Fenomena ‘Mat Kilau’ Dan Modal Politik Nasionalisme Sempit

SAYA ada tiga bilah keris. Sebilah tajong lok 11 dari hulu sampai ke kasutnya kemuning hitam berdokok tembaga, sebilah lagi keris bugis lok 5 berpendok perak, dan sebilah lagi keris sepukal, hulu ayam patah tiga pakaian Kedah. Keris-keris ini saya jaga dengan rapi. Saya mandikan dan saya minyaki. Wangi semerbak meski hanya besi dan kayu. Yang sepukal itu malah berjaya dibuat berdiri. Hebat seimbang hasil tukangan orang Kedah.

Saya sebut ini siap-siap supaya ke‘Melayu’an saya itu tidak dipertikai, setelah menghadam apa yang akan saya sampaikan nanti. Risau juga saya orang salah erti. Orang Melayu sekarang bukan boleh. Sejak menonton filem fiksyen-sejarah setelah bertahun-tahun tak jejak kaki ke pawagam, ramai yang bertambah Melayu berbanding dua tiga bulan lalu. Salah sedikit, keris dialih ke kiri, ekor cicak dipusing hala ke atas.

Okay, mari kita mula.

Adapun halnya dengan filem fiksyen-sejarah (historical fiction) ini adalah ia memberi kebebasan kepada pengkarya untuk mengubah-ubah butiran sejarah supaya wayang yang mahu diterbitkannya itu sesuai untuk potongan tayangan – sekitar sejam setengah hingga dua jam.

Justeru, ada lah bahagian-bahagian bosan daripada kisah sejarah yang dikeluarkan, dan cerita-cerita rekaan tambahan pula disumbat untuk menambah warna serta perisa supaya filemnya itu boleh dijual kepada pawagam yang nanti akan mengambil untung lebih separuh daripada hasil jualan tiket.

Inglourious Basterds, karya Quentin Tarantino misalnya mengetengahkan watak-watak daripada sejarah Perang Dunia Kedua, namun dengan olahan cerita dan kesudahan yang berbeza. Di dalamnya ialah watak Hitler; yang menurut karya Tarantino dihabisi nyawanya oleh dua orang tentera Yahudi sehingga berkecai wajahnya, dalam sebuah panggung wayang yang sedang terbakar. Ternyata bersalahan langsung dengan fakta sejarah. Tapi filem itu laku bukan main lagi.

Filem yang kosnya itu hanya sekitar USD70 juta, mencatat pulangan box-office USD120.5 juta di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja, selain pulangan USD200.9 juta di seluruh dunia; dengan jumlah kutipan besar sebanyak USD321.5 juta. Entah apa lah amalan Quentin Tarantino sehingga begitu murah rezekinya.

‘Mat Kilau’ juga adalah satu contoh filem fiksyen-sejarah ini. Sekurang-kurangnya daripada apa yang telah diperkatakan orang. Itu sebabnya saya tiada berahi mahu menonton cerita ini, meski semangatnya itu kena betul dengan jiwa saya.

Dalam demikian banyak ‘reviu’ oleh para cerdik pandai Facebook juga saya menemukan ulasan bagaimana Mat Kilau sebenarnya tidak sepenuhnya jujur terhadap sosok tubuh tokoh pejuang itu sendiri. Antara yang paling awal menyebut tentang bagaimana Mat Kilau itu ibarat watak ‘The Flash’, sesuai gelarannya.

“Mat Kilau tu orang handal, sepelepah daun kelapa gugur, dia dah tahu berapa banyak regisnya.”

“Mat Kilau boleh pergi ke sesuatu tempat dengan cepat, dia boleh ghaib sekelip mata.”

“Mat Kilau kalau bertarung dia boleh bunuh dan libas sembilan orang musuh dengan parang dalam sekelip mata.”

“Mat Kilau pernah merampas seekor kucing dari mulut harimau dengan sekelip mata, dan menengking harimau itu.” (Fuh! Luarbiasa!)

“Pernah seekor lembu jatuh dalam telaga, Mat Kilau menaikkan lembu itu dengan sebelah tangannya sahaja.”

“Ketika Mat Kilau pergi ke Kuantan bersama menantunya, dia menyuruh agar menantunya balik dahulu kerana Mat Kilau ingin berjumpa Dato Bahaman, setelah menantunya sampai di rumah, Mat Kilau telah pun berada di rumah.”

Demikian serba sedikit cerita orang yang baru sekarang hangat disampaikan dari satu butang share ke satu butang share yang lain. Selama ini tak ada siapa pun yang peduli. Hanya apabila dipasarkan semula dalam bungkusan filem, dengan wajah-wajah tampan Adi Putra, Beto Kusyairy – hatta Fattah Amin yang dahulu dibilang pelakon kayu pun sekarang dipuji melambung; barulah cerita sejarah lisan dahulu kala ini semua timbul semula.

Sosok fiksional Mat Kilau yang dihidangkan melalui filem ini malah mengisi vakum kepimpinan umat Melayu. Lalu ramailah yang meluru ke pawagam dan bergabung menunggang trend terbabit, seperti membai’ah Al-Mahdi yang sudah begitu lama dinantikan kemunculannya. Demikian hebat sekali.

Namun yang menjadi persoalan hangat hari ini, meski tidak ditanya dengan lidah yang fasih, ialah: Apakah manfaat karya ini kepada fabrik masyarakat berbilang kaum?

Jawapan pendeknya, filem ini tidak menyumbang apa-apa kepada perpaduan nasional. Malah ia sebenarnya counter-productive kepada usaha membina sebuah masyarakat yang hidup dalam rukun damai tanpa syak wasangka terhadap satu sama lain.

Jawapan panjangnya tidak dapat saya surahkan kerana saya tidak menonton filem terbabit. Saya hanya dapat membuat kesimpulan daripada reaksi penonton yang berpusu-pusu ke panggung wayang, dan kemudian menulis pendapat mereka di media sosial. Adakah ini tidak adil kepada filem Syamsul Yusof? Mungkin ya. Tetapi yang ingin saya kritik ialah kesan sosial karya beliau, bukan karyanya.

Memperdagang Nasionalisme

Sebermulanya fenomena Mat Kilau itu ialah semangat filemnya yang membelai sensitiviti golongan yang disebut sesetengah perguruan sebagai ‘ada angin’. Yang kalau dengar bunyi serunai dan gendang rasa nak melompat pecah bunga. Kebetulan spesis kepala angin ini juga besar populasinya dalam masyarakat hari ini.

Titik lunak ini juga merupakan tempat serupa yang dibelai sekalian yang bergelar pemerintah sejak awal mula dalam rangka mengekalkan sempadan daulatnya; baik daripada segi ukuran demografi, geografi dan kelas ekonomi. Titik yang kalau diusik sahaja, menggigillah segala urat nadi mahu membuka langkah panglima.

Bukan tidak bagus. Bagus. Punya rasa sensitif yang tinggi itu bagus. Cumanya reaksi terhadap sensitiviti kadang kala tidak pernah bersukat. Lantas menimbulkan resah jiran tetangga yang berlainan keturunan, budaya dan sistem kepercayaan mereka; lantas membentuk prasangka terhadap segala yang bertanjak dan berkeris sebagai orang yang hanya mahu bertikam dan mencari gaduh.

Titik inilah yang digambarkan George Orwell sebagai nasionalisme dalam tulisannya yang tidak begitu dibaca orang. Nasionalisme dari sudut pandang Orwell seakan upaya membingkai manusia mengikut kategori seperti serangga, dan ia tidak semestinya sesuatu yang baik, malah boleh membawa mudarat jangka panjang.

Nasionalisme ialah soal identiti, jati diri – asal mana, keturunan apa, budaya bagaimana, pegangan agamanya, pakaiannya bagaimana, makan apa; semua ini seakan bakul-bakul berasingan untuk manusia memberi makna pada dirinya, dan kemudian cuba menyebar luas identitinya itu ke atas yang lain, atau paling tidak pun mempertahankan nilai-nilai tersebut hatta tercabut nyawa dari badan.

Sekurang-kurangnya begitulah gambaran Orwell dalam Notes on Nationalism; terbit pada 1945.

Kebetulan, nasionalisme ialah barang dagangan yang sangat laku. Jelas dapat dilihat dalam sukan bola sepak, misalnya. Atau dalam konteks perbincangan kita hari ini; industri perfileman.

Sebelum ada Mat Kilau, kita sudah terlebih dahulu pernah menonton filem ‘Ip Man’, kisah seorang mahaguru wing chun yang berperang melawan penjajah menggunakan ilmu seni bela dirinya. Lunyai mamat karate itu dibelasah Ip Man, sampai kita yang Melayu pun ikut bertepuk tangan rasa puas hati melihat penjajah ditumbuk bertalu-talu. Kemudian Ip Man belasah peninju Barat pula. Pun kita ikut tepuk tangan.

Ip Man ialah produk nasionalisme yang menjual identiti sebagai modal utama pemasaran filem terbabit, untuk menaikkan semangat warga tanah besar China agar menghargai perjuangan seorang mahaguru seni bela diri, mempertahankan maruah bangsanya daripada diinjak orang luar.

Filem Ip Man yang pertama mengutip USD22 juta. Ip Man 2, USD29.7 juta. Ip Man 3, USD157.3 juta. Ip Man 4, USD239 juta. Amalan apa pula yang dibuat penerbit Ip Man sampai begitu murah rezeki beliau?

Ternyata yang membuat francais Ip Man ini laku bukanlah sangat nasionalisme itu, tetapi aksi wing chun yang memukau. Sama halnya dengan Mat Kilau. Orang silat datang menonton silat, mesej lebih besar supaya melawan kejahatan dan kezaliman dikaburi nasionalisme Melayu yang meluap-luap. Alangkah rugi.

Pokoknya menjual nasionalisme itu ialah perniagaan yang amat menguntungkan. Lihat sahaja bagaimana Umno menjual nasionalisme selama berdekad lampau, dan sekarang perniagaan itu disambut pula mantan-mantan pejuang reformasi dalam parti bunga raya.

Tetapi upaya menjual nasionalisme dengan bungkusan perkauman sempit seperti yang kita lihat dalam ‘fenomena’ Mat Kilau ini, tentunya tidak membawa faedah kepada sebuah masyarakat berbilang kaum yang pada hari ini sedang berdepan demikian banyak ancaman untuk meleraikan fabrik sosial yang begitu cantik tenunannya. Secantik tanjak songket bangsawan yang menjadi pakaian orang kebanyakan berbusana ke panggung wayang kononnya untuk menjulang syiar alam Melayu.

Maka apa pengajaran yang boleh kita peroleh daripada ‘fenomena’ Mat Kilau ini?

Entahlah. Bagus sebenarnya melihat orang ramai mula meminati ilmu dan seni mempertahankan diri. Namun kebimbangan kita ialah apabila gerak untuk menentang kejahatan dijadikan modal untuk tunjuk jaguh mengingatkan siapa tuan di negeri ini. Ini langsung tidak memberi manfaat kepada usaha perpaduan negara, malah tambah menyulam benci.

Justeru apabila melihat bagaimana sebuah filem cuba dijadikan modal politik pedagang nasionalisme; saya jadi menyampah. Sudah tiada upaya lainkah untuk membina persefahaman antara kaum hingga mereka memutuskan untuk bakar sahaja semuanya sekali? Amatlah malang negeri ini. Pemimpinnya jahat, pengikutnya tuli.

(Artikel tulisan saudara Izmil Amri ini asalnya diterbitkan di Imani dan diterbitkan kembali dengan izin)

Komen