Dua Kemenangan Rakyat Di Dua Negeri PH

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Semalam, 8 September 2021berlaku dua peristiwa penting dalam isu perjuangan sivil.

Yang pertama, tuntutan rakyat agar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) diwartakan semula telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Selangor. Ini berikutan timbulnya pendedahan bahawa HSKLU telah dinyahwarta sebahagiannya secara senyap dan dipindah milik kepada sebuah syarikat pemaju hartanah asal Sarawak.

Yang kedua pula berlaku di Pulau Pinang, apabila tuntutan rakyat untuk membatalkan penilaian kesan alam sekitar (Environmental Impact Assessment/EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar untuk projek Penang South Reclamation (PSR) telah diluluskan oleh lembaga rayuan. Susulan keputusan lembaga rayuan ini, projek PSR kini terpaksa ditangguhkan dan seandainya pihak kerajaan negeri Pulau Pinang masih mahu meneruskan projek tersebut, satu laporan EIA yang baru hendaklah dibuat berkaitan projek tersebut.

Apa yang menarik adalah kedua-dua kemenangan rakyat ini berlaku di dua negeri yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)

HSKLU adalah sebuah kawasan hutan simpan yang terletak bersebelahan lebuh raya ELITE, berdekatan Cyberjaya dan Bandar Saujana Putra yang menjadikannya satu godaan menggiurkan untuk mana-mana syarikat pemaju hartanah.

HSKLU adalah hutan paya gambut berusia 8,000 tahun yang mula diwartakan pada tahun 1927 sebagai hutan simpan dengan keluasan 7,246.96 hektar. Kini, keluasan HSKLU hanya 957.6 hektar selepas beberapa kawasan dinyahwarta sejak beberapa tahun atas alasan kemajuan.

Hutan paya gambut adalah penting dalam mengatasi isu perubahan iklim, kerana ia bertindak sebagai penyerap karbon dan juga bagi membantu mengurangkan risiko banjir. HSKLU adalah antara sebahagian kecil hutan paya gambut yang masih wujud di Selangor. Selain itu, HSKLU juga merupakan pusat biodiversiti, menempatkan spesis flora dan fauna yang endemik di Selangor. HSKLU juga merupakan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli dari suku Temuan yang telah menghuni kawasan tersebut sejak 150 tahun lalu.

Jelas, menggadaikan HSKLU atas nama pembangunan akan menjejaskan ekosistem alam sekitar Selangor dan warisan untuk generasi akan datang. Maka tindakan nyahwarta kawasan seluas 1,326 ekar oleh kerajaan negeri Selangor selayaknya mendapat bantahan keras dari rakyat.

Kerajaan negeri Selangor akhirnya bersetuju untuk mewartakan semula kawasan terbabit kecuali 104 ekar yang akan diberi milikan tanah kepada Orang Asli di Kampung Busut Baru yang dipindahkan ke kawasan itu akibat pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sebahagian kecil kawasan lagi akan kekal dinyah warta bagi tujuan pembinaan East Coast Rail Link (ECRL) yang akan melalui kawasan tersebut.

Penang South Reclamation (PSR)

Berbeza dengan HSKLU, PSR pula adalah projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang yang akan berkesudahan dengan terhasilnya tiga buah pulau buatan seluas 4,500 ekar. Alasan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memulakan projek PSR adalah bagi mengatasi dua isu sosio-ekonomi negeri pulau tersebut iaitu isu kekurangan tanah dan kesesakan trafik.

Namun projek PSR mendapat bantahan rakyat khususnya komuniti nelayan yang mendiami kawasan pesisir selatan pulau yang bergantung hidup sepenuhnya melalui aktiviti penangkapan ikan di perairan tersebut. Jumlah nelayan yang dilaporkan bakal terjejas akibat projek PSR mencecah hampir 5 ribu orang. PSR juga akan memberikan kesan ke atas sektor industri perikanan Pulau Pinang yang banyak bergantung pada aktiviti perikanan di perairan selatan pulau tersebut.

PSR juga dilaporkan akan memberikan kesan kepada kawasan pendaratan penyu, kawasan pantai berlumpur yang penting untuk pembiakan ikan secara semulajadi, terumbu karang di Pulau Rimau dan juga kawasan sumber makanan mamalia marin seperti ikan lumba-lumba Indo-Pasifik.

Persoalan besar yang timbul adalah, adakah kepentingan kemajuan industri dan perumahan jauh lebih utama dari mengekalkan ekosistem semulajadi yang telah wujud sejak sekian lama di kawasan selatan pulau? Adakah projek pembangunan berskala gergasi seluas 4,500 ekar yang jauh lebih besar dari HSKLU dijamin tidak memberi impak alam sekitar yang kerosakannya tidak boleh dibaiki semula?

Sekumpulan nelayan yang terjejas telah pun membawa isu ini ke perhatian lembaga rayuan alam sekitar dengan menyebut laporan EIA yang dibuat adalah bertentangan dengan Plan Struktur Pulau Pinang 2020 yang berkuat kuasa ketika itu. Lembaga rayuan berpuas hati dan bersetuju dengan hujah dikemukakan dan telah memutuskan laporan EIA yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar adalah terbatal kerana bertentangan dengan plan struktur yang berkuat kuasa.

Kemenangan Rakyat

Kedua-dua peristiwa yang berlaku semalam adalah manifestasi kemenangan rakyat dalam perjuangan sivil mereka bagi menuntut kerajaan untuk mengutamakan rakyat dan alam sekitar dalam keputusan yang diambil.

Namun satu perkara yang menarik adalah keduanya berlaku di negeri di bawah pemerintahan kerajaan PH, yang lazimnya dilihat sebagai alternatif yang lebih dekat kepada rakyat berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih sinonim sebagai kerajaan yang tidak cakna atau peka pada kehendak rakyat. Apatah lagi mengambil kira pengalaman sebelum ini yang memperlihatkan lebih banyak kemusnahan alam sekitar berlaku di bawah kerajaan BN selain keengganan mereka untuk tunduk pada kehendak rakyat sehingga terpaksa disingkirkan melalui peti undi.

Akan tetapi insiden nyahwarta HSKLU dan pelaksanaan projek PSR memberikan satu kejutan kepada rakyat bahawa PH, seperti mana parti politik lain, boleh berubah wajah dan membelakangi rakyat apabila telah menjadi kerajaan.

Ini yang telah berlaku di peringkat Persekutuan selama 22 bulan bermula Mei 2018 hingga Februari 2020, apabila rakyat sendiri merasakan PH telah mengkhianati sebahagian besar kepercayaan rakyat sebaik menjadi kerajaan. Dan ia juga terlihat berlaku sekarang di Selangor dan Pulau Pinang apabila keresahan rakyat dalam isu HSKLU dan PSR telah diabaikan sewenangnya.

Lalu persoalan yang timbul, adakah kita sebagai rakyat masih boleh mempercayai PH sebagai alternatif yang lebih baik berbanding BN atau blok politik yang lain?

Jika dilihat di Selangor dalam kes HSKLU, walaupun pada mulanya dikhianati suara rakyat akhirnya menjadi suara keramat yang membuatkan kerajaan negeri tunduk. Malahan, tindakan sesetengah ADUN kerajaan negeri Selangor yang berani bersuara membawa aspirasi rakyat menentang keputusan nyahwarta HSKLU harus dijadikan petanda positif bahawa ini adalah kerajaan yang sudi dan bersedia untuk mengikut kehendak rakyat, bukannya kehendak golongan elit atau kaum pemodal.

Maka ia boleh dijadikan satu petanda positif, jika sekalipun kerajaan negeri PH di Selangor bertindak membelakangi rakyat, ia masih boleh ditekan untuk akhirnya akur pada kehendak rakyat.

Adalah diharapkan petanda yang sama juga dapat dilihat di Pulau Pinang dalam kes projek PSR. Kehendak rakyat khususnya di Pulau Pinang adalah jelas, mereka menolak projek tambak laut dan mahu kerajaan mengutamakan alam sekitar. Adakah kerajaan negeri PH di Pulau Pinang bersedia untuk mendengar kehendak rakyat atau adakah mereka mahu mengambil risiko disingkirkan di peti undi seperti yang pernah berlaku kepada kerajaan negeri BN Pulau Pinang satu masa dahulu?

Komen