MASALAH pembalakan bukanlah satu permasalahan yang asing buat negara kita, khususnya negara kita yang kaya dengan sumber alam flora dan fauna dan juga khazanah yang tidak ternilai harganya seperti kayu jati, cengal, meranti dan sebagainya. Hutan di negara kita menjadi habitat kepada kehidupan yang tinggal di dalamnya dan dan juga turut berperanan dalam perseimbangan ekosistem di dalam negara agar persekitaran negara kita sentiasa terjamin dengan baiknya.
Pembalakan dapat didefinisikan sebagai penebangan, pemotongan, pemprosesan kayu balak dan dimuatkannya di atas lori. Istilah ini sering digunakan di dalam perindustrian terutama sekali berkait dengan logistik iaitu memindahkan pokok kayu tunggul ke luar kawasan hutan terutama sekali, kilang gergaji atau kilang papan. Namun demikian istilah secara umumnya digunakan di dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan hutan. Aktiviti pembalakan sudah menjadi kebiasaan di negara kita ekoran daripada pembangunan negara mengalami perkembangan dari tahun ke tahun dan menyebabkan aktiviti pembalakan semakin berleluasa.
Bagi definisi pembalakan haram pula ia merujuk kepada aktiviti pencurian kayu balak di dalam hutan, ia juga turut dirujuk sebagai penebangan, pembelian atau penjualan balak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang ekoran tidak mempunyai permit kebenaran, menebang spesis pokok yang dilindungi dan menebang balak dengan melampaui had yang dipersetujui. Negara Malaysia menurut Global Forest Watch (GFW), telah kehilangan sebanyak 8.39 juta hektar daripada keluasan hutan sejak bermula tahun 2001 hingga tahun 2020, iaitu telah mengalami pengurangan keluasan hutan sebanyak 29% berbanding tahun 2000. Negeri Sarawak telah mencatatkan pengurangan kawasan hutan sebanyak 3.04 juta hektar. Bagi negeri Sabah dan Pahang pula telah mengalami pengurangan keluasan hutan sebanyak 1.67 juta hektar dan 1.15 juta juta hektar bermula pada tahun 2001 hingga tahun 2020. Statistik ini jelas menunjukkan pembalakan di negara sangat aktif dan makin mengalami ketandusan hutan jika tidak dikawal dengan baik.
Antara salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya pembalakan haram adalah permintaan tinggi terhadap kayu-kayan negara. Malaysia memiliki pelbagai jenis pokok dan kayu balak yang berkualiti tinggi. Hal ini menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi daripada negara luar dan memberi nilai yang tinggi sebanyak RM22.02 billion pada tahun 2021 sekaligus meletakkannya di dalam komoditi yang utama dalam pasaran negara. Jelas menunjukkan pasaran kayu kayan daripada negara kita mendapat sambutan daripada negara luar terutama di dalam industri pembuatan perabot, pembinaan dan lain-lain lagi yang menyebabkan berlakunya aktiviti pembalakan haram yang kian lama kian meningkat.
Selain itu, kepesatan industri pelancongan merupakan faktor berlakunya pembalakan haram, disebabkan jumlah kedatangan pelancong yang semakin meningkat dari tahun ke tahun masuk ke dalam negara. Maka, pembangunan dan infrastruktur perlu dipertingkatkan sebagai contohnya jalan raya yang akan memudahkan lagi perhubungan dari sesuatu tempat ke sesuatu tempat. Perkara ini bukan sahaja akan menyebabkan pengurangan keluasan hutan bahkan juga akan menyebabkan berlakunya insiden seperti tanah runtuh, banjir dan lain-lagi akibat daripada aktiviti pembalakan haram ekoran industri pelancongan yang semakin pesat.
Amalan rasuah dan penyelewengan kuasa daripada kalangan penjawat awam juga menjadi punca pemesatan aktiviti pembalakan haram. Perkara ini dapat dilihat apabila penggunaan jentera besar dan pemuatan kayu-kayu balak daripada lori sering berulang alik dari kawasan hutan namun tidak diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa. Apabila perkara ini dibiarkan begitu sahaja, penerokaan hutan simpan yang menjadi tempat pemuliharaan spesis pokok akan terancam dan lama-kelamaan keluasan hutan dan bilangan pokok akan semakin berkurangan di dalam negara.
Bagi menangani permasalahan ini daripada berlaku pihak kerajaan dan juga pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti pembalakan haram. Sebelum ini, akta bagi kesalahan melakukan aktiviti pembalakan adalah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah. Maka dengan itu, akta tersebut perlu dikaji semuala dan memperkasakan hukuman yang lebih berat kepada individu-individu yang melakukan kesalahan pembalakan haram supaya aktiviti tersebut tidak akan berleluasa di negara ini.
Di samping itu pihak kerajaan perlu memperbanyakkan pewartaan hutan simpan kekal di setiap negeri. Hal ini adalah bagi memastikan faedah dan kepentingan kepada generasi muda pada masa yang akan datang, Pewartaan hutan simpan kekal ini di bawah kuasa kerajaan negeri, maka dengan itu semua pihak perlu mengambil bahagian dan peranan supaya menggesa pihak yang ada kuasa untuk mewartakan hutan simpan kekal supaya sentiasa dipelihara dengan baik dan menjamin ekosistem yang baik kepada negara.
Selain itu, kempen kesedaran perlu diperkasakan bagi menangani permasalahan pembalakan haram ini. Semua pihak perlu memainkan peranan di dalam perkara ini, sebagai buktinya pihak jawatankuasa kampung (JKK) perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menggesa pihak yang berwajib untuk segera mengambil berat tentang isu pembalakan haram. Oleh hal yang demikian, semua lapisan masyarakat akan mengambil berat dan cakna tentang isu pembalakan haram ini dan dapat memelihara hutan daripada diancam.
Kesimpulannya, aktiviti pembalakan haram ini jelas memberi impak yang negatif kepada masyarakat dan juga negara. Setiap pihak dan juga lapisan golongan masyarakat perlu bekerjasama membanteras aktiviti ini daripada berleluasa dalam memastikan hutan sentiasa dijaga dengan baik bagi memastikan ekosistem di dalam negara akan terjamin buat generasi yang akan datang.
(Artikel ini adalah hasil tulisan saudara Muhammad Afiq Adnan Ahmad Basri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.