dalam pasaran wang (money market). Masalahnya di sini ialah pasaran wang bersifat pelaburan jangka pendek, ia mungkin memberikan kecairan yang cukup buat KWSP tetapi memberikan pulangan pelaburan yang rendah.
Pulangan pelaburan rendah akan membataskan keupayaan KWSP untuk memberikan dividen yang tinggi kepada ahli. Walaupun utuk pelaburan konvensional, KWSP menjamin pulangan minima 2.5% tetapi kita harus akui setelah melihat statistik jumlah simpanan ahli yang ada, KWSP perlu memberikan pulangan dividen 5% dan ke atas setiap tahun bagi merealisasikan sasaran simpanan minima RM240,000 untuk semua ahi menjelang umur 55 tahun.
Jika angka-angka ini belum cukup menggerunkan anda, mungkin kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul bahawa pengeluaran i-Sinar dijangka mencecah amaun RM70 bilion akan mengejutkan kita dari mimpi menang sorak. Angka RM70 bilion ini hampir menyamai jumlah caruman diterima KWSP sepanjang 2019 iaitu RM75.93 bilion, dan jauh mengatasi jumlah dividen yang dibayar pada tahun sama iaitu RM45.82 bilion. Tidak hairanlah jika KWSP benar-benar perlukan kecairan tunai yang besar bagi memenuhi jangkaan pengeluaran tersebut.
Mantan CEO, Tunku Alizakri Alias pastinya seorang yang berpegang kepada janji ‘masa depan yang lebih baik’ dan ‘melindungi simpanan ahli’. Dua janji yang tidak mungkin tertunai sekiranya tabung KWSP dirobek dengan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat. Dan atas janji yang dipegang ini mungkin kita boleh memahami ketegasan Tunku Alizakri Alias untuk tidak meluluskan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat. Ketegasan yang berkesudahan dengan hilangnya jawatan CEO beliau yang kini diisi oleh seseorang yang lebih mudah tunduk pada desakan kerajaan.
Hari ini, pengeluaran i-Sinar tanpa syarat dijaja oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai bukti kerajaan prihatin. Hakikat yang sebenarnya ialah rakyat dinafikan ‘masa depan yang lebih baik’ dan janji ‘melindungi simpanan ahli’ telah dicabuli begitu sahaja.
Satu persoalan yang berlegar buat mereka yang berfikir adalah, kenapa kerajaan sendiri tidak menghulur dana membantu rakyat tetapi sebaliknya meminta kita mengeluarkan simpanan hari tua kita sendiri untuk hidup di hari ini?
Sedarlah, kita sebenarnya menang sorak, kampung tergadai.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.