Masyarakat Iban di Sarawak lazimnya masih mengamalkan adat tradisional terutamanya adat-adat lama. Dalam tradisi kepercayaan rohani masyarakat kaum Iban, mereka mempercayai bahawa adat yang berasal daripada kepercayaan nenek moyang mereka seharusnya dikekalkan. Pengekalan kepercayaan lama ini penting agar adat ini dapat diwarisi secara turun-temurun oleh generasi muda. Sehingga kini, masih ramai dalam kalangan masyarakat kaum Iban mengamalkan adat lama dalam kehidupan seharian. Tujuan utama pengamalan adat lama adalah untuk menyelesaikan isu dan konflik terutamanya dalam kehidupan seharian. Tradisi kepercayaan rohani seperti gawai adalah penting dalam kehidupan masyarakat kaum Iban kerana upacara ini merupakan salah satu elemen yang tidak terpadu dalam kitaran pertanian agama bagi kaum Iban. Mengupas kepada persoalan mengenai tradisi kepercayaan rohani dalam masyarakat kaum Iban, upacara Gawai Sandau Ari dalam masyarakat Iban merupakan antara upacara yang wajib diamalkan.
Gawai Sandau Ari Dan Tujuan
Gawai Sandau Ari merujuk kepada upacara atau adat lama yang diamalkan oleh masyarakat kaum Iban dengan melakukan penilikan nasib terhadap seseorang. Kebiasaannya, masyarakat suku kaum Iban mengamalkan upacara Gawai Sandau Ari pada bila-bila masa dan apabila terdapat seseorang ahli keluarga yang jatuh sakit tanpa mengetahui sebab orang itu sakit. Upacara tersebut bertujuan untuk menilik nasib seseorang untuk mengetahui mengenai keadaan seseorang seperti boleh mendatangkan perkara yang tidak baik dan tidak diingini. Upacara ini akan dilakukan dengan menilik nasib dan masyarakat kaum Iban akan melihat nasib orang tersebut melalui mimpi atau faktor orang sekeliling.
Cara Perlaksanaan Gawai Sandau Ari
Bagi menilik nasib seseorang, masyarakat kaum Iban memerlukan orang-orang yang mahir dan memahami akan upacara ini. Kebiasaannya, masyarakat kaum Iban akan menggunakan hati babi dalam menilik nasib seseorang. Dalam upacara ini, masyarakat kaum Iban hanya boleh menggunakan hati babi. Sebelum upacara ini dilaksanakan, masyarakat kaum Iban akan mengamalkan sikap saling membantu dalam menyediakan makanan tradisional seperti pulut, rendai, tumpe dan kembang goyang. Bagi minuman tradisional, masyarakat kaum Iban akan menyediakan air tuak untuk dihidangkan semasa Gawai Sandau Ari. Air tuak merujuk kepada minuman tradisional yang merupakan minuman keras dan diperbuat daripada beras. Beras akan diperam dalam tempayan selama dua minggu ke atas. Kebiasaannya, masyarakat kaum Iban wajib untuk minum air tuak yang disediakan semasa upacara Gawai Sandau Ari.
Selain itu, haiwan lain yang akan digunakan untuk upacara Gawai Sandau Ari adalah seperti ayam tiga ekor yang terdiri daripada seekor betina dan dua ekor jantan. Satu daripada ayam jantan akan digunakan oleh masyarakat kaum Iban untuk upacara ‘berbiau’. Upacara ‘berbiau’ dilakukan oleh masyarakat kaum Iban semasa adat ‘miring’. Adat miring merujuk kepada upacara berdoa kepada Tuhan untuk meminta berkat. Masyarakat kaum Iban lazimnya melakukan upacara miring untuk meminta berkat terutamanya berkat mengenai permintaan dan untuk mendapat perlidungan daripada Tuhan mengenai sesuatu ancaman. Upacara pelaksanaan adat miring dilakukan oleh masyarakat kaum Iban yang mempunyai kepakaran dalam upacara ini. Kebiasaannya, upacara ini akan dikendalikan oleh lemambang. Lemambang merupakan antara orang yang pakar dalam mengendalikan upacara ini. Hal ini demikian kerana, upacara ini memerlukan disiplin yang tinggi untuk memastikan agar upacara ini berjaya dilaksanakan. Oleh hal yang demikian, lemambang tidak boleh melakukan sedikit kesilapan semasa melakukan upacara ini.
Peralatan Dan Tujuan Penggunaannya Semasa Gawai Sandau Ari
Isang
Peralatan ini dinamakan sebagai isang. Isang digunakan untuk menghiasi atau diletakkan di atas piring yang mempunyai ‘antu kepala’. Penggunaan Isang dalam masyarakat kaum Iban bukan sahaja semasa upacara Gawai Sandau Ari, tetapi masyarakat Iban juga turut menggunakan isang untuk membuat ketupat. Ketupat akan digunakan untuk membuat makanan tradisional kaum Iban.
Piring Antu Pala
Piring beserta dengan antu pala. Piring ini juga turut dihiasi oleh isang yang akan diletakkan di atas piring dan antu kepala. Antu pala merujuk kepada tengkorak manusia pada zaman ngayau atau zaman dahulu. Sebelum memulakan upacara miring semasa Gawai Sandau Ari, antu pala atau kepala manusia akan diletakkan di dalam piring dengan menabur beras di sekeliling bakul rotan.
Antu Pala Atau Kepala Manusia
Menurut kepercayaan masyarakat kaum Iban, antu pala atau kepala manusia diperolehi oleh masyarakat zaman dahulu atau ngayau zaman dahulu iaitu pada zaman nenek moyang mereka. Penggunaan antu pala atau kepala manusia semasa Gawai Sandau Ari adalah bertujuan sebagai simbol dan sebagai tanda penghargan kepada semangat tengkorak. Kebanyakan antu pala dapat dilihat di rumah panjang masyarakat kaum Iban di sekitar Sarawak.
Tentang Penulis
Jescinta Alice Matusinus adalah siswa Universiti Malaysia Sarawak dalam jurusan Sains Sosial dan Kemanusiaan (Antropologi dan Sosiologi). Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.