Sudah-sudahlah bermain sandiwara dengan mencetuskan polemik undi tidak percaya! Hakikatnya rakyat semakin bosan dengan gelagat dan drama politiking para ahli politik picisan yang terlalu mementingkan diri, kedudukan dan kuasa. Mutakhir ini lagu undi tidak percaya terus didendangkan membabitkan komplot beberapa orang ahli politik yang dilaporkan mahu menggunakan ini sebagai alat dan senjata ugutan bagi menjatuhkan figura tertentu melalui pintu belakang. Persoalannya, apakah ini yang rakyat mahu dan adakah ini amalan demokrasi yang kita sanjung selama ini?
Isu undi tidak percaya mula kedengaran di Perak dan Melaka membabitkan jawatan Menteri Besar (MB) serta Ketua Menteri (KM) dan lebih parah di peringkat Parlimen membabitkan kedudukan Perdana Menteri sendiri. Walaupun masing-masing menafikan penglibatan dalam komplot ini, kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang? Justeru sebagai pengundi dan rakyat marhaen saya merasakan adalah amat tidak wajar undi tidak percaya digunakan sebagai senjata dalam konteks matlamat menghalalkan cara. Wahai YB sekalian kami mengundi anda untuk berbincang dan menyelesaikan masalah rakyat dan negara dan bukannya sibuk berpolitik 24 jam serta menggerakkan pakatan untuk mengadakan undi tidak percaya bagi menjatuhkan rakan-rakan anda sendiri hanya kerana ketidakpuasan hati kita dalam beberapa urusan politik. Kenapa rakyat dijadikan kambing hitam yang perlu menghadap dan menanggung azab melayan karenah tidak beretika seperti ini?
Secara prinsipnya proses pelantikan sama ada MB, KM atau Perdana Menteri (PM) yang sedia ada telah dilaksanakan secara tertib mengikut undang-undang tubuh negeri dan juga Perlembagaan Persekutuan. Sebagai peringatan bersama, sedarlah betapa Sultan sebagai ketua negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara telah bersetuju dan berkenan dengan pelantikan tersebut setelah berpuas hati dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen pada ketika pelantikan itu dibuat. Maka kenapa sekarang hendak mencabuli pelantikan tersebut. Masyarakat juga semakin pelik dengan gerakan undi tidak percaya yang cuba diatur atau digembar-gemburkan ini kerana alasan yang dikemukakan atau asas yang digunakan untuk mengadakan undi tidak percaya itu masih terlalu samar dan sangat tidak jelas apatah lagi kukuh. Jadi kita tertanya-tanya untuk apa perlu diadakan undi tidak percaya? Adakah sudah cukup terbukti individu terbabit tidak efisien dalam memimpin negeri atau negara hanya dalam tempoh setahun lebih ini? Ingatlah, apapun tindakan yang hendak kita buat, biarlah ianya berpaksikan kepada keadilan dan penilaian yang telus dan jujur serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat, negeri dan negara mengatasi kepentingan peribadi. Jangan kita mengambil tindakan terburu-buru mengikut emosi sehingga merugikan semua pihak umpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Jadi langkah sesetengah pihak yang terlalu berminat untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap MB, KM dan juga PM jelas membelakangkan segala undang-undang, peraturan dan amalan demokrasi yang kita muliakan selama ini. Lebih penting ianya sama sekali membelakangkan kepentingan dan mengkhianati keyakinan yang rakyat telah berikan selama ini. Ringkasnya undi tidak percaya bukanlah suatu budaya yang sihat. Bayangkan pada hari ini kita gulingkan seseorang dan esok lusa ianya akan menjadi amalan yang lazim di mana kita akan terus menggulingkan semua orang selagi orang itu tidak memenuhi keperluan kita. Akhirnya apa akan terjadi kepada pentadbiran negeri dan juga negara?
Justeru kita menuntut agar semua YB menghentikan dengan segera polemik dan sandiwara undi tidak percaya dan cita-cita untuk membentuk kerajaan pintu belakang ini. Bagi ruang kepada rakyat untuk betul-betul menilai kemampuan MB, KM dan PM dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, dan jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman. Walau apapun justifikasi yang dikemukakan undi tidak percaya bukan jalan penyelesaiannya, apatah lagi ianya membabitkan ahli dari parti yang sama. Gunakanlah saluran yang ada untuk berbincang dan cari jalan penyelesaian yang terbaik, jangan sesekali mencetuskan krisis kepimpinan dalam parti dan defisit keyakinan dalam kalangan rakyat. Apa yang pasti, rakyat tidak mahu dan tidak akan bersetuju sama sekali dengan agenda politik peribadi seperti ini. Kurangkanlah politiking dan silalah fokus kepada masalah yang sedang melanda negara dan rakyat.
Tentang Penulis
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.