Endorsement: Mohd Shafie Apdal

Bagaimana, dua orang panglima yang bertempur menentang kejahatan akan berakhir? Seorang menjadi petualang bangsa. Seorang yang lain muncul sebagai perwira nipohingi di Timur.

Kita tidak akan berbicara mengenai petualang bangsa. Dia percaya dirinya bapa atau abah, betul semua. Senjatanya bukan lagi kenekadan melawan penyelewengan. Akan tetapi pelurunya agama, bermuncung doa dan sujud; supaya umat percaya.

Kita akan berbicara mengenai panglima. Kerana siapa sangka panglima demokrasi tanahair datang dari tempat yang tidak terjangka.

Di luar negara, ada satu tradisi yang dilakukan – bukan kemestian – tetapi jika perlu dibuat, ia akan diperbuat dengan sengaja. Seseorang sasterawan akan melontarkan sokongan, persetujuan, pengesahan ikrar atau pengiktirafan untuk seseorang pemimpin yang dirasai bermakna untuk umat.

Toni Morrison misalnya melakukan untuk Bill Clinton pada tahun 1998 di dalam The New Yorker. Sekali lagi melakukannya untuk Barack Obama pada tahun 2008. Memang Morrison dikritik kerana mengangkat Clinton kemudiannya. Namun, satu pengiktirafan akan kekal sebagai satu pengiktirafan, paling tidak untuk tempoh itu. Ini kerana pengesahan daripada seorang sasterawan tanpa gelar sangat membantu. Mungkin bukan di kotak undi. Namun tercatat dalam buku sejarah.

Saya bukan Sasterawan Negara. Akan tetapi siapa memerlukan mereka kalau mereka kekal bisu? Saya juga bukan penerima Hadiah Nobel seperti Morrison. Itu tidak menghalang kuasa seni saya untuk mengangkat.

Saya ada sejumlah tukangan seni dan karya. Saya berbangga dengannya. Di karya-karya ini – kertas dakwat dan kata-kata – saya ingin menyatakan di sini:

Mohd Shafie Apdal. Shafie. Apdal. Unungta Shafie Apdal.

Mengapa dia? Saya pernah membaca beberapa kali, dan saya percaya Shafie nekad begitu. Katanya Shafie, dia tidak akan hanya menanami negeri dengan sawit tanpa memikir nasib hutan demi bumi dan generasi. Itu bahagian yang sasterawan patut suka.

Shafie, datang dari Simporna, sebuah daerah indah yang dijoloki penjajah Inggeris – W.M Crocker sebagai tempat untuk berehat – ternyata Semporna, dan seisi Sabah merupakan medan tempur. Berpencaklah dengan daging, tulang dan urat.

Shafie bersekolah di Semenanjung, kemudian belajar jauh di tanah Inggeris, tetapi dia pulang. Kekuatan Shafie ialah dia pulang untuk berperang. Dia tidak berperang di tempat orang, di permatang jauh. Tidak juga di pelabuhan lain, memaksa kubu sedia ada agar beralah untuknya. Tiada kedengaran langkah khas untuknya memanjat tangga kuasa.

Dia pulang ke kota maritim sendiri, di Semporna. Sebermula pada tahun 1982 sebagai pegawai di Kementerian Kewangan Negeri Sabah, atau melatih diri dengan akur di bawah naungan Tun Sakaran Dandai. Shafie bukan melatih diri sebagai siswa bercakap banyak, terjun dalam badan bukan kerajaan atas nama Islam dengan temberang kosong sebelum melompat bertenggek dalam wadah keramat. Dia berlatih dengan bekerja. Kita tahu dia bekerja. Shafie Apdal.

Di Kementerian Penerangan pada 1995 sehingga 1999 dia bermula selaku Setiausaha Parlimen. Dia di bawah, menjadi timbalan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kemudian di Kementerian Pertahanan antara 1999 sehingga 2004. Dia juga pernah di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari 2004 santak 2008. Sebagai Menteri Perpaduan Nasional dan Kebudayaan buat setahun, dan menjaga Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 sehingga 2015. Dia bekerja. Kita tahu dia ada pengalaman bekerja. Dia pergi bekerja, dan pulang untuk bertempur. Dia tidak meninggalkan permatang sendiri untuk bergasak di pelabuhan milik orang. Dia berpencak dengan daging, tulang dan urat.

Saat dia dibuang 2016, dia pulang untuk bertarung di Sabah. Dia tidak memerlukan mana-mana pahlawan yang mundur untuk dirinya mengisi. Shafie bukan untuk mengisi tempat kosong. Dia lantang tanpa perlu meneran suara garau. Dia tidak memerlukan sengau dalam khutbah. Dia berpencak dengan daging, tulang dan urat. Ingat, bukan di tempat orang. Pada tahun 2018, dia berjuang dengan berani di tempat yang sama, sejak 1995. Dia berpencak dengan daging, tulang dan urat.

Ketika PRU ke-9 dia melawan Sabardin Ombrah. Ketika PRU ke-10, dia mengatasi bergaya Abdul Rahim. Ketika PRU ke-11 getir kian terasa, dia berdepan lima lawan. Sejarah lampau di zaman USNO, pertembungan dinasti Abdullah Uddang dan Jakarullah Boraluddin kembali. Shafie perlu menewaskan empat lawan ditambah Madjalis Lais dari kapal Jakarullah. Dia menang. Dia berpencak dengan daging, tulang dan urat. Perlawanan itu berdarah. Shafie menerima percik lecak polisi Ketua Menteri Sabah Chong Kah Kiat yang tidak popular. Pun dia tidak meninggalkan permatang untuk berlawan di pelabuhan lain, dengan langkah-langkah yang memaksakan orang beralah. Shafie tidak perlu memanjat orang untuk naik. Meski berdarah, bog bog mulai kuat bersipongan.

Pada PRU ke-12, Shafie berdepankan Abdul Aziz Abdul Hamid, dia juara. Pada PRU ke-13 Shafie juga mengatasi, di atas Dr Zamree dan Datu Badaruddin Datu Mustapha. PRU ke-14 itu merupakan medan nekad untuk Shafie. Dia melawan sekutu tidak dengan aman. Dia bahkan melawan ahli keluarga sendiri. Dia perlu melakukannya, menang; atau terkorban dengan berani.

Semua itu mendatangkan hormat saya. Nilai Shafie bukan untuk kampungnya sahaja.

Dia orang luar tradisional (traditional outsider) yang diperlukan di Semenanjung juga. Saudara Sabah, politik kerja sentiasa berkhidmat semporna, bukan pintu sengketa menerjang masuk agar dapat meratah memperkosa. Beringatlah, jambang janggut 46 helai bukan bermakna insaf; malah bertambah ligat. Jangan juga percaya politikus menggeliat di perkarangan masjid mengejar-ngejar Sang Tua. Berpencaklah bersama-sama Shafie dengan daging, tulang dan urat.

Saudara Sabah, bangkit! Di negeri hujung kalian, ada langkah petualang terkunci oleh nekad genderang perang, paluan jerit panjang dan kita rakyat di barat sedang menjadi saksi mata. Shafie melakukannya dengan tekad. Kita di sini menuntut saudara nun di sana sila ajari mereka. Samudera khianat sedang badai menggelora, mujur ada sebuah pinisi warisan, di atas gelombang rakyat. Di Semenanjung, teratai sebenar di kolam tidak dapat kami pegang direnyuk sekumpulan binatang politik. Ini kerana ada politikus yang menatang madu tetapi menjamu racun. Ingat, saudara di Sabah; rakyat itu sakral dan binatang politik itu jengking menyengat. Lebih afdal, berpencaklah dengan daging, tulang dan urat, bersama-sama Shafie.

Saudara Sabah, kemboja demokrasi jangan biar luruh dedaun dan bunganya di atas tanah perkuburan yang belum sepi. Jangan biar politikus menari di atas kubur kami di Semenanjung. Khianat menjadi-jadi di sini. Setia tidak harus diam, setia juga harus riuh. Berpencaklah dengan daging, tulang dan urat. Seeloknya bersama-sama Shafie anak 1957.

Saudara Sabah, bangkit! Jangan jadi kami; sudah membaca talkin untuk demokrasi kerana yang tinggal demikerusi. Di sana, kalian roh belum mati, hinggap di Kota Kinabalu jangan kalian biarkan tidak disambut. Petualang akan menyanyi. Gula-gula jadi sumbu undi. Juga, gerimis ringgit, lebat janji materi akan geger gugur mencucur di atap rumah kalian. Jangan terpengaruh nafsu, kami merayu. Berpencaklah dengan daging, tulang dan urat.

Saudara Sabah, bangkit! Ada benteng dendam belum musnah dan kubu putus asa tidak dapat bertahan. Panglima perang semua sedang berpedang, ada yang mengacu mencucuk halkum. Jangan ikut si pemabuk dari selatan semenanjung. Nafsunya yang mengambang menggerhanai demokrasi, dia gila demikerusi. Lintas dan susurlah jalan denai penuh makar. Usah biar mereka memperkosa mandat semahunya. Berpencaklah dengan daging, tulang dan urat. Shafie Apdal.

Saudara Sabah, bangkit! Terdapat binatang politik; jangan dipercayai janji binatang ini; masih ingat dia berenang dalam kolam ketika kalian menangis ditutuh payah ekonomi saat PKP. Ingatlah, dewan milik rakyat itu mihrab kita yang sudah diselet-selet najis kuasa. Kata-katanya konon aman aman tetapi berkarat. Bertapislah janji celaka. Berpencaklah dengan daging, tulang dan urat.

Saudara Sabah, bangkit! Sungguh saya bukan Sasterawan Negara. Akan tetapi siapa memerlukan mereka kalau mereka kekal bungkam tidak berkata-kata? Saya juga bukan penerima Hadiah Nobel seperti Morrison. Itu tidak menghalang kuasa seni saya ini untuk mengangkat. Mendiang melakukannya di The New Yorker, saya mengikrarkannya di Solidaritas.

Saya ada sejumlah tukangan seni dan karya. Saya berbangga dengannya. Di karya-karya ini yakni pada kertas ,dakwat dan kata-kata, saya suka dan bangga menyatakan di sini:

Mohd Shafie Apdal. Shafie. Apdal. Dan sekutu.

Unungta Shafie Apdal. Hero demokrasi. Kita berhasrat membina nusa, bukan untuk satu bangsa dan agama. Ayuh Sabah, nafikan politikus demikerusi, bangkit untuk demokrasi.

 

Glosari

Nipohingi – Seseorang yang dianiaya dari belakang oleh orang lain bagi tujuan menggulingkannya, dialek Bajau Semporna.

Unungta Shafie Apdal – Berjuang bersama Shafie Apdal ketika susah dan senang.

Bog Bog – Solidariti dan persahabatan.

Komen