Malapetaka terbesar yang ditanggung manusia kerana dilakukan oleh manusia sendiri ialah pembunuhan ramai. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai massacre. Dalam Bahasa Indonesia, ia disebut pembantaian atau masaker. Apabila dibuat kerana kaum, maka ia dipanggil genosid, daripada perkataan Inggeris, genocide. Cide itu pembunuhan dan gene itu, dalam konteks ini bermaksud, keturunan.
Genosid merupakan perkara biasa dalam zaman pra-moden apabila berlakukan peperangan antara suku-kaum dan empayar. Tetapi masyarakat pramoden tidak menggunakan senjata jarak jauh, jadi mala petaka yang ditanggung tidaklah sebesar zaman moden.
Namun sekiranya gerombolan tentera empayar atau gasar yang menyerang, tentunya ia tetap mala petaka besar bagi para penduduk. Inilah apa yang berlaku bila ketika tentera Mongol menyerang ke seluruh dunia. Pastinya berlaku pembunuhan ramai, satu wilayah musnah dan kaum-kaum pupus.
Akibatnya mereka terpaksa melarikan diri dari kampung halaman. Ia perkara lumrah apabila berlaku peperangan. Bila sudah aman, mereka mungkin kembali ke kampung halaman, ataupun tidak. Mereka tidak dipanggil pelarian kerana perkataan itu belum dicipta.
Apabila mereka lari dari sesuatu kawasan, mereka disebut sebagai berpindah saja. Walaupun mereka sedang melarikan diri. Tetapi berpindah itu adalah amalan biasa, dan tidak semestinya kerana lari. Perpindahan ini juga disebut sebut merantau kalau di Nusantara. Orang Melayu merantau kerana mencari kehidupan lebih baik. Dalam bahasa Inggeris disebut migration atau migrasi. Dan dalam bahasa Arab, ia disebut hijrah. Tetapi melarikan diri juga berhijrah. Cuma kalau melarikan diri, ia tentu kerana keadaan yang menakutkan dan perlu disegerakan. Ia bukanlah hijrah semata-mata tanpa sebarang ketakutan.
Dalam kisah agama, Nabi Musa a.s. dan kaumnya telah melarikan diri dari Mesir kerana diburu dan dikejar oleh tentera Firaun. Walaupun ia juga merupakan hijrah, tetapi ia adalah juga melarikan diri daripada dibunuh. Istilah yang digunakan dalam bahasa Inggeris untuk menggambarkan peristiwa ini ialah Exodus, atau melarikan diri secara besar-besaran.
Bagi tradisi Yahudi, mereka mempunyai istilah khusus untuk peristiwa-peristiwa mala petaka mereka. Kalau Exodus merujuk pada pelarian ramai-ramai daripada tentera Firaun maka pembunuhan besar-besaran atau genosid yang dilakukan oleh Adolf Hitler ke atas orang Yahudi dipanggil Holocaust semasa Perang Dunia Ketiga.
Semasa perang itulah timbul konsep refugee. Istilah refugee, daripada perkataan refuge, atau mendapatkan perlindungan. Maknanya orang ramai yang lari daripada peperangan menyeberangi sempadan untuk mendapatkan perlindungan.
Perkara itu berlaku secara besar-besaran di benua Eropah semasa Perang Dunia Kedua. Orang Yahudi melarikan diri dari Jerman, Poland dan negara-negara Eropah Timur yang ditakluki Nazi. Ada yang lari ke Amerika Utara, Afrika Utara dan juga Palestin.
Adalah tidak diketahui mengapa dalam bahasa Melayu, perkataan yang digunakan ialah pelarian untuk terjemahan kepada refugee. Tidakkah lebih tepat kalau dipanggil sebagai “pencari perlindungan”? Dalam Bahasa Indonesia, istilah yang digunakan ialah pengungsi. Ia bermaksud mereka ini berpindah ke negara lain untuk mendapatkan tempat selamat, iaitu sebagai orang yang berkongsi di rumah orang lain.
Namun perkataan pelarian ini memberi gambaran juga betapa mereka terpaksa “lari” daripada bahaya untuk mendapatkan perlindungan. Maka apabila United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua, maka dalam Bahasa Indonesia diterjemahkan sebagai Komisioner Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pengungsi dan dalam bahasa Melayu, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian.
Selepas Perang Dunia Kedua, banyaklah berlaku peperangan yang menghasilkan banyak pelarian hinggalah ke hari ini. Sepanjang Perang Dingin dengan Malaysia berada tidak jauh dari Indochina, ramailah pelarian dari Vietnam dan Kemboja lari ke negara ini. Selepas Perang Vietnam berakhir pula, berduyun-duyun pula rakyat Vietnam lari dari pemerintahan komunis.
Tetapi orang bukan saja lari dari kerajaan komunis, orang lari juga dari kerajaan antikomunis. Ketika pemerintahan Suharto, berlaku perjuangan kemerdekaan Aceh di Indonesia. Berlaku pertempuran dan tekanan hinggakan banyak Aceh lari keluar. Antara pemimpin gerakan lari ke Eropah, hingga ke Norway. Tetapi kebanyakan orang Aceh yang tidak tahan tentu lari ke negara berdekatan iaitu Malaysia.
Mereka memperoleh kad UNHCR dan antara mereka menyara hidup dengan membuka kedai runcit dan kedai gunting rambut. Walaupun kini Aceh sudah aman dan tiada lagi perjuangan pemisahan, orang Aceh itu kekal di Malaysia.
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini tentulah pelarian yang jelas adalah dari Rohingya. Bahawa mereka lari dari peperangan dan kekejaman adalah suatu yang jelas dengan kerajaan Myanmar melakukan pemusnahan etnik, ethnic cleansing. Maksudnya mereka mahu menghapuskan sama sekali orang Rohingya daripada Myanmar. Perkataan cleansing itu bermaksud membersihkan. Ia seolah-olahnya kerajaan Myanmar mahu membersihkan negara itu daripada orang Rohingya. Seolah-olah orang Rohingnya itu suatu kotoran. Sebab itu perkataan pemusnahan adalah lebih sesuai daripada pembersihan. Konsep ethnic cleansing ini timbul ketika Nazi mahu melakukan pembunuhan terhadap orang Yahudi. Orang Yahudi dianggap sebagai kotoran yang perlu dibersihkan daripada bangsa Jerman atau Aryan yang mulia.
Ke manakah orang Rohingya hendak lari? Ke Bangladesh, Thailand, Indonesia dan Malaysia? Mereka masuk ke Malaysia melalui Thailand selatan, Pulau Langkawi dan Perlis. Mereka berjalan merata-rata, merayau dan mencari makanan dan kelaparan serta tidak disukai oleh penduduk tempatan. Malah telah berlaku tragedi apabila terbongkar adanya sekumpulan mereka terbunuh dan ditanam secara besar-besaran di Perlis.
Pada awalnya kelihatan orang Malaysia bersimpati dengan mereka. Lebih-lebih lagi kerana mereka beragama Islam. Persaudaraan seagama mendorong orang Malaysia membantu mereka, seperti mana sikap yang diberikan kepada orang Palestin, Afghanistan, Kemboja, Champa, Moro, Pattani, Bosnia dan Syria. Tetapi simpati terhadap para pelarian tidak wajar terhad pada anutan agama. Sememangnya dapat difahami bahawa kecenderongan adalah untuk membantu sesama agama. Tetapi untuk membuat kebaikan adalah pada semua manusia, bukan terhad pada penganut agama sendiri.
Namun dalam hal orang Rohingya, banyak orang Malaysia sudah tidak suka pada mereka. Mereka dilihat sebagai ancaman kepada orang Melayu. Bilangan mereka semakin bertambah. Penempatan di Pulau Langkawi semakin membesar. Nelayan tempatan berasa terancam dengan kehadiran nelayan Rohingya.
Tetapi orang Rohingya adalah manusia yang pasti akan berusaha mencari makan. Semua pelarian perlukan sara hidup. Sama ada memiliki kad UNHCR atau tidak, mereka tetap perlu mencari makanan dan sara hidup. Sememangnya adalah lebih baik untuk mereka pulang ke negara asal, atau berpindah ke negara-negara lain. Ini kerana rakyat negara ini tidak mahukan mereka.
Hakikatnya Myanmar tidak mahu mereka kembali. Negara lain seperti juga Malaysia tidak mahukan mereka. Jadi apa yang perlu dilakukan ke atas mereka? Campak ke laut? Manusia termasuk warga negara Malaysia perlu mendapatkan kompas moralnya. Negara-negara moden yang bersempadan ditubuhkan di seluruh dunia selepas Perang Dunia kedua adalah untuk kebaikan manusia. Begitu juga dengan kewujudan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan UNHCR. Tanpa azam kemanusiaan, segala fahaman agama dan politik tidak bermakna. Asasnya adalah untuk kebaikan, termasuk penubuhan negara-negara.

Zin Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia, Harian Watan dan Harakah. Pernah menerbitkan majalah Dunia Islam. Bukunya, Ideologi! Sebuah Memoir diterbitkan oleh Republik Buku. Kini beliau adalah kolumnis portal berita Free Malaysia Today dan akhbar mingguan Wilayahku.