EMPAT NEGARA SERUMPUN METERAI MOU HALAL

Baru-baru ini telah berlangsung Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) ke-20 yang berlangsung di Singapura.

MABIMS ke-20 tersebut telah berlangsung dari 15 hingga 16 November dan dipengerusikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ia turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ustaz Awang Badaruddin Othman; wakil Menteri Agama Republik Indonesia, Encik Saiful Rahmat Dasuki; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; dan Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Dr Othsman Hassan, selaku negara pemerhati.

Susulan dari mesyuarat tidak rasmi itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) Halal telah ditandatangani oleh menteri agama keempat-empat negara serumpun tersebut.

MOU Halal tersebut melibatkan pertukaran maklumat dan kepakaran dalam bidang pensijilan halal, serta pertukaran hasil penyelidikan dan kajian aspek Syariah, sains dan teknikal.

MOU Halal ini tepat pada masanya ketika sektor berkaitan Islam, halal dan mesra Muslim dijangka bernilai RM35.7 trilion menjelang tahun 2025.

MOU Halal antara Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Kementerian Agama Republik Indonesia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Ugama Islam Singapura juga mencerminkan adanya persefahaman dan ikatan yang erat di dalam pembangunan bidang halal di antara negara anggota MABIMS.

Ia juga menandai betapa syiar Islam terpelihara di kalangan negara serumpun dan rantau ASEAN serta memungkinkan akses mudah kepada produk halal di rantau ini.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah MABIMS ke-21 pada tahun 2025.

Komen