Haji Hadi Hatinya Hitam

ADA seorang Haji. Namanya Hadi. Walaupun sudah Haji, tapi hatinya hitam. Hitam sehitam-hitamnya.

Ketika memulakan hari saya semalam, sempat saya membuka Twitter untuk melihat ciapan terkini jemaah Twitterjaya. Ketika saya menyangka akan disajikan dengan ciapan bersifat positif, apa yang terhidang di depan mata adalah ciapan dari akaun Twitter seorang Haji bernama Abdul Hadi Awang.

Dipendekkan, namanya Haji Hadi.

Haji Hadi berciap tentang artikel terbaru tulisannya yang kerap keluar di kolum Minda Presiden beliau. Tajuknya mudah, “Surat Terbuka Kepada Jemaah Haji Dan Umrah Yang Tidak Mengundi”.

Kata Haji Hadi melalui ciapannya, seramai 98% pengundi bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh telah dikerah untuk mara mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Matlamatnya adalah untuk mendapatkan kuasa di tanah air kita dengan menyokong DAP dan kumpulannya. Haji Hadi menyebut jelas tanah air kita.

Kemudian, Haji Hadi menambah lagi bahawa pengundi beragama Islam yang keluar mengundi dalam PRU15 hanya berjumlah sekitar 60%. Lalu Haji Hadi menyalahkan mereka yang tidak mengundi kerana lebih mengutamakan ibadah haji dan umrah berbanding tanggungjawab mengundi. Jarang sekali seorang agamawan memilih untuk menyalahkan mereka yang menjadi tetamu Allah kerana tidak menjadi tetamu pusat mengundi.

Menurut Haji Hadi, pengundi beragama Islam ini dibimbangi telah melakukan dosa besar kerana “berundur ketika musuh mara menentang Islam”. Entah apa yang dimaksudkan dengan musuh tidaklah diketahui. Proses demokrasi Malaysia yang dibuat melalui peti undi bukanlah medan penentangan terhadap agama atau kaum. Ini semua jelas termaktub dalam perlembagaan negara. Tidak ada sesiapa yang mengundi dengan niat mahu menentang agama atau bangsa tertentu.

Jujurnya sebagai orang Melayu beragama Islam yang merupakan ahli DAP dan menyokong Pakatan Harapan, saya terkesan dengan tulisan Haji Hadi dan tuduhan tidak berasas beliau. Menganuti fahaman politik yang berlainan dengan Haji Hadi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk Haji Hadi ‘mengkafirkan’ saudara seagama yang lain.

DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan ‘tanah air kita’ yang ditulis oleh Hadi adalah juga tanah air milik bersama rakyat bukan Melayu dan bukan Islam. Tidak pernah ada usaha mengharamkan DAP kerana ia jelas bahawa DAP tidak menyalahi atau melanggari mana-mana bahagian dari perlembagaan negara. Setiap individu bukan Melayu dan bukan Islam juga adalah diiktiraf warganegara yang sah dari segi perlembagaan dan nilai undi mereka tidak ada bezanya dengan undi seorang Melayu atau Islam.

DAP juga bukan musuh Islam seperti yang didakwa Haji Hadi tanpa penat lelah. Adalah pelik bin ajaib jika benar DAP ini musuh Islam kenapa Yang Dipertuan Agong, Majlis Raja-Raja Melayu, Polis DiRaja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia semuanya berdiam diri tidak berbuat apa? Adakah tidak ada unit risikan atau di kalangan badan keselamatan negara sehingga mereka tidak dapat mengorek rahsia DAP yang dalam diam memusuhi Islam? Adakah Haji Hadi menggambarkan Unit Amal PAS lebih handal mengintip parti DAP berbanding polis dan tentera?

Hakikatnya Haji Hadi lebih suka menabur fitnah dan mencipta persepsi untuk melaga-lagakan rakyat Melayu Islam dengan rakyat bukan Melayu Islam yang hidup dalam satu negara.

Malaysia ini negara kita bersama dan kita bersaudara sebagai warganegara, tetapi ada seorang pemimpin yang juga kononnya ulamak asyik sibuk melagakan Melayu lawan bukan Melayu, Islam lawan bukan Islam bahkan sampai sanggup menyebut tentang berperang antara satu sama lain.

Saya tidak pasti kenapa, tetapi yang jelas Haji Hadi hatinya hitam.

Komen