EMPAT LANGKAH INTERVENSI DRASTIK KERAJAAN BERKAITAN ISU BERAS

Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia justeru majoriti merasakan ia sepatutnya berharga murah dan mampu dibeli oleh setiap lapisan rakyat.

Malaysia menghasilkan sekitar 1.5 juta tan beras tempatan setiap tahun dan jumlah ini menyamai kadar sara diri (SSR) sekitar 65%.

Dengan penggunaan per kapita untuk beras pada kadar 79 kg untuk setiap seorang (2021), negara perlu mengimport beras dari pasaran luar bagi menampung selebihnya keperluan beras negara.

Namun kenaikan harga komoditi global akibat sekatan eksport dan perubahan iklim telah melonjakkan harga beras import di pasaran dengan kenaikan antara RM32 hingga RM44 bagi paket 10 kg.

Justeru demi meringankan beban rakyat yang memerlukan bekalan beras pada harga munasabah, kerajaan telah melaksanakan empat langkah intervensi drastik berkaitan isu beras.

Langkah pertama adalah pemerkasaan edaran Beras Putih Tempatan (BPT) melalui FAMA di pinggir bandar dan luar bandar bagi memastikan bekalan BPT tidak terputus.

Kerajaan juga akan menyerap harga Beras Putih Import (BPI) untuk Sabah dan Sarawak bagi memastikan harga BPI tetap pada kadar RM31 setiap 10 kg.

Selain itu kerajaan juga akan mengubah terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi kerajaan dengan beralih ke BPI bagi memastikan permintaan BPT dapat dikurangkan.

Langkah intervensi drastik terakhir pula adalah melalui OP BPT melibatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua peringkat rantaian BPT bagi mencegah penyelewengan BPT yang menjejaskan bekalan.

Empat langkah intervensi drastik ini adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terhadap situasi beras yang menjejaskan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Komen