Menjelang 2024, sektor pengangkutan udara akan terus diberi tumpuan Kerajaan Perpaduan MADANI dalam memastikan salinghubungan udara yang baik di seluruh Malaysia.
Antara fokus utama untuk sektor udara bagi tahun hadapan ialah penyediaan subsidi perkhidmatan udara luar bandar berjumlah RM209 juta.
Subsidi ini akan memastikan perkhidmatan pengangkutan udara ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dapat diteruskan sebagai manfaat kepada penduduk desa di sana.
Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kepada para pelajar.
Inisiatif FLYsiswa ini dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 60,000 pelajar dari keluarga kurang mampu untuk penerbangan pada musim cuti atau perayaan khususnya.
Satu lagi fokus utama pengangkutan udara untuk tahun hadapan ialah projek naik taraf padang terbang Tioman yang dijangka menelan belanja RM47 juta.
Projek naik taraf ini antaranya melibatkan pemanjangan landasan sedia ada kepada 1,300 meter bagi membolehkan padang terbang Tioman menerima kehadiran pelbagai model pesawat.
Tahun 2024 juga bakal menyaksikan penambah baikan kemudahan Visa-On-Arrival (VOA), pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa (MEV) kepada pengunjung dari luar negara.
Penambah baikan ini dibuat bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara China dan India yang pastinya memberikan keuntungan pada sektor pelancongan dan perdagangan negara.
Kesemua fokus ini memberikan gambaran positif pembangunan sektor pengangkutan udara pada tahun hadapan selain memberikan impak yang baik kepada rakyat dan ekonomi negara secara keseluruhannya.