“When injustice becomes law, resistance becomes duty” – Thomas Jefferson
Ungkapan ini menjadi tular apabila anak kepada bekas Perdana Menteri ke-6 Malaysia memuat naik ungkapan ini di laman Instagram miliknya pada hari ini, hari penentu sama ada sistem kehakiman akan menghumban bapanya ke penjara atau menyelamatkan bapanya dari hukuman penjara.
Beberapa hari lagi genap setahun saya dan rakan-rakan ditahan secara salah oleh pihak PDRM di Dataran Merdeka. Kejadian yang menimpa kami sedikit sebanyak telah membuka mata dan ruang untuk pemahaman dan perdebatan mengenai hak dan peruntukan undang-undang terhadap rakyat Malaysia. Molek jika saya rumuskan penahanan kami sebenarnya adalah satu intimidasi yang digunakan untuk menakutkan rakyat agar rakyat terus diam dan bungkam apabila kerajaan jahat terhadap mereka.
Selepas penahanan kami, kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin juga bertukar. Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Namun, episod kegagalan kerajaan yang mencuri mandat rakyat ini masih berterusan. Rakyat masih lagi terselit dan terhimpit. Akan tetapi, dapat kita lihat suara-suara rakyat mula berkicau terutamanya di laman sosial sehingga ada beberapa keputusan kerajaan terpaksa ditangguh sebentar kerana tekanan dari rakyat.
Namun ia tetap tidak memberikan keuntungan. Dengan keadaan inflasi yang semakin meningkat, rakyat yang baru sahaja mula bangkit dan bertatih dari kejatuhan akibat wabak Covid yang melanda kini ditekan pula dengan masalah kenaikan kos sara hidup. Barang makanan dan keperluan menjadi mahal. Perkhidmatan juga semakin mahal. Nilai gaji semakin kecil. Rakyat terpaksa mengikat perut dan mencatu duit agar dapat meneruskan kehidupan.
Ismail Sabri tiada bezanya dengan Muhyiddin Yassin. Saiz kabinetnya besar. Lantikan politiknya ramai. Jawatankuasa yang entah apa-apa fungsinya juga berlambak. Namun satu pun masalah rakyat tidak dapat diselesaikan. Mesyuarat berkali-kali, harga ayam hanya mampu turun 20 sen sahaja. Penasihatnya berpuluh, tapi apa polisi baru yang menyenangkan rakyat masih tidak nampak. Sebaliknya banyak dasar yang menekan rakyat hendak diperkenal. Tiada reformasi pentadbiran dan juga polisi serta undang-undang terjadi. Kalau ada pun semua mengambil kesinambungan dari apa yang ditinggalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Oleh kerana tahu kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri itu rapuh, maka diikat pembangkang dengan memorandum persefahaman. Nampak sikitlah ada usaha untuk reform. Tapi tetap menekan. Tetap entah apa-apa. Dalam parlimen masih lagi ada isu yang tidak dijelaskan. Masih lagi ada isu yang tidak dijawab. Di luar parlimen, rakyat masih lagi terhimpit. Disajikan pula dengan keputusan untuk menarik subsidi barang makanan. Hilang akal agaknya orang dalam kerajaan ini. Tapi itulah, mereka masih selesa duduk di kerusi empuk. Rakyat kini dari M40 turun ke B40.
Lalu, mahasiswa ambil tanggungjawab untuk bangkit. Untuk kejutkan rakyat dari rasa takut melawan. Walaupun gelombangnya kecil, tapi ternyata takut juga Ismail Sabri ini. Hari ini, bersamaan hari di mana peguambela bekas Perdana Menteri ke-6 Malaysia sedang memijak kesucian sistem kehakiman negara, seorang mahasiswa dan dua orang pemuda didakwa di mahkamah kerana cuba menyuarakan rasa keluh dan gelisah mereka terhadap apa yang terjadi kini.
Hei, peruntukan dalam perlembagaan tidak menyekat kebebasan bersuara! Kenapa mereka didakwa sebagai penjenayah? Mereka bukan pencuri berbilion ringgit. Mereka membawa suara kita yang ramai ini ke perhatian sang pemerintah. Tapi mereka ditekan. Didakwa bagai melakukan jenayah.
Ya. Ismail Sabri tiada kurangnya dengan Muhyiddin Yassin. Juga tiada kurangnya dengan yang terdahulu. Kegemaran mereka ialah menghenyak rakyat. Kesukaan mereka bila rakyat bungkam dan bodoh. Menerima sahaja apa kesundalan dan kebobrokan yang dilakukan mereka. Pengikut mereka pula menghalalkan sahaja apa yang dilakukan mereka. Kesetiaan dan ketaatan yang buta. Memang setiap dari kita ada pilihan masing-masing. Tapi menjadi buta dan memilih untuk menurut sahaja itu kejam dan zalim.
Kadang-kadang saya terfikir, berbaloikah? Berbaloikah berjuang sedangkan ada yang merasa selesa bila dianiaya. Berbaloikan diganggu penguasa, diherdik dan ditakutkan dengan akta dan hukuman, bila ada yang kata “ya.. padan muka”. Salahkah jika kami berimpian mahukan Malaysia yang lebih sejahtera? Salahkah kalau kami mahu generasi kami bersih dari rasuah, punya kerajaan yang efisien yang bersih yang telus? Berbaloikah perjuangan ini? Sebab letihnya terasa sejak dari awal hari. Tapi kami ini semua tidak ada jalan lain lagi. Mungkin tidak berbaloi kini, tapi untuk esok, kami pasti. Apa yang kami juangkan ini pasti berhasil. Bila? Saya tak pasti. Tapi satu hari nanti.
Indeed, when injustice becomes law, resistance becomes duty.
Tugas ini yang kami galas. Semoga diberkati dan panjang umur perjuangan. Solidariti buat Aliff, Hasbie dan Lestari. Kamu adalah kami yang membawa suara kita.

Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.