Di Dalam Universe Yang Lain…

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah pun dimuktamadkan. Barisan Nasional (BN) telah memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun masih tidak cukup untuk mencapai angka majoriti mudah. Pakatan Harapan (PH) pula menyaksikan prestasi mereka merosot dengan hanya 10 kerusi DUN yang dimenangi. Sementara blok ketiga yang merupakan pendatang baharu, Perikatan Nasional (PN) boleh tersenyum apabila berjaya memenangi 7 kerusi DUN sekaliugus membolehkan PN berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri campuran mengikut acuan di peringkat Persekutuan.

Ini mungkin apa yang berlaku di universe (alam semesta) yang lain. Jumlah kerusi yang dimenangi oleh satu-satu parti adalah berkadaran dengan jumlah undi yang diperolehi dalam PRN Melaka.

PRN Melaka menyaksikan sejumlah 122,741 undi pergi ke BN sementara PH mendapat 114,457 undi dan PN pula 77,731 undi. Dari sejumlah 319,689 undi dalam PRN Melaka, peratusan undi untuk tiga blok politik ini adalah 38% milik BN, PH (36%) dan PN (24%). Jika peratusan undi ini diterjemahkan dalam bentuk bilangan kerusi, maka kita akan mendapat komposisi dalam bentuk 11 kerusi untuk BN, PH (10) dan PN (7).

Tetapi keseimbangan ini tidak berlaku dalam universe yang kita diami. BN walaupun hanya mendapat 38% undi, namun ia berjaya menguasai 21 atau 75% dari 28 kerusi DUN Melaka. Angka 21 atau 75% bermakna BN mendapat majoriti 2/3, angka magis yang membolehkan mana-mana kerajaan melakukan hampir apa sahaja. PH pula walaupun mendapat 36% undi popular terpaksa berpuas hati dengan hanya 5 kerusi DUN.

Kenapa jumlah kerusi tidak menggambarkan realiti sebenar jumlah undi yang diperolehi? Jawapan persoalan ini berbalik kepada realiti sistem pilihan raya kita yang mempunyai kepincangan dari segi persempadanan kerusi pilihan raya. Sejak sekian lama, isu persempadanan menjadi topik perdebatan kerana ia tidak memberikan agihan pengundi yang sama rata.

Di Melaka sebagai contoh, kerusi N5 Taboh Naning mempunyai 8,661 pengundi tetapi kerusi N19 Kesidang mempunyai jumlah pengundi empat kali ganda lebih besar iaitu 37,304 pengundi. Dalam erti kata lain, satu kertas undi di Kesidang nilainya hanya 1/4 atau suku kertas undi di Taboh Naning.

Oleh kerana sistem pilihan raya kita menggunakan kaedah first-past-the-post, maka jumlah undi adalah tidak relevan dalam penentuan kerusi. Dalam PRN Melaka, kemenangan besar PH di N19 Kesidang atau N20 Kota Laksamana tidak memberi sebarang kelebihan berbanding kemenangan BN di N7 Gadek (3,022 undi; jumlah undi calon menang paling sedikit) atau N26 Serkam (majoriti 79 undi, jumlah majoriti paling rendah).

Tidak ada salahnya menggunakan kaedah first-past-the-post dalam sistem pilihan raya. Tetapi kaedah ini boleh dimanipulasi dengan amalan gerrymandering (manipulasi sempadan kerusi) dan malapportionment (manipulasi jumlah pengundi dalam satu-satu kerusi).

Di Malaysia, amalan gerrymandering dan malapportionment telah berakar umbi sejak puluhan tahun lamanya.

Kesan amalan ini boleh dilihat dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Dalam PRU ke-12 pada tahun 2008, BN hanya memperoleh 51.39% undi popular tetapi masih mampu memenangi 140 kerusi parlimen (menghampiri angka 148 untuk majoriti 2/3) sedangkan Pakatan Rakyat (PR) pula hanya menang 82 kerusi walaupun memperoleh 47.79% undi popular.

Senario sama terlihat ketika PRU ke-13 pada tahun 2013 apabila BN mempertahankan majoriti di parlimen dengan 133 kerusi tetapi hanya memenangi 47.38% undi popular. PR, yang memperoleh 50.87% undi pula terpaksa berpuas hati dengan hanya 89 kerusi.

Ketidakseimbangan ini adalah kesan dari amalan gerrymandering dan malapportionment dalam sistem pilihan raya yang menggunakan kaedah first-past-the-post.

Inilah yang membuatkan dalam universe yang kita diami ini, BN masih boleh mencapai majoriti 2/3 dengan hanya 38% undi. Ia tidak masuk akal tetapi tidak mustahil. Bandingkan pula dengan bagaimana dalam PRN Melaka ke-14 pada tahun 2018, PH yang memperoleh 51.1% undi popular pun hanya boleh menang 15 kerusi DUN untuk mencapai majoriti mudah, jauh dari angka 21 kerusi DUN dan majoriti 2/3 yang dicapai BN sekarang.

Menilai keputusan PRN Melaka, kita boleh mengatakan BN mencapai kemenangan besar jika dilihat hanya dari jumlah kerusi. Tetapi realitinya berbeza jika dinilai dari jumlah undi. BN dan PH tidak jauh berbeza manakala PN yang disebut-sebut gagal teruk di Melaka, sebenarnya mencatatkan keputusan yang agak baik apabila membolot 24% undi popular. Seperti apa yang saya tuliskan awal tadi, dalam universe yang lain jumlah kerusi yang dimenangi PN mungkin 7 kerusi sekali gus meletakkan mereka sebagai king maker dengan kelebihan untuk rundingan membentuk kerajaan bersama BN, atau pun PH jika perlu.

Ibrah dari keputusan PRN Melaka adalah jelas, perlunya untuk sistem pilihan raya dirombak secara menyeluruh. Mungkin sudah tiba masanya kita menggugurkan kaedah first-past-the-post tadi, atau jika tidak maka persempadanan kerusi pilihan raya dan agihan pengundi perlulah sekata tanpa perbezaan yang ketara.

Peluang untuk melakukan rombakan ini hadir selepas PRU ke-14 apabila PH membentuk kerajaan tetapi ia dipersiakan dalam tempoh 22 bulan yang ada. Implikasi dari kegagalan ini adalah besar, ia kini kekal menjadi senjata untuk digunakan oleh BN dalam PRU ke-15 yang akan masuk waktu tidak lama lagi.

Komen