LAPAN Mac seperti yang kita ketahui adalah Hari Wanita Sedunia. Bermula dari tahun 1917 di Petrograd (kini Saint Petersburg), tarikh 8 Mac kemudiannya dijadikan tarikh rasmi Hari Wanita Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1977.
Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini adalah Embrace Equity. Embrace dalam bahasa Melayu adalah dakap, manakala equity pula boleh diterjemahkan sebagai kesaksamaan. Maka di dalam bahasa Melayu, terjemahan temanya adalah Dakap Kesaksamaan.
Kenapa Kesaksamaan?
Kebanyakan dari kita mungkin lebih terbiasa dengan istilah kesamarataan yang digunakan secara lebih meluas apabila bercakap tentang isu kewanitaan. Sering kali, perkataan kesamarataan digunakan silih berganti dengan perkataan kesaksamaan. Ada masanya, keduanya digunakan bersama untuk memberikan takrifan lebih meluas.
Tetapi antara kesamarataan dan kesaksamaan ada perbezaan maksudnya.
Kesamarataan mudahnya boleh diterjemah sebagai semua pihak atau individu diberikan sumber dan peluang yang sama. Dalam konteks kewanitaan, ia boleh digambarkan bahawa seorang wanita mempunya sumber dan peluang yang sama seperti seorang lelaki.
Kesaksamaan pula berbeza kerana membawa maksud sumber dan peluang yang wujud berbeza mengikut keperluan pihak atau individu. Dalam erti kata lain ia bersifat adil kerana mengambil kira situasi dan sistem yang ada.
Dalam konteks kewanitaan, kesaksamaan adalah memberikan wanita sumber dan peluang yang setimpal mengikut situasi dan sistem. Di dalam kebanyakan situasi dan sistem, kita perlu mengakui bahawa wanita tidak mempunyai sumber dan peluang yang sama seperti golongan lelaki.
Kesaksamaan Dalam Situasi
Kita ambil pendidikan sebagai contoh. Di Malaysia, peluang pendidikan adalah terbuka sama rata untuk wanita dan lelaki. Tetapi di dalam sesetengah situasi, lelaki mempunyai peluang pendidikan yang lebih baik berbanding wanita. Faktor kewangan, kebudayaan atau keagamaan kadang kala memainkan peranan dalam menghadkan peluang pendidikan wanita.
Satu keluarga yang miskin mungkin akan mengutamakan pendidikan anak lelaki atas alasan anak lelaki tersebut perlu mendapat pekerjaan yang baik untuk menyara keluarganya sendiri di masa hadapan. Sedang anak perempuan pula dilihat hanya perlu belajar sekadar perlu kerana boleh sahaja menjadi suri rumah sepenuh masa bila dewasa dan ditanggung oleh suaminya sendiri.
Dalam situasi ini walaupun peluang pendidikan adalah terbuka sama rata untuk wanita dan lelaki, ianya tidak saksama. Justeru dasar dan tindakan perlu dibuat untuk membantu anak perempuan tadi mendapatkan akses pendidikan setimpal.
Kesaksamaan Dalam Sistem
Sistem juga perlu diambil kira dalam menilai kesaksamaan untuk wanita. Kepincangan sistem adalah punca utama kenapa wanita tertindas dan memerlukan bantuan untuk bersaing sehebat lelaki.
Kita ambil dunia pekerjaan sebagai contoh. Seorang wanita yang bekerja di bank melakukan kerja yang sama dengan seorang lelaki yang lain. Tetapi beberapa faktor situasi mungkin menghadkan peluang wanita tersebut untuk berjaya dalam kariernya sama seperti seorang lelaki.
Wanita yang bekerjaya dan pada masa sama telah berkahwin mungkin akan mengandung pada satu masa dan akhirnya melahirkan anak. Pasca kelahiran, wanita tersebut pula terpaksa memberikan komitmen membesarkan anak dan tanggungjawab ini bukan setakat tempoh tiga bulan selepas kelahiran tetapi mungkin berlanjutan bertahun lamanya.
Justeru, sistem dalam dunia pekerjaan perlu ditala untuk memberikan wanita layanan yang saksama. Layanan yang dimaksudkan adalah polisi yang memihak pada wanita seperti cuti bersalin selama tiga bulan atau lebih, fleksibiliti waktu kerja mengambil kira komitmen kepada anak kecil atau mewujudkan pusat asuhan di tempat bekerja bagi memudahkan wanita hadir ke pejabat tanpa kekangan.
Layanan sama rata sahaja jelas tidak cukup malah sebaliknya boleh menjadi punca wanita tercicir dari dunia pekerjaan sebaik sahaja mereka berkahwin dan berkeluarga.
Kesimpulan
Dua contoh di atas adalah bukti nyata kenapa kita perlu mengambil kira kesaksamaan dan tidak boleh berpuas hati dengan kesamarataan. Kesaksamaan memberikan keadilan, jelas seperti ungkapan bahawa adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Jika kesamarataan adalah memberikan semua orang perkara yang sama, maka kesaksamaan ialah memberikan setiap orang perkara yang diperlukannya.
Justeru untuk berlaku adil adalah wajar untuk mengambil kira situasi dan sistem yang meletakkan wanita dalam keadaan mempunyai sumber dan peluang yang lebih terhad berbanding lelaki akibat ketidakadilan situasi dan sistem.
Kesaksamaan, adalah mekanisme untuk mengatasi situasi dan sistem yang tidak adil itu.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.