Tahukah anda, punyalah hancing Kerajaan Pakatan Harapan ini sampaikan bila mereka beri RM30 pun rakyat tidak percaya. Dikatakannya ini salah satu teknik halus untuk mencuri data peribadi kita. Jadi tadi selepas tepuk dahi sebanyak 30 kali saya pun terus tulis tentang ini.
Dalam Bajet 2020 yang sudah menteri kira-kira kesayangan kita telah mengumumkan pemberian RM30 secara one off kepada rakyat Malaysia yang layak dalam program e-wallet. Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM450 juta dari kerajaan.
Peruntukan ini disalurkan terus ke Khazanah Nasional iaitu sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah kerajaan. Dan Khazanah Nasional telah memilih 3 pengendali perkhidmatan e-wallet terbesar iaitu Boost, Touch n Go dan Grab untuk mengendalikan pemberian ini.
RM450 juta ini bukan masuk ke syarikat tersebut tetapi diberikan kepada pengguna yang dijangkakan seramai 15 juta orang. Proses ini dikelolakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Khazanah Nasional. Yang paling untung dalam program ini sebenarnya adalah kedai yang menyediakan perkhidmatan e-wallet. Proses ini diharap dapat menjana ekonomi mereka.
RM30 ini adalah sebagai kickstart dan promosi rakyat untuk menggunakan e-wallet. Bukan bantuan sara hidup. Kerajaan nak move on dari menggunakan tunai ke nirtunai (bebas tunai) sebagai langkah persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.
Negara-negara maju sudah lama mengguna pakai sistem ini. Lagi canggih siap bayar barang pakai imbasan muka sahaja. Sementara kita pula baru nak bertapak untuk mempersiapkan diri menghadapi Revolusi Industri 4.0.
Kerajaan minta data hanya untuk tujuan pengesahan dan saringan kepada mereka yang berkelayakan. Ia juga untuk elakkan pihak tertentu ambil kesempatan dan supaya duit itu sampai terus kepada golongan sasaran. Kalau kerajaan mahu curi data tidak perlu bazir RM450 juta. Kerajaan boleh minta terus dengan JPN. Semua data kau ada di situ. Kerajaan mahu dedah kau mengundi siapa PRU lepas pun boleh.
Tahu atau tidak, Boost di bawah Axiata dan Touch n Go di bawah CIMB. Kedua perkhidmatan ini di bawah Khazanah Nasional. Begitu juga Grab, Khazanah Nasional sebagai antara pemegang saham. ASB yang anda melabur pun di bawah Khazanah Nasional. Mereka tidak perlu nak guna cara ini untuk dapatkan maklumat peribadi anda.
Dalam dunia yang bergerak ke Revolusi Industri 4.0 ini kau sendiri sebenarnya yang dedahkan data kau melalui swafoto, check in lokasi, Twitter, Facebook, pemindahan dalam talian dan lain-lain lagi aktiviti yang kau buat tanpa sedar. Begitu juga dengan setiap perjanjian dan pengakuan yang kau tandatangani semasa mohon pinjaman, BR1M, daftar akaun bank dan pelbagai urusan lain lagi yang memang menggunakan data peribadi.
Negara kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) yang mana data anda disimpan rapi dan boleh dikenakan hukuman jika didedahkan sewenangnya. Seluruh agensi di Malaysia tidak kira sektor apa pun perlu patuh pada APDP ini.
Anda boleh saja untuk tidak bersetuju dan membangkang dalam apa perkara. Tapi mohon agar ia dilakukan dengan cerdik supaya orang hormat.

Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang yang suka menulis, kerana dengan menulis beliau bebas untuk berkata-kata. Asal Batu Pahat dan kini bertugas di Simpang Renggam.