Demokrasi Bermakna Menerima Pilihan Rakyat

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Pada pagi 1 Februari dilaporkan bahawa satu rampasan kuasa oleh pihak tentera telah berlaku. Presiden de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin kerajaan telah ditangkap. Pihak tentera menutup Internet.

Laporan menyatakan bahawa pihak tentera melakukan tindakan ini kerana terdapat pemalsuan dalam pilihan raya November tahun lalu. Dalam pilihan raya itu, parti Suu Kyi menang dan parti pihak tentera kalah. Banyak pihak di peringkat antarabangsa melihat rampasan kuasa itu berlaku kerana tentera Myanmar tidak dapat menerima kekalahan parti mereka dalam pilihan raya itu.

Keadaan ini bukan pertama kali berlaku di negara itu. Dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua, perkara seumpama ini telah banyak berlaku di negara-negara Dunia Ketiga. Parti yang menang tidak diiktiraf kemenangannya, sebaliknya berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera. Ada kalanya rampasan kuasa berlaku selepas kerajaan ditubuhkan.

Tetapi di Amerika Syarikat, dapat disaksikan bahawa Donald Trump dan penyokong-penyokongnya tidak dapat menerima kekalahan. Mereka merusuh dan menyerang Capitol. Ia memalukan Amerika Syarikat sebagai negara bapa demokrasi dunia.

Antara tiang demokrasi ialah pilihan raya pelbagai parti tetapi ia hendaklah diiringi dengan sikap berlapang dada. Maknanya, pihak yang kalah menerima kekalahan dengan hati terbuka dan mengiktiraf kemenangan lawannya. Sementara pihak yang menang wajar bersikap inklusif dan setelah menang perlu muncul sebagai pemimpin bagi semua rakyat negaranya, tidak kira sama ada mereka yang menyokongnya atau tidak. Semangat ini telah dinyatakan oleh Presiden Joe Biden dalam ucapan pelantikannya. Keadaan inilah yang disebut sebagai keikhlasan dalam berdemokrasi.

Pada asasnya, apa yang dimaksudkan dengan keikhlasan dalam berdemokrasi ialah menerima keputusan pengundi dan menghormati mandat rakyat sehingga tamat tempoh penggal. Tentulah setiap parti merasakan diri mereka adalah betul, dan lawannya tidak betul. Parti merekalah dirasakan terbaik untuk memimpin negara. Tetapi pihak yang menentukan kemenangan dan siapa yang wajar menjadi kerajaan adalah pengundi. Siapa yang dipilih tidak semestinya paling betul atau terbaik. Tetapi itulah pilihan rakyat yang wajar dihormati.

Sebaliknya ada negara yang mengamalkan demokrasi tanpa keikhlasan. Apa yang dimaksudkan dengan ketiadaan ikhlas ialah demokrasi dilaksanakan selagi ia memberi kemenangan dan keuntungan pada satu pihak saja. Dalam pilihan raya jika parti berkenaan menang, maka demokrasi dipertahankan. Tetapi andai kata ia memberi kemenangan kemenangan kepada parti lawan, atau pembangkang, maka pilihan raya itu, ataupun proses demokrasi negara berkenaan dibatalkan.

Perkara sedemikianlah yang telah berlaku di Myanmar. Pihak tentera tidak dapat menerima kemenangan parti lawannya, Liga Nasional Demokratik (NLD). Perkara yang sama juga berlaku di Thailand. Selagi parti yang disokong oleh tentera menang, maka pilihan raya diiktiraf. Jika berlaku parti lawannya yang menang, maka boleh berlaku rampasan kuasa. Inilah yang dikatakan sebagai demokrasi tidak ikhlas.

Buat masa ini, di Asia Tenggara, hanya Myanmar dan Thailand yang mempunyai tentera turut campur tangan dalam politik. Pada satu masa dahulu, tentera Indonesia juga mempunyai pengaruh kuat, iaitu ketika zaman Presiden Suharto. Demokrasi yang diamalkan mereka ketika itu juga tidak ikhlas. Ia menetapkan hanya tiga parti yang bertanding. Seperti di Myanmar dan Thailand, sebahagian kerusi di Parlimen sudah diperuntukkan kepada tentera. Selain itu dipastikan juga pucuk pimpinan tiga parti itu menyokong Suharto sebagai presiden.

Tetapi demokrasi tidak ikhlas ini bukan saja berlaku di negara-negara yang mempunyai pengaruh tentera yang kuat. Kerajaan-kerajaan awam juga boleh jadi mengamalkan demokrasi tidak ikhlas. Untuk mengetahui sama ada apa yang diamalkan itu demokrasi ikhlas atau tidak ikhlas dapat disaksikan ketika pihak parti pembangkang menang dan mampu membentuk kerajaan. Jika parti yang bertahan menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka, maka demokrasi yang diamalkan adalah ikhlas. Jika tidak, ia adalah demokrasi tidak ikhlas.

Dalam negara bekas tanah jajahan, selalunya akan muncul sebuah parti nasional. Parti ini memperjuangkan kemerdekaan dan berunding dengan penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan. Apabila pilihan raya, parti ini akan menang dan menubuhkan kerajaan. Maka mereka juga yang berperanan menggubal perlembagaan bagi menetapkan bentuk proses demokrasi. Pada awalnya tidak dapat dikesan sama ada demokrasi itu ikhlas atau tidak ikhlas.

Di India, parti yang membawa kemerdekaan ialah Kongres Nasional India. Untuk bertahun-tahun lamanya, ia menjadi parti kerajaan tetapi akhirnya kalah pada Parti Janata. Demokrasi di India berfungsi dan ikhlas.

Parti kebangsaan China ialah Parti Nasional China atau Kuomintang. Ia berpecah apabila sayap kirinya keluar untuk menjadi Parti Komunis China. Perang saudara berlalu dan Kuomintang berundur. Ia hanya dapat memerintah pulau Taiwan sebagai Republik China. Bertahun-tahun ia memerintah Taiwan sebagai negara satu parti. Tetapi akhirnya ia memperkenalkan demokrasi. Ia terus menang pilihan raya hinggalah satu ketika, ia kalah pada Parti Demokratik Progresif. Sungguh sukar untuk menerima kekalahan ini kerana mereka berasakan mempunyai hak untuk memerintah Taiwan selamanya. Tetapi akhirnya mereka menerimanya.

Di Malaysia pun keadaan hampir serupa. UMNO memerintah Malaya dan Malaysia sejak tahun 1957. Demokrasi dilaksanakan. tetapi selagi UMNO menjadi kerajaan, maka demokrasi tidak menjadi masalah.

Namun apabila UMNO kalah dalam pilihan raya pada tahun 2018, banyak penyokongnya tidak dapat menerimanya. Pada hari pertama kehilangan kuasa, mereka sudah mula berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, tidak sabar untuk menunggu tempoh penggal berakhir. Ternyata demokrasi yang mereka pegang selama ini adalah tidak ikhlas.

Isu-isu kaum dan agama dimainkan dengan memperjuangkan penubuhan kerajaan Melayu-Islam melalui kesepakatan UMNO dan PAS dalam gagasan Muafakat Nasional, seolah-olah hanya orang Melayu dan Islam yang menjadi kerajaan dengan makna bahawa UMNO patut memerintah Malaysia selama-lamanya. Ternyata ini adalah demokrasi tidak ikhlas.

Isu kaum dan agama memberi tekanan kepada BERSATU yang akhirnya mereka juga tidak dapat meneruskan kerjasama dengan DAP. Maka keadaan ini merintis kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan. Bersatu keluar Pakatan Harapan dan menubuhkan Perikatan Nasional yang disertai oleh PAS. Kerajaan ini disokong oleh UMNO dan Barisan Nasional serta parti Sarawak dan Sabah. Maka tertubuhlah kerajaan Melayu-Islam, suatu keadaan yang bertentangan dengan semangat mandat rakyat yang dipegang oleh Pakatan Harapan melalui kemenangan pilihan raya umum ke-14.

Sungguhpun begitu, UMNO masih tidak berpuas hati. Dapat dirasakan bahawa bagi mereka yang patut menerajui Malaysia bukanlah Melayu-Islam tetapi UMNO sendiri. Mereka tidak dapat menerima parti lain yang memerintah. Sebab itu UMNO mahukan pilihan raya umum ke-15 segera diadakan dengan keyakinan mereka akan menang.

Dalam hal ini, seolah-olah hasrat rakyat tidak dipedulikan. Inilah contoh demokrasi tidak ikhlas. Perkara ini berlaku di Malaysia kerana terdapat dimensi perkauman dalam politik.

Bukan saja demokrasi itu tidak begitu dihormati tetapi makna kewarganegaraan juga tidak sepenuhnya diiktiraf. Mereka melihat bahawa Malaysia adalah negara Melayu-Islam yang patut sepenuhnya oleh satu kaum saja. Tetapi sebahagian besar rakyat negara ini termasuk orang Melayu-Islam tetap mahukan suatu demokrasi yang ikhlas. Rakyat tanpa mengira kaum dan agama menentukan parti mana yang mereka mahu memimpin untuk memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Komen