Diskriminasi Pekerjaan Di Malaysia

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Lazimnya fokus terhadap isu pekerjaan di Malaysia ialah soal kualiti pekerjaan, peluang pekerjaan dan gaji. Namun ada isu lain yang penting seperti diskriminasi pekerjaan yang mana telah berlaku dan perlu ditangani secara tuntas. Dan diskriminasi pekerjaan ini boleh sahaja datang dalam tiga perkara yakni:

  1. Diskriminasi Gender
  2. Diskriminasi Agama
  3. Diskriminasi Kaum

Selanjutnya kita akan cuba mengupas tiga diskriminasi pekerjaan ini dan situasinya di Malaysia.

Diskriminasi Gender

Laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2016 menunjukkan graduan wanita lebih ramai berbanding lelaki iaitu perbandingan seramai 335,253 (62 peratus) berbanding keseluruhan bilangan mahasiswa iaitu 540,638 bilangan mahasiswa di universiti.

Tetapi kadar penyertaan tenaga wanita pada tahun yang sama amat rendah iaitu hanya sekitar 54 peratus berbanding lelaki yang mencatatkan jumlah sebanyak lebih 80 peratus. Peratusan ini amat rendah jika dibandingkan dengan negara lain di rantau ini seperti Thailand (69.9 peratus) dan Singapura (62.9 peratus) pada tahun 2011.

Pada tahun 2008, pekerja lelaki berpangkat pegawai kanan dan pengurus berpendapatan gaji bulanan purata RM4,296, manakala wanita pula dalam kedudukan yang sama memperoleh hampir separuh jumlah iaitu RM2,522.

Pada tahun 2017 pula, purata gaji lelaki di Malaysia ialah RM2,954 manakala purata gaji wanita pula sekitar RM2,772 sebulan. Walaupun jurang perbezaan makin berkurangan, tetapi berbezaan purata gaji antara gender tetap ada dan signifikan.

Diskriminasi Agama

Menurut laporan daripada Kementerian Sumber Manusia mendapati 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar standard grooming yang melarang pekerja wanita bertudung. Laporan ini berdasarkan pemeriksaan bermula pada bulan Disember 2017 sehingga ke 26 Januari 2018.

Terdapat juga larangan untuk pramugari syarikat penerbangan seperti MAS yang tidak membenarkan pemakaian tudung oleh pramugari yang beragama Islam.

Terdapat juga kes yang mana ada majikan yang melarang pekerja beragama Islam untuk bersolat. Antara kes yang tular ialah di JD Sport Malaysia. Apabila mendapat desakan masyarakat Malaysia, mereka telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia memahami sentimen yang mengetengahkan perihal JD Sports yang menolak hak pekerjanya untuk menunaikan solat.

Tindakan drastik telah diambil dengan memecat perkhidmatan individu terbabit dan mereka menyatakan kekesalan dan komitmen untuk tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melibatkan unsur-unsur diskriminasi.

Diskriminasi Kaum

Pada tahun 2016, satu kajian telah dilakukan oleh Dr Hwok Aun Lee (Universiti Malaya) dan Dr Muhammad Abdul Khalid (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang bertajuk Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hiring in Malaysia.

Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat diskriminasi terhadap graduan berbangsa Melayu ketika dalam proses pengambilan kerja di Malaysia.

Bermula Ogos hingga Oktober 2011, mereka telah menghantar 3,022 resume palsu kepada 753 iklan pekerjaan atas talian yang terdiri dari kejuruteraan dan akaun atau kewangan.

Separuh daripada resume itu didaftarkan sebagai pemohon berbangsa Melayu dan baki separuh lagi didaftar sebagai pemohon berbangsa Cina. Kelayakan pada resume itu dipadankan untuk pemohon berbangsa Melayu dan Cina supaya tidak timbul isu mengenai perbezaan kualiti graduan di dalam kajian ini.

Hasil daripada kajian ini mendapati, 22.1 peratus pemohon berbangsa Cina akan dipanggil untuk temuduga kerja berbanding dengan pemohon berbangsa Melayu yang hanya sekadar 4.2 peratus sahaja yang dipanggil untuk temuduga.

Secara mudahnya, jika satu (1) orang graduan Melayu dipanggil untuk temuduga kerja, dalam masa yang sama lima (5) orang graduan Cina juga telah dipanggil untuk temuduga walaupun memiliki kelayakan akademik yang sama.

Secara perbandingan, pekerjaan di sektor kejuruteraan merupakan tempat berlaku diskriminasi terbesar dengan hanya 2.9 peratus sahaja pemohon Melayu yang dipanggil untuk hadir ke temuduga berbanding dengan pemohon Cina iaitu seramai 24.8 peratus.

Dalam sektor akaun atau kewangan pula mencatatkan peratusan yang sedikit lebih baik kepada pemohon berbangsa Melayu dengan peratusan panggilan temuduga sebanyak 5.7 peratus berbanding pemohon Cina sebanyak 19.1 peratus.

Dapatan kajian ini jelas menunjukkan sikap berat sebelah sebahagian besar majikan di Malaysia yang tidak melihat kelayakan akademik semata, tetapi lebih melihat kepada faktor kaum ketika ingin mengambil pekerja.

Ada juga kajian terbaharu yang dibuat oleh Centre For Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang menunjukkan dapatan hampir sama. Wujud diskriminasi mengikut kaum ketika sesi pengambilan pekerjaan terutamanya kepada kaum Melayu dan India.

Janji Pakatan Harapan

Antara janji perubahan di dalam Buku Harapan ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama seperti yang termaktub dalam Janji 33.

Berikut merupakan petikan janji tersebut:

Kami menyedari bahawa amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi wujud dalam banyak sektor ekonomi. Kajian-kajian oleh ahli akademik telah mendedahkan wujudnya diskriminasi dalam pengambilan pekerja di sektor swasta. Pada masa yang sama, terdapat juga aduan mengenai amalan ketidakadilan terhadap pengambilan pekerja di sektor awam. Penubuhan sebuah Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC), yang akan diwakili oleh individu yang dihormati dari sektor swasta dan awam, bertujuan untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi ini. Dengan berbuat demikian, kami akan mewujudkan tenaga kerja di sektor awam dan swasta yang lebih pelbagai, lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih responsif terhadap pola dan permintaan pasaran serta keperluan warganegara Malaysia.

Sehingga hari ini tiada perkembangan yang signifikan terhadap penubuhan EEOC ini. Kenyataan menteri terlibat juga begitu hambar dan mengecewakan.

Ada rancangan pihak Kementerian Sumber Manusia untuk meminda Akta 265 bagi memasukkan larangan diskriminasi dalam pekerjaan. Tetapi cadangan pindaan ini tidak memasukkan perlindungan kepada pemohon pekerjaan. Kerajaan hanya boleh beri nasihat sahaja menurut kata timbalan menteri, Mahfuz Omar.

Sebelum ini ada rancangan pihak kerajaan untuk melindungi pemohon pekerjaan di dalam cadangan pindaan akta kerja 1955. Tetapi pada September lalu, cadangan ini ditarik balik selepas menerima bantahan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Kerajaan PH patut lebih bertindak keras dan proaktif di dalam mempertahankan hak-hak pekerja dan juga hak-hak pemohon pekerjaan lebih daripada tunduk kepada desakan majikan!

Komen