Malaysia adalah sebuah negara maritim di mana sebahagian dari Selat Melaka berada di bawah lingkungan sempadan laut kita dan Laut China Selatan pula memisahkan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Justeru pengangkutan sektor maritim adalah penting buat negara dan menjelang 2024, Kerajaan Perpaduan MADANI memberikan tiga fokus utama terhadap sektor ini.
Salah satu fokus utama sektor maritim adalah penyediaan geran padanan bersama Lembaga Pelabuhan Klang bernilai RM50 juta.
Geran padanan ini adalah untuk tujuan penyelenggaraan jalan Pelabuhan Klang serta menguatkuasakan had beban lebih muatan ke atas kenderaan berat.
Selain itu, satu lagi fokus utama pengangkutan sektor maritim pada tahun 2024 ialah cadangan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.
Pembangunan ini akan memperkukuhkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai National Load Centre dan seterusnya menjadi hab serantau.
Seterusnya bagi memastikan wujudnya tenaga mahir dalam bidang maritim, satu dana peruntukan berjumlah RM20 juta yang dikongsi bersama program kesenian dan aeroangkasa akan disediakan.
Dana ini akan membolehkan skim pinjaman pendidikan latihan maritim disediakan bagi melatih tenaga mahir dalam sektor maritim yang diperlukan negara.
Kesemua tiga fokus utama ini diharap dapat memperkasakan sektor pengangkutan maritim negara dalam kita mendepani cabaran masa hadapan.
Hubungan maritim adalah penting buat Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang juga terletak di laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang menghubungkan Timur dan Barat.