E-Bazaar: Grab Siap Siaga, Peniaga Kecil Bersedia, Kerajaan Perak Macam Mana?

Perdana Menteri baru mengumumkan keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28hb April 2020. Saya memahami bahawa langkah ini tidak dapat dielakkan demi kesihatan dan keselamatan rakyat di seluruh negara.

Hakikatnya, kita sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat; yang menyerang secara sunyi dan tersembunyi, dan mangsa hanya akan sedar setelah menjadi korban perang, setelah ia rebah daripada kesan dan cedera yang tidak boleh diubati.

Mengikut statistik, dalam Bandaraya Ipoh sahaja terdapat 2755 pemegang lesen pasar malam, dan berdasarkan tahun lepas, 1536 peniaga dan penjaja bazar Ramadhan. Mereka dan ramai lagi diseluruh tanah air bakal ditambah kesusahan, keresahan dan keperitan; sama juga dengan peniaga pasar tani dan pasar pagi. Mereka telah kehilangan pendapatan untuk menyara diri dan keluarga sejak berkuatkuasanya PKP. Beberapa negeri telahpun membuat ketetapan yang tegas bahawa bazar ramadan tidak akan dibenarkan beroperasi, manakala yang lain telah menyatakan hasrat yang sama sekiranya PKP dilanjutkan.

Kebanyakan peniaga makanan yang sebelum ini mengharapkan bazar Ramadan untuk menebus kerugian beberapa bulan kebelakangan ini ekoran COVID19, namun harapan mereka tampak kian hari kian gelap. Nasib yang ditimpa oleh golongan ini juga dikongsikan oleh penjual makanan di pasar-pasar malam, khususnya dengan pengumuman lanjutan PKP ini.

Adanya sesetangah peniaga pasar malam yang telah mula meneroka kaedah yang inovatif untuk beradaptasi dengan keadaan terkini. Mereka mula menjual produk-produk mereka atas talian melalui Facebook Live; serta mengubahsuai perniagaan dan diri mereka sendiri untuk mengharungi dan mengatasi cabaran di hadapan. Namun begitu, ia hanya terhad kepada yang menjual produk-produk yang boleh dikirim secara pos.

Kepada peniaga-peniaga yang menjual makanan, mereka tidak dapat menggunakan teknologi untuk mengubah dan mengubati nasib mereka. Dasar yang ditetapkan oleh FoodPanda dan Grab Food setakat ini, mewajibkan mana-mana pihak yang ingin mendaftar sebagai vendor untuk memiliki premis yang tetap.

Namun demikian, muncul cahaya di hujung terowong setelah Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kerjasama dengan GrabFood dalam mewujudkan E-Bazaar untuk membantu golongan peniaga dan penjaja makanan menjelang bulan Ramadhan. Persoalannya, adakan nasib peniaga-peniaga di negeri Perak dalam golongan ini juga akan terpelihara? Adakah Kerajaan Negeri Perak juga akan mengorak langkah yang sama?

Saya berkesempatan untuk mengadakan perbincangan bersama pegawai kanan dari GrabFood yang dipertanggungjawapkan projek khas E-Bazaar ini. Pihak GrabFood telah memberi komitmen bahawasanya model operasi yang telah mereka wujudkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor siap-siaga untuk dilaksanakan di Negeri Perak, mahupun mana-mana negeri lain. Namun begitu, ia amat memerlukan kepada komitmen, hasrat, penyelarasan dan kerjasama yang tidak berbelah-bahagi daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT).

Sukacita dimaklumkan juga bahawa, model operasi penggunaan dewan-dewan orang ramai dan serbaguna untuk memusatkan peniaga dan penjaja, pengerahan anggota penguatkuasaan, tatacara penjarakan sosial bagi peniaga, penjaja dan penghantar makanan juga telah diberi persetujuan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kesemua perkara ini memerlukan kuasa pemutusan dan kekuatan perlaksanaan PBN dan PBT.

Dengan hanya dua minggu sebelum masuknya bulan Ramadhan, pihak GrabFood memerlukan PBN dan PBT untuk bekalkan senarai pemegang lesen peniaga dan penjaja, bagi proses pendaftaran mereka yang berkelayakan. Proses pendaftaran adalah bagi pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara terhadap GrabFood.

Mereka yang berkuasa harus insaf bahawa rakyat berdepan dengan kesulitan hidup yang maha dahsyat. Kerajaan wajib tingkatkan kesiapsiagaan mereka menangani krisis ini di semua peringkat. Jangan kita serahkan nasib kita kepada kerajaan pusat semata-mata. Sebelum ini, rakyat telah harungi pelbagai bentuk kesulitan dan krisis ekonomi dengan cekal. Kerapkali rakyat mandiri menjaga diri sendiri.

Kini, mereka terdesak untuk pulihkan kehidupan kepada normal secepat mungkin. Justeru, di tengah-tengah kemelut peperangan melawan coronavirus hari ini, para pemimpin punya amanah untuk letak tepi sebarang sikap kepartian dan bekerjasama antara satu sama lain. Saya bersedia untuk memudahcara dengan pihak Grab, namun tanggungjawabnya tetap kepada kerajaan untuk buat keputusan dan bertindak atas apa yang patut.

Komen