Hak Pelarian: Kisah Sidi Abdul Kadir Ben Ghabrit

Semenjak beberapa minggu yang lalu, terdapat hal yang berbangkit mengenai pelarian. Pelbagai hujah dan ulasan yang diberikan, dalam banyak lapisan yang manis, yang pahit juga terlihat. Negara kita ini terdiri daripada kebanyakan warga Islam yang menjunjung Al-Quran dan Sunnah, serta kekuatan Ulama, namun ketiadaan kerangka Islam secara kemasyarakatan dan struktur Syariah mengakibatkan rakyat Islam di negara ini bagai hilang kemudi yang membawa rakyat kepada etika-etika Islam yang benar. Agak terang, isu pelarian di negara ini memperlihatkan bagaimana rakyat bertindak, khususnya, akar kefahaman apa yang dibawa. Kita semua dapat setuju bahawa mustahil sebuah agama yang mengambil keamanan dan kemanusiaan sebagai prinsip utama mendokong penolakan segala jenis bantuan yang diberikan kepada pelarian malah mustahil daripada agama ini juga menyokong penghapusan kaum.

Maka apa pandangan sebenar Islam dalam hal ini?

Saya petik syarahan daripada Sh. Omar Suleiman, terdapat hadis daripada Sunan At-Tirmizi;

“Rasulullah berkata: ‘Sesiapa yang memberi kesenangan kepada mereka yang kesempitan, atau melunaskan hutang, maka Allah akan melindungi mereka di bawah teduhan Takhta-Nya pada hari Akhirat, yakni tiada teduhan melainkan teduhan-Nya”

Kepentingan hadis ini memberi satu sudut pandang yang ketara dan menarik kerana pada zaman Jahiliah, perkauman ini sungguh tinggi kerana tiap-tiap mereka yang lahir daripada kerabat sendiri tidak akan dilayan dengan baik, malah hanya dianggap sebagai binatang. Kedatangan Muhammad mengubah sudut pandang ini dengan memberikan makna baru kepada kemanusiaan. Sh. Omar Suleiman berkata bahawa hal ini tiadalah beza dengan apa yang kita alami sekarang, yakni terdapat layanan yang berbeza pada individu yang tidak memiliki bangsa, taraf, malahan kad pengenalan sama dengan kita. Layanan ini datang berdasarkan perbezaan kebangsaan.

Tatkala perbincangan ini sering diulas-ulaskan dalam lingkungan hak asasi manusia, serta dalam lingkungan konteks liberalisme, kedudukan Islam mengenai hak asasi menjadi kabur. Namun, jangan kita membuat kesilapan menganggap hak asasi manusia tidak wujud di dalam Islam kerana Islam menganggap tiap-tiap benda yang bernyawa mempunyai hak untuk hidup kerana ianya kurniaan Tuhan. Oleh itu, Islam juga menganggap pemeliharaan nyawa, bukan setakat nyawa peribadi, tetapi nyawa orang sekeliling adalah penting, malah taraf hidup juga diambil kira. Sh. Omar Suleiman menngambil contoh daripada pelarian yang meminta suaka daripada Khalifah Umar abd Aziz. Mereka ini merupakan pelarian yang lari daripada Hajjaj bin Yusuf. Sebagai seorang Khalifah yang mempunyai talian rapat dengan adab Ulama, dia sedar akan kepentingan memberikan suaka kepada mereka namun pada masa yang sama tidak merendahkan nilai kemanusiaan yang terdapat dalam pelarian itu, maka Umar abd Aziz memberikan mereka layanan yang sama dengan warga Madinah ketika itu berbanding kem pelarian.

Soal kemanusiaan ini juga tidak terhad kepada warga Muslim, pada suatu hari Imam Auzai ditanya mengenai sepotong ayat yang berbunyi;

“Jika datang kepada kamu seorang Musyrikin yang meminta pertolongan, maka berikanlah kepada mereka supaya mereka dapat mendengar kata-kata Allah. Kemudian hantarkanlah mereka kepada tempat yang selamat kerana mereka ini tidaklah tahu dengan lebih baik.”

Sang Awanama bertanya; “Sekiranya sang Musyrik itu berkata Konstantiniah itu adalah tempat selamat mereka, patutkah aku menghantarnya ke sana?

Imam Auzai menjawab; “Sekiranya dia sampai ke sempadan Konstantiniah, maka itulah tempat selamat.”

Awanama bertanya lagi; “Sekiranya pada pertengahan jalan mereka terserempak dengan pasukan peronda Muslim?”

Imam Auzai menjawab; “Pasukan peronda itu tidak patut menghalang mereka.”

Awanama bertanya lagi; “Sekiranya Musyrikin itu sudah sampai ke tanah Muslim namun menghadapi kesukaran untuk pulang?’

Imam Auzai menjawab; “Maka tanah Muslim itulah tempat selamat bagi mereka.”

Adalah jelas bahawa Islam memandang bahawa suaka (Talab al-Jiwar) itu adalah hak kemanusiaan yang perlu ditunai di dalam Islam. Pelarian itu mempunyai hak untuk dilayan sama rata dengan rakyat tempatan, malahan mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada negara yang mereka duduki.

Menerusi penulisan saya yang lepas, penerangan mengenai kesenjangan tatacara Muslim di tanah ini dengan saranan Islam adalah disebabkan kelucahan agama yang dicampuradukkan dengan politik kebangsaan. Yakni pemimpin tempatan mengambil peluang mencedok mana-mana bahagian Islam yang disukai tetapi meninggalkan yang lainnya. Ketiadaan kerangka Syariah yang rapi pula menjadi pemangkin kepada kegiatan ini kerana para Ulama lebih banyak yang rela menjadi lembu ditusuk hidung berbanding pengkritik kezaliman pemimpin seperti mana tokoh-tokoh agung yang terdahulu, lebih rela mati daripada menurut perintah Sultan.

Layanan yang buruk kepada warga pelarian bukan sahaja jelik, malahan merupakan satu kesalahan jenayah di dalam Syariah. Terdapat juga beberapa tokoh Islam pasca kejatuhan Uthmaniyah (bermaksud ketiadaan kerangka Syariah yang ampuh) tetapi masih setia kepada ajaran Islam yang murni ini, sebagai contoh Sidi Abdul Kadir bin Ghabrit.

Dia merupakan salah satu pemimpin Islam di Aljazair (setaraf jawatan Mufti besar) yang memainkan peranan penting memperbaik hubungan Aljazair dan Perancis serta mendirikan pelbagai pusat-pusat Islam seperti Masjid Paris.

Peranannya di Perancis adalah menguruskan hal ehwal Muslim di sana dan menyediakan perkhidmatan pengajian agama. Tatkala tertakluknya Perancis ke tangan Nazi Jerman, Sidi Abdul Kadir dipertanggungjawabkan oleh kuasa Nazi untuk menyaring orang Islam dan orang Yahudi dengan tujuan untuk memudahkan penangkapan orang Yahudi. Namun tanpa diketahui oleh pihak Nazi, Sidi Abdul Kadir berkerjasama dengan gerakan penentangan Kabyles untuk menyelamatkan Yahudi. Sidi Abdul Kadir faham akan keadaan yakni warga Yahudi merupakan golongan yang kesempitan menanti hukuman mati daripada Nazi. Oleh itu menurut Robert Satloff, dia bertindak memberikan sijil-sijil keislaman kepada warga Yahudi yang ketika itu mempunyai budaya yang akrab dengan orang Islam. Masjid dan pusat Islam di Perancis dijadikan tempat perlindungan untuk warga Yahudi keluar daripada genggaman Nazi. Dan sehingga kini, Sidi Abdul Kadir dijulang sebagai wira Perang Dunia Kedua (kecuali peringatan Yad Vashem yang dipengaruhi fasis Israel).

Sedangkan seorang Ulama membantu pelarian yang bukan seagama, bukan sebangsa, mengapa warga kita cukup kedekut memanjangkan Rahmah Allah kepada mereka yang seagama? Terdapat lebih daripada seribu satu sebab untuk kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, apakah sebabnya kita begitu tumpul untuk termakan hasutan orang zalim untuk melakukan jenayah yang tidak berperikemanusiaan.

Barangkali mungkin, segala kesusahan yang melanda umat Islam ini adalah cara Tuhan membalas kezaliman yang kita lakukan. Kezaliman kita mempergunakan kesengsaraan saudara semanusia sebagai batu loncatan mengejar nama. Kezaliman kita membiarkan anak kecil menangis kelaparan disebelah mayat ibunya yang diratah peluru. Kezaliman membiarkan saudara kita mengemis kerana tiada wang meneruskan kehidupan. Semoga Tuhan ampuni kita semua.

Komen