Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui (DAP), telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu. Tindakan Adun Tras ini telah mengundang reaksi dingin oleh rakyat, termasuk pemimpin DAP sendiri.
Keputusan ini seperti memberi ‘peluru’ percuma kepada lawan untuk menggelar DAP sebagai anti-tulisan jawi dan memberi imej buruk kepada DAP sebagai sebuah parti yang terkenal dengan prinsip mengangkat keharmonian rakyat.
Dasar mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda premis atau kedai di Pahang telah dikuatkuasakan oleh Exco negeri pada 1 Mac 2018. Premis peniagaan, persatuan dan NGO perlu memaparkan tulisan jawi berkutakuasa pada 1 Januari 2020. Jika gagal, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun sebanyak RM 250.
Chow Yu Hui pernah membawa isu ini dalam sidang Dun Pahang pada 20 November 2019. Tetapi, ia telah mengundang pertikaman lidah dengan Adun Barisan Nasional dan Pas tanpa sebarang penyelesaian.
Bagi Adun Tras dan Jawatankuasa DAP Pahang, kerajaan negeri tidak harus memaksa pemilik perniagaan atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda. Dasar ini juga akan menghalang hak kebebasan kumpulan ini untuk membuat pilihan. Persoalannya, apakah DAP tidak mempunyai kaedah yang lebih baik untuk menguruskan polemik ini?
Perkembangan Isu Jawi Di Pahang
Sebelum ini, tiga orang peniaga telah menfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 13 Mac 2020, terhadap Majlis Perbandaran Kuantan dan kerajaan Pahang bagi membatalkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis mereka.
Mahkamah Tinggi Kuantan telah membenarkan ketiga-tiga peniaga tersebut mencabar keputusan pihak berkuasa dan mahkamah menetapkan penghujahan substentif akan didengar pada 29 April 2020.
Jika sudah ada peniaga yang tampil membuat perkara tersebut lebih awal, apakah objektif Adun Tras membuat semakan kehakiman?
Adun Tras perlu menjelaskan juga berapakah jumlah keseluruhan peniaga yang mengadu tentang perkara ini? Berapa banyak sesi dialog yang telah dibuat untuk menyemak kegelisahan peniaga yang berhadapan masalah ini? Semua ini masih belum diterangkan oleh pihak Adun Tras dan Jawatankuasa DAP Pahang kepada orang awam.
Menurut kerajaan Pahang, sehingga 31 Disember 2019, terdapat hampir 70 peratus peniaga di seluruh Pahang telah mematuhi dasar tulisan jawi ini dan 30 peratus masih ingkar. Ironinya, peniaga yang ingkar ini kebanyakannya terdiri daripada peniaga Melayu.
Meskipun jumlah mereka yang ingkar agak sedikit, ia masih menggambarkan kerajaan Pahang gagal untuk berunding dengan pemegang taruh dalam pelaksanaan dasar ini sehingga peniaga sanggup membuat semakan kehakiman di mahkamah.
Fakta-fakta ini membuktikan bahawa terdapat kekurangan maklumat dan komunikasi antara pihak Adun Tras dan kerajaan Pahang. Apakah sikap saling serang-menyerang kedua-dua belah pihak boleh menguruskan isu Jawi yang kini dimainkan untuk membangitkan sentimen politik perkauman?
Dialog Roket Dan Bulan
Pada tahun 1992, delegasi DAP yang diketuai Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP telah turun ke Kota Bharu untuk berdialog dengan kerajaan Pas Kelantan yang diketuai Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Dialog ini diadakan bagi merungkai dakwaan komuniti Cina di Kelantan tertindas di bawah kerajaan Pas, antara isu yang dimainkan ialah kerajaan Kelantan memerintahkan papan tanda perniagaan tulisan Cina perlu digantikan dengan tulisan Jawi. Propaganda ini telah dimainkan oleh MCA dan Gerakan untuk menakutkan orang Cina di luar Kelantan terhadap Pas.
Dialog ini telah membuat satu yang baik apabila Menteri Besar Kelantan itu menyatakan dasar tulisan Jawi ini hanya digalakkan bagi papan tanda premis yang baharu. Papan tanda yang lama tidak terkesan dengan dasar ini. Nik Aziz berpendapat Islam tidak menghalang sesebuah etnik mengamalkan budaya dan bahasa mereka.
Kedua-dua pihak akhirnya berjaya membentuk kesefahaman dan memberi jaminan bahawa urusan etnik Cina di Kelantan akan terus dibela. Ia juga membuktikan delegasi DAP dan kerajaan Pas Kelantan berjaya menggagalkan propaganda MCA/Gerakan untuk membangkitkan kegelisahan kaum Cina dengan kaum Melayu demi kepentingan politik mereka.
Berdialoglah Roket Dan Dacing Pahang
Mengapa Adun Tras dan kerajaan Pahang tidak berdialog untuk membincangkan pelaksanaan dasar tulisan jawi seperti yang pernah dilakukan Kit Siang dan Nik Aziz di Kelantan? Apakah kedua-dua pihak ini cuba menjadi ‘hero’ kepada penyokong masing-masing dalam isu ini?
Jika kedua-dua pihak menggunakan isu Jawi untuk kepentingan politik, maka ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Dialog ialah sebuah pendekatan yang boleh membawa pihak berbeza pendapat untuk pergi ke jalan tengah, berbincang dan menyelesaikan masalah secara damai. Perbincangan berfakta akan merungkai permasalahan sebenar, sama ada isu itu hanyalah propaganda politik musuh atau benar-benar dihadapi oleh akar umbi.
Dalam isu jawi di Pahang, dialog ialah jalan yang terbaik. Amat wajar sekiranya DAP Pahang menghantar delegasi untuk berdialog dengan kerajaan negeri dalam membincangkan dasar tulisan Jawi ini.
Berdialoglah roket Pahang (DAP Pahang) dan dacing Pahang (kerajaan BN Pahang) dalam hal jawi ini.
Sekiranya dialog ini berjaya, maka ia akan membantu memperkemaskan imej politik DAP yang selama ini menjadi momokan musuh sebagai parti yang terlalu keras dalam isu jawi. Ia juga melancarkan kerajaan Barisan Nasional Pahang untuk melaksanakan dasar tulisan jawi ini dengan lebih meluas dengan sokongan rakyat dan pembangkang.
Walau apa pun perbezaan yang berlaku dalam sesi dialog itu, apa yang penting dalam situasi ini ialah komitmen DAP Pahang dan kerajaan Barisan Nasional Pahang, membuat keputusan yang terbaik buat rakyat. Persoalannya, adakah kedua-dua pihak ini mampu melakukannya?
Artikel ini adalah tulisan saudara Fakhrurrazi Rashid dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.