‘Ebitlewsasi’ Politik Kita

Saya ada satu pendapat yang tidak popular.

Wakil rakyat, baik di parlimen atau dewan undangan negeri, tidak sepatutnya menjadi ‘pegawai kebajikan’ dan turun padang atau bertandang rumah ke rumah memberikan bantuan.

Wakil rakyat sepatutnya berfungsi menjalankan tugas seperti pada nama pekerjaan mereka sendiri, iaitu wakil kepada rakyat bagi membawa permasalahan rakyat dalam kawasan parlimen atau dewan undangan negeri mereka. Permasalahan ini boleh sahaja dalam isu-isu besar, seperti keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau hal darurat atau pandemik Covid-19, atau juga isu-isu kecil seperti longkang tersumbat atau bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Namun semenjak kebelakangan ini wakil rakyat sudah berubah wajah menjadi ‘pegawai kebajikan yang dimuliakan’ (glorified welfare officer). Mereka kini dilihat sibuk menjalankan kerja-kerja kebajikan atau amal, seperti mengumpul dana untuk mengedarkan komputer riba, membantu ibu tunggal yang dihalau keluar dari rumah sewa atau membelikan motorsikal kepada seorang penghantar makanan yang sebelum ini hanya berbasikal.

Saya beranggapan perubahan wajah ini mungkin bertitik tolak dari keadaan parlimen dan dewan undangan negeri yang kini digantung akibat darurat. Tetapi saya percaya ada juga faktor lain yang menjerumus kenapa wakil rakyat kini menjadi ‘pegawai kebajikan yang dimuliakan’.

Impak Ebit Lew Dan Kecetekan Pemahaman Politik

Faktor yang saya maksudkan ialah impak dari kerja-kerja kebajikan yang diusahakan oleh filantropis ternama, Ebit Lew.

Sejak sekian lama, Ebit Lew adalah individu yang terkehadapan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Beliau pernah menyediakan sebuah rumah untuk satu keluarga yang selama ini berumahkan kereta, membelikan motorsikal untuk seorang remaja bekerja malahan pernah membelikan kereta untuk kegunaan seorang ibu menghantar dan mengambil anaknya pulang sekolah. Ebit Lew juga pernah mencater kapal terbang untuk menghantar bantuan ke Sabah dan di sana, beliau dilaporkan berjaya mengIslamkan sekampung suku Bajau Laut dengan hanya sekali lafaz syahadah.

Hebatnya Ebit Lew dalam menghulurkan bantuan kepada golongan rentan mewujudkan satu rasa kagum di kalangan rakyat. Pada pandangan umum, Ebit Lew telah berjaya melaksanakan apa yang selama ini kerajaan atau pihak bertanggungjawab lain gagal lakukan. Maka di kalangan rakyat mereka memandang tinggi Ebit Lew sebagai contoh pemimpin yang rakyat tagihkan.

Dalam  masyarakat yang masih tebal feudal-nya dan mungkin tidak tahu istilah seperti poverty porn (pornografi kemiskinan), Ebit Lew dan usaha beliau secara mudahnya dimuliakan. Pemuliaan ini hingga sampai ke peringkat beranggapan bahawa Ebit Lew sepatutnya menjadi ahli politik dan wakil rakyat kerana hebatnya usaha-usaha beliau dalam membantu golongan rentan dengan pendakatan yang sungguh luar biasa. Maksud saya, siapa sahaja yang mampu berbuat sehingga menyewakan rumah atau membeli kereta untuk penerima bantuan?

Lantaran, bukan sedikit yang percaya Ebit Lew sepatutnya menjadi wakil rakyat atau sebaliknya, berpandangan bahawa semua wakil rakyat patut mencontohi Ebit Lew.

Pandangan sebegini tidaklah salah. Tetapi ia jelas menunjukkan kecetekan pemahaman politik di kalangan rakyat. Kerana apabila kita berpandangan Ebit Lew calon terbaik menjadi wakil rakyat atau setiap wakil rakyat perlu mencontohi Ebit Lew, ia membuktikan bahawa kita sebenarnya tidak faham apa fungsi utama wakil rakyat.

Wakil Rakyat Bukan ‘Pegawai Kebajikan Yang Dimuliakan’

Tugas utama seorang wakil rakyat bukanlah sebagai pegawai kebajikan yang memberikan bantuan, atau dalam kes lain menyelesaikan masalah seperti jalan berlubang atau longkang tersumbat.

Saya tidaklah menafikan hak wakil rakyat untuk melibatkan diri dalam hal sedemikian, tetapi tugas-tugas ini lebih baik diurus oleh pegawai kebajikan dalam mengenal pasti penerima dan menyampaikan bantuan, atau oleh ahli majlis untuk masalah jalan berlubang dan longkang tersumbat tadi.

Sebaliknya fungsi utama wakil rakyat yang dilantik ialah sebagai penggubal undang-undang dalam badan legislatif. Kita mengundi wakil rakyat setiap lima tahun supaya menjadi wakil suara kita di dalam parlimen atau dalam dewan undangan negeri. Mereka sepatutnya menjadi wakil kita dalam merangka dan melaksanakan polisi.

Sebagai penggubal undang-undang, wakil rakyat membawa aspirasi pengundi untuk diusulkan, dibahaskan dan diluluskan oleh parlimen atau dewan undangan negeri. Maka kayu ukur kebolehan seorang wakil rakyat perlu dinilai dari kehadiran beliau ke dalam dewan, penglibatan beliau dalam perbahasan dewan dan pendirian yang diambil oleh wakil rakyat tersebut. Kerana ini adalah tugas hakiki mereka, jika tidak kenapa wakil rakyat diberikan kekebalan dari tindakan undang-undang atas segala apa yang dituturkan beliau di dalam dewan, melainkan untuk membantu beliau melakukan tugas dengan lancar.

Ini key performance indicator yang perlu kita ukur terlebih dahulu jauh mengatasi sebanyak mana bantuan yang dihulur wakil rakyat atau sebanyak mana masalah setempat yang diselesaikan beliau. Jauh sekali hendak mengukur berapa banyak kenduri dihadiri wakil rakyat, berapa kali ceramah agama disampaikan beliau atau berapa kali hadir terawih atau berapa kali mentahnik bayi.

Sekali lagi, tidaklah saya menafikan peranan-peranan lain yang boleh dimainkan oleh wakil rakyat, tetapi itu semua adalah bonus atau tugas sampingan yang hanya boleh diambil kira setelah kita mengukur sejauh mana penglibatan beliau dalam menjalankan tugas penggubal undang-undang.

Namun di dalam masyarakat yang cetek pemahaman politik, tidak ramai yang faham fungsi utama wakil rakyat. Atas sebab itulah dalam negara kita lebih ramai yang menulis mohon bantuan dari wakil rakyat berbanding yang menulis untuk melobi wakil rakyat agar mengambil pendirian sekian dalam isu sekian.

Kerana kita tidak didedahkan dengan pendidikan politik sewajarnya untuk benar-benar faham fungsi wakil rakyat, peranan penggubal undang-undang atau konsep pembahagian kuasa yang mewujudkan badan legislatif sebagai semak dan imbang kepada badan eksekutif.

‘Ebitlewsasi’ Politik Kita

Oleh kerana kecetekan pemahaman politik tadi, sebahagian besar masyarakat menganggap tugas wakil rakyat adalah sebagai ‘pegawai kebajikan yang dimuliakan’ selain memenuhi tuntutan ziarah KBSM iaitu Kahwin, Bersalin, Sakit dan Mati. Persetankan hal seperti menggubal undang-undang, merangka dan melaksana polisi kerana majoriti tidak tahu pun bahawa itulah peranan besar wakil rakyat yang mereka undi.

Kerana tanggapan sedemikian, maka rata-rata rakyat meletakkan jangkaan wakil rakyat mereka dalam menjadi ‘pegawai kebajikan yang dimuliakan’ harus mencapai penanda aras seperti yang ditetapkan oleh filantropis tersohor, Ebit Lew. Oleh sebab Ebit Lew sudah mencapai tahap kedewaan seperti menyewakan rumah atau membelikan kereta, maka ramai juga yang percaya setiap wakil rakyat hendaklah berusaha untuk mencapai maqam sedemikian.

Tekanan dan jangkaan masyarakat ini sedikit sebanyak mempengaruhi wakil rakyat kita sendiri. Maka ramailah wakil rakyat yang kita lihat berkejaran memberi bantuan apabila tular sahaja kisah ada orang susah dalam kawasan parlimen atau dewan undangan negeri wakil rakyat tersebut. Jika tidak berkejaran, nanti dituduh pula tidak buat kerja.

Oleh kerana hal memberi bantuan ini sudah menjadi jangkaan masyarakat, melakukannya akan memberi political points kepada wakil rakyat yang jauh lebih besar dari hadir dan bersuara dalam parlimen. Ia juga jaminan untuk wakil rakyat diundi sekali lagi dalam pilihan raya akan datang. Maka demi memastikan wakil rakyat dilihat ‘buat kerja’, segala aktiviti menghulur bantuan perlu didokumentasikan dan ditularkan yang secara tidak langsung sebenarnya menjerumus kepada isu poverty porn.

Inilah pada pandangan saya kemuncak pada ‘Ebitlewsasi’ politik kita. Saat apabila semua wakil rakyat mahu dilihat seperti Ebit Lew oleh pengundi mereka demi menjamin peluang diundi sekali lagi.

Untuk berlaku adil, saya tidaklah memilih untuk meletakkan kesalahan ini bulat-bulat kepada wakil rakyat yang sudah bermazhabkan idea ‘Ebitlewsasi’ ini. Kita perlu faham, ini kehendak dan jangkaan rakyat yang cetek pemahaman politik. Kita juga perlu ambil kira faktor bahawa parlimen dan dewan undangan negeri kini digantung oleh kerajaan PN melalui Ordinan Darurat, sekaligus mengakibatkan wakil rakyat kita tidak dapay melaksanakan tugas utama mereka.

Tetapi jika ‘Ebitlewsasi’ ini dibiarkan berterusan dan terus subur di kalangan wakil rakyat dan politik kita, saya gusar jika satu hari nanti kita bakal ketandusan wakil rakyat yang boleh menjadi penggubal undang-undang, perangka dan pelaksana polisi yang baik serta boleh mengusul dan membahaskan isu-isu pokok yang wajar dalam pembentukan masa depan negara.

Sebaliknya, yang kita dapat hanya wakil rakyat sekadar ‘pegawai kebajikan yang dimuliakan’ dan hanya tahu memenuhi tuntutan ziarah KBSM yang dikongsikan di media sosial seperti Ebit Lew lagaknya.

Ini tuan puan, bahaya ‘Ebitlewsasi’ politik kita.

Komen